Adakah Kerajaan Bakal Menjual Aset Khazanah Dan PNB?
- Khazanah mampu menjana RM120 bilion tunai atau bersamaan 12% daripada jumlah hutang kerajaan RM1 bilion
- Penjualan aset mampu meningkatkan penyertaan sektor swasta dan menambah wang kerajaan – Tony Pua
Dalam Persidangan Malaysia: A New Dawn, kerajaan telah mengeluarkan cadangan untuk memperkenalkan cukai baru dan menjual aset bagi menyelesaikan masalah hutang negara.
“Satu lagi cara yang boleh kami lakukan adalah dengan menjual aset kami. Tanah adalah antara aset itu … Selain itu kami mungkin perlu menjual aset kami yang bernilai bagi menjana dana untuk membayar hutang.” – Tun Dr Mahathir Mohamad
Bagaimanapun Tun M tidak mengenal pasti atau menjelaskan apakah aset-aset yang dimaksudkan itu.
Baca: Apakah cukai baru diperkenalkan kerajaan
Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan bahawa kerajaan boleh mengurangkan pegangan sahamnya dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa.
Perkara ini dijelaskan lebih lanjut oleh setiausaha politik menteri kewangan, Tony Pua. Beliau berkata Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan menyemak semula dan melepaskan aset bukan-strategik sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan mengurangkan kos.

Dilaporkan bahawa penjualan semua aset di bawah Khazanah mampu menjana RM120 bilion tunai atau bersamaan 12% daripada jumlah hutang kerajaan RM1 bilion.
Bagi proses penjualan aset Kementerian Kewangan akan bekerjasama dengan sektor swasta dalam menentukan bagaimana aset terbabit boleh dilepaskan dengan cara yang teratur.
“Langkah ini akan mencapai 2 tujuan, iaitu ia meningkatkan penyertaan sektor swasta dan menambah wang kerajaan,” Tony Pua.
Isu ini bertambah hangat apabila bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan kerajaan untuk menjual aset Khazanah dan PNB.
Menurut Najib, kebanyakan hutang kerajaan berbentuk sukuk dan bon di mana kadar faedahnya sekitar 3.6% setahun. Sementara itu, aset Khazanah meningkat pada kadar 9.6% dan PNB pada kadar 9.2%, jauh lebih tinggi berbanding kadar faedah 3.6%.
“Apa yang saya risau ialah, penjualan aset-aset dan tanah negara ini bukan untuk mengurangkan hutang tetapi untuk menampung kehilangan hasil RM40 bilion ini.” Najib
Penukaran sistem cukai GST dan SST serta pengenalan semula subsidi minyak pukal telah menyebabkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM40 bilion.

Susulan kenyataan Najib ini, Tony Pua membuat penjelasan bahawa sebarang penjualan aset tidak akan melibatkan PNB. Beliau berkata kenyataan beliau sebelum ini adalah sekadar contoh.
Persoalannya kini, aset apakah yang bakal dijual kerajaan? Kementerian manakah yang bertanggung jawab untuk menjual aset?
Terkini, Timbalan Menteri Hal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin, menegaskan bahawa kenyataan Tony Pua bukanlah kenyataan rasmi kerajaan.
“Saya ambil maklum kenyataan (Ahli Parlimen) Damansara (Kiam Wee), tetapi itu pendirian beliau dan bukan kenyataan daripada pihak kerajaan.
“Kerajaan sedang melihat penjualan aset yang berkaitan jika ada keperluan. Tidak guna buat spekulasi berdasarkan kenyataan daripada Setiausaha Politik Menteri Kewangan.
“Kita tunggu kenyataan kerajaan berkaitan penjualan-penjualan aset jika ada dan jika perlu,” Radzi Jidin
Sebelum lebih banyak kekeliruan timbul, kerajaan perlu mengeluarkan kenyataan jelas mengenai isu ini. Seperti mana kenyataan Najib sebelum ini, kerajaan perlu melihat kepada costs versus benefits sebelum melakukan sebarang keputusan.
Mungkin perkara ini turut dibentangkan sekali dalam Bajet 2019 pada 2 November hadapan.