fbpx

Apakah Cukai Baru Yang Bakal Diperkenalkan?

Oleh : Izzuddin Yussof
11 Oktober 2018 - 5:17 pm

Reading Time: 4 minutes

Pada hari Selasa lepas, Tun Mahathir ada mengumumkan bahawa kerajaan akan mengenakan cukai yang baru, tanpa memberi sebarang kata putus yang jelas berkaitan cukai yang mungkin dikenakan.

 

Maka di bawah ni senarai cukai-cukai yang mungkin dikenakan dan sejauh mana ianya kemungkinan akan dikenakan

 

1) Cukai Warisan Harta (Inheritance Tax)

Cukai Warisan Harta ni cukai yang dikenakan ke atas nilai aset seseorang selepas dia meninggal dunia. Ianya biasanya merupakan cukai yang disasarkan ke atas orang kaya.

 

Ramai tidak tahu, tetapi sebenarnya Malaysia pernah melaksanakan cukai Warisan Harta dahulu sejak Merdeka lagi. Namun ianya kemudian dimansuhkan pada tahun 1991 ketika zaman pemerintahan Tun Mahathir.

 

Cukai Warisan Harta pada ketika itu dikenakan ke atas mereka yang meninggalkan aset bernilai RM2 juta ke atas, dan kadarnya bermula dari 5%, dan naik kepada 10% untuk mereka yang meninggalkan aset bernilai RM4 juta ke atas.

 

Ingat, ini ketika zaman 1991. Untuk mempunyai aset bernilai RM2 juta pada zaman itu anda mestilah merupakan tahap paling kurang golongan Top 5%, malahan mungkin juga tahap Top 1%.

 

Persoalan adakah golongan M40 mahupun B40 mungkin akan dikenakan cukai warisan ini sangat bergantung kepada berapakah had minima nilai aset yang akan dikenakan nanti. Tetapi jika kerajaan menggunakan cukai warisan dahulu sebagai kayu ukur, maka kemungkinan golongan M40 akan dikenakan cukai ini amatlah rendah.

 

Tapi berapa sebenarnya kerajaan boleh dapat kalau mengenakan cukai ini?

Kalau kita anggarkan bahawa kerajaan hanya akan mensasarkan individu golongan T20, maka dari sudut pendapatan mereka ini adalah golongan yang mendapat pendapatan melebihi RM9,620 sebulan untuk isi rumah. Jadi kalau kita bahagi dua (suami isteri), maka ianya adalah golongan yang mendapat pendapatan RM4,800 sebulan.

 

Kenapa? Terkejut korang T20?

Anggap mereka ini menggunakan 60% daripada pendapatan mereka untuk membeli rumah, maka rumah yang mereka akan mampu miliki adalah bernilai RM500,000.

 

Mengambil kira kenaikan harga rumah, maka kita boleh anggarkan limit threshold jika kerajaan ingin kenakan ke atas T20, adalah paling rendah pada aset bernilai RM1 juta ke atas.

 

2) Cukai Keuntungan Modal (Capital Gains Tax)

Bila berbicara berkaitan CGT, ramai selalu memandang dari sudