fbpx

Antara Ketuanan Melayu & Penguasaan Ekonomi

Oleh : Syafiq Hanafi
30 Oktober 2018 - 11:42 am

Reading Time: 4 minutes
  • 4.2 peratus pemegang unit menguasai hampir separuh (47.6 peratus) daripada keseluruhan unit amanah kendalian ASNB
  • Pada tahun 2016 pendapatan isi rumah kasar bulanan purata bagi kaum Bumiputera ialah RM6,267 berbanding RM8,750 untuk kaum Cina dan RM7,150 untuk kaum India.

Ketuanan Melayu merupakan satu istilah yang begitu sinonim dengan perjuangan politik parti Melayu utama di Malaysia satu ketika dahulu, UMNO. Ia jelas memiliki konotasi politik dalam mentafsirkan kedudukan dan hak kaum Melayu di Malaysia. Konsep Ketuanan Melayu ini telah melalui fasa perdebatan yang pelbagai.

 

Ada yang bersetuju dan ada yang tidak, malah ada juga yang cuba memberikan tafsiran lebih berlainan terhadap konsep ini. Ada pandangan yang melihat konsep ini sebenarnya hanya satu bayang-bayang politik dan ia tidak wujud secara nyata, ada pula yang menganggap ia sebagai satu konsep penting yang menandakan penguasaan orang Melayu dalam segala hal di Malaysia.

 

Pertikaian tentang konsep Ketuanan Melayu ini memasuki fasa baharu apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam program Forum Ekonomi Anak Muda 2018 yang diadakan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 27 Oktober lalu telah menyebut bahawa zaman ketuanan Melayu kini telah berakhir dan Malaysia kini sedang bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangan kesaksamaan, Syed Saddiq yang juga merupakan Ketua ARMADA parti BERSATU menyatakan perkara ini menjadi agenda yang diperjuangan BERSATU.

 

Image result for syed saddiq
Kredit: Utusan

 

Kenyataan Syed Saddiq ini disambut dengan pelbagai cara, ada yang bersetuju, ada yang bersama-sama dengan beliau, tidak kurang juga ada yang menyambutnya dengan penuh emosi. Syed Saddiq tidak berhenti setakat itu, malah pada 28 Oktober 2018, beliau menulis pula pandangan lanjutannya terhadap konsep Ketuanan Melayu. Syed Saddiq pergi dengan lebih mendalam dan cuba mengupas hal-hal Ketuanan Melayu dari sudut realiti dan pergolakan hidup orang Melayu itu sendiri.

 

Bertitik-tolak dari situ, kami di Kapital.My cuba untuk merungkai realiti konsep Ketuanan Melayu ini dari sudut ekonomi dan kekayaan Bumiputera. Apakah di bawah konsep yang sekian lama dipertahankan sebagai tunjang politik Malaysia ini, orang Melayu sudah benar-benar beralih dan memiliki kekuatan ekonomi? Atau ia masih kekal malah mungkin keadaan makin sukar untuk difahami.

 

 

Pelaburan Dalam Amanah Saham

Kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan peluang pelaburan dalam kalangan Bumiputera. Antara yang utama termasuk memperkenalkan pelbagai unit amanah saham yang dikendalikan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Namun begitu, apa yang dihasratkan tidak menjadi kenyataan, malah pelaburan dalam beberapa unit amanah saham ini dikuasai hanya segelintir golongan Bumiputera yang kaya.

 

Pada tahun 2017 misalnya, 4.2 peratus pemegang unit menguasai hampir separuh (47.6 peratus) daripada keseluruhan unit amanah kendalian ASNB. Kumpulan 4.2 peratus ini menjadi pemegang unit pelaburan berjumlah antara 100,001 hingga 500,000 unit. Jumlah keseluruhan unit pelaburan golongan sedikit ini ialah 103,098 juta unit.

 

Namun begitu apa yang menghampakan ialah mereka yang memegang unit amanah saham 1,000 ke bawah membentuk majoriti sehingga 61 peratus dan kumpulan ini memegang 1,685 juta unit atau kira-kira 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan unit pelaburan. Ini membuktikan kepada kita bahawa agihan pendapatan dan kedudukan kekayaan dalam kalangan kaum Bumiputera adalah tidak seimbang. Malah dalam satu kajian yang dijalankan Khazanah Research Institute pada tahun 2014 mendapati 71.5 peratus pelabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) mempunyai jumlah pelaburan kurang daripada RM536 di dalam akaun ASB mereka.

 

Image result for melayu niaga
Kredit: Berita Harian

 

Pendapatan dan Perniagaan

Laporan yang disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi melihatkan pada tahun 2016 pendapatan isi rumah kasar bulanan purata bagi kaum Bumiputera ialah RM6,267 berbanding RM8,750 untuk kaum Cina dan RM7,150 untuk kaum India.

