fbpx

Utusan Menjadi Batu Nisan?

Oleh : Wan Syarafiz
21 September 2018 - 5:08 pm

Reading Time: 4 minutes
  • 100 Pekerja dijangka lancar protes kerana Utusan tidak cukup dana untuk pembayaran gaji
  • Skim VSS untuk pekerja Utusan bakal memakan belanja sebanyak RM90 juta

 

Salah sebuah syarikat penerbitan terkenal yang dimiliki oleh UMNO, Kumpulan Utusan Melayu Berhad (Kumpulan Utusan) kini berdepan dengan tindakan undang-undang daripada dua syarikat iaitu Nylex (Malaysia) Bhd dan Redberry Sdn Bhd yang meminta Utusan untuk membuat pemulangan tunai berjumlah RM18.5 juta.

 

Syarikat industri kimia, Nylex dan firma media, Redberry sebelum ini telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap Utusan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Ogos lepas.

 

Selain daripada jumlah keseluruhan bernilai RM18.5 juta yang dituntut, kedua-dua syarikat tersebut juga meminta bayaran faedah 5% setiap tahun untuk kos pampasan.

 

Image result for utusan melayu
Kredit: The Malaysian Insight

 

Rakyat Malaysia sudah sedia maklum dengan kedudukan Kumpulan Utusan yang kini berdepan dengan krisis kewangan dan pengurusan kritikal. Setakat ini, Kumpulan Utusan telah mencatatkan kerugian selama enam tahun berturut-turut dengan anggaran jumlah terkumpul sebanyak RM71.4 juta. Manakala jumlah keseluruhan hutang yang dicatatkan Kumpulan Utusan setakat ini pula berjumlah sebanyak RM328 juta.

 

Tidak cukup dengan itu, Kumpulan Utusan dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia sebelum ini juga menyatakan syarikat tersebut kini berstatus Nota Amalan (PN17).

 

Status ini memerlukan Kumpulan Utusan untuk mengemukakan pelan penyusunan semula mereka kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia dalam masa 12 bulan dan jika mereka gagal berbuat demikian, Kumpulan Utusan akan dinyah senarai daripada Bursa Malaysia.

 

Utusan Rugi RM71 Juta, Status PN17 – Masa Untuk Berubah?

 

Baru-baru ini, lebih 100 wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia dilaporkan sedia melakukan protes (piket) dalam waktu terdekat selepas mengetahui Kumpulan Utusan Melayu Berhad tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membuat pembayaran gaji.

 

Image result for utusan melayu
Kredit: FMT

 

Menurut bekas menteri, Rais Yatim, Utusan juga berdepan masalah apabila UMNO kalah pada pilihan raya umum lepas kerana kerajaan tidak lagi menyuntik modal melalui iklan kepada syarikat penerbitan tersebut.

 

Pembelian iklan oleh pihak Kerajaan daripada Kumpulan Utusan sebelum ini dilaporkan mampu menyuntik modal kira-kira RM12 juta setahun.

 

“Tahun 2010, 2011, dan 2012 ketika itu sebagai menteri penerangan, (saya) terpaksa mengeluarkan bantuan menerusi pengiklanan kepada Utusan. Usaha seperti itu tidak seharusnya berlaku tetapi kerajaan arahkan saya bertindak sedemikian,” ujar Rais Yatim kepada The Malaysian Insight.

 

Berdasarkan carian Kapital.my, pendapatan yang diperoleh Kumpulan Utusan sepanjang tahun 2017 berjumlah kira-kira RM198 juta manakala jumlah kos yang dibelanjakan sepanjang tahun tersebut untuk pekerja sahaja adalah separuh daripada pendapatan iaitu sebanyak RM99 juta. Ini belum diambil kira kos-kos lain yang juga tinggi jumlahnya.

 

Dengan pelbagai masalah yang kini dihadapi oleh Kumpulan Utusan, apakah langkah penyelesaian terbaik?

 

Kumpulan Utusan dijangka akan mengambil beberapa langkah penstrukturan semula seperti pelaksanaan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) bagi mengurangkan 50% daripada keseluruhan 1,400 kakitangan yang akan melibatkan kos kira-kira RM90 juta.

 

“Kita jangka langkah VSS ini akan dibuat tidak lama lagi, tetapi bergantung kepada kelulusan lembaga pengarah. Ini kerana Utusan tidak boleh beroperasi dengan jumlah pekerja yang ramai,”

 

“Dalam masa sama, kita juga perlu laksanakan langkah-langkah pengurangan kos secara menyeluruh bagi mengelakkan kerugian antara RM7.5 hingga RM8 juta setiap bulan. Dengan pendekatan ini, kita akan bina semula syarikat menghadapi cabaran dalam industri media,” ujar Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Mohd Noordin Abbas sebelum ini.

 

Image result for utusan melayu
Kredit: World of Buzz

 

Dalam keadaan Kumpulan Utusan dilanda masalah kewangan, syarikat tersebut telah mengambil langkah drastik untuk membuat pembaharuan dengan menukar konsep broadsheet kepada bentuk akhbar tabloid atau kompak.

 

Penerbitan berbentuk tabloid dilihat lebih memenuhi kehendak pembaca pada masa sekarang di samping dapat menjimatkan kos penerbitan.

 

Perubahan saiz ini merupakan antara langkah pemulihan yang dilaksanakan di bawah Pengerusi Kumpulan Utusan Melayu, Abd Aziz Sheikh Fadzir yang baru dilantik pada 7 Jun lepas.

 

Kumpulan Utusan juga dikhabarkan kini dalam usaha mencari pelabur dengan sasaran modal RM2.1 juta bagi membuat bayaran hutang. Ini kerana, syarikat tersebut berdepan dengan masalah gagal membayar hutang terkumpul bernilai hampir RM1.2 juta kepada dua buah bank.

 

Modal RM2.1 juta diperlukan kerana status PN17 mereka dan sekiranya mereka gagal membuat pembayaran kepada kedua-dua bank tersebut, Kumpulan Utusan akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh sebelum ini pernah menyatakan bahawa pemilikan media oleh parti politik perlu dielakkan untuk memerangi salah maklumat di samping mewujudkan persekitaran lebih baik untuk media.

 

Dengan pengumuman ini, apakah status Kumpulan Utusan yang dimiliki oleh UMNO dengan pegangan 49.77% saham ini? Adakah kita bakal menyaksikan pengambilalihan Utusan Melayu oleh usahawan ataupun syarikat lain?

 

Dengan harga modal pasaran bernilai RM15.5 juta, beban hutang yang ditanggung serta kos RM90 juta untuk VSS pekerja, pihak manakah yang berani untuk mengambil risiko?

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…