 

Jika dipecahkan kadar pendapatan purata mengikut kaum berasaskan kepada kumpulan pendapatan T20, kaum Bumiputera mendapat jumlah RM14,098 masih jauh dibandingkan dengan kaum Cina, RM20,534 dan kaum India RM16,163.

 

Bagi M40 pula Bumiputera menerima jumlah pendapatan purata RM5,953, kaum Cina RM8,162 dan kaum India RM6,669. Untuk golongan B40, kaum Melayu RM2,666, kaum Cina, RM3,446 dan kaum India, RM3,131.

 

Malah kadar insiden kemiskinan mengikut kaum berdasarkan kepada laporan yang sama pada tahun 2016 menunjukkan Bumiputera berada di tempat utama dengan 0.5 peratus diikuti kaum Cina dan India masing-masing dengan 0.1 peratus.

 

Selain itu, berdasarkan kepada Statistik Utama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Januari 2018, kita dapat melihat bagaimana golongan Bumiputera masih ketinggalan jauh dalam pendaftaran perniagaan francais. Secara keseluruhannya, bukan Bumiputera mendaftar 628 perniagaan francais berbanding hanya 236 untuk golongan Bumiputera.

 

Walaupun penguasaan pemilikan ekuiti dalam syarikat senarai awam oleh Bumiputera kini berada pada tahap 22 peratus, namun hakikatnya kawalan Bumiputera terhadap syarikat senarai awam hanya pada kadar 7.3 peratus berbanding kaum Cina yang memiliki ekuiti 36 peratus dan kawalan yang tinggi sehingga 59 peratus.

 

Image result for hartanah
Kredit: Majalah Labur

 

Pemilikan Hartanah

Statistik daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada tahun 2015 menyimpulkan bahawa kadar pemilikan hartanah oleh golongan Bumiputera hanya pada tahap 39.5 peratus, berbanding 53.4 peratus oleh golongan bukan Bumiputera. Malah JPPH menyimpulkan pergerakan pembelian hartanah dalam kalangan Bumiputera berada pada kedudukan sederhana dengan kadar kira-kira satu peratus untuk setiap tahun. Bagi JPPH pergerakan pembelian hartanah yang baik ialah pada kadar kira-kira tiga peratus setahun.

 

Malah JPPH turut menyenaraikan beberapa faktor yang menyumbang kepada keadaan ini termasuk pendapatan golongan Bumiputera yang rendah, kurang kesedaran tentang keperluan pemilikan hartanah, status lot Bumiputera yang boleh diubah kepada bukan Bumiputera, mudah menjual pemilikan hartanah dan kelemahan dalam penguatkuasaan.

Bagi pemilikan komersial pula Bumiputera hanya mampu berada pada tahap 9.8 peratus berbanding bukan Bumiputera, 46 peratus.

 

Masalah Sosial

Kaum Bumiputera Melayu juga sering disebut-sebut sebagai yang teratas dalam masalah dadah, masalah sosial paling membimbangkan di Malaysia. Malah keadaan ini berlaku disebabkan oleh taraf hidup yang tidak meningkat secara lebih berkualiti. Berdasarkan kepada maklumat daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan jumlah penagih daripada kaum Melayu yang dikesan terlibat dengan dadah pada tahun 2017 ialah 20,956 berbanding hanya 1,947 Cina dan 1,760 India.

 

Penutup

Berasaskan indikator-indikator yang disenaraikan ini, jelas perjuangan mengangkat kaum Bumiputera masih belum selesai dan masih banyak lagi usaha keras perlu dilaksanakan bagi memastikan tahap ekonomi, penguasaan dan agihan kekayaan saksama dalam kalangan kaum Bumiputera dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ia bukanlah satu perkara mudah, apa yang penting pendekatan yang digunakan sebelum ini untuk menangani isu ekonomi dalam kalangan Bumiputera masih tidak mencapai matlamat ditetapkan.

 

Perubahan besar-besaran perlu dilaksanakan bagi memastikan kaedah yang lebih baik mampu memberikan manfaat diharapkan. Perbincangan tentang Ketuanan Melayu juga tidak seharusnya terperangkap dalam pandangan politik sempit, namun ia wajar diluaskan bagi menilai survival dan keperluan sebenar kaum Bumiputera itu sendiri.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Front Facade
Kapital

Lokasi Adalah ‘Senjata’ Penting Tarikan Hartanah

Reading Time: 4 minutes Tatkala pasaran hartanah semasa berada dalam situasi yang mencabar, apakah faktor yang boleh menarik minat orang ramai untuk…

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara¬†mewakili satu per lima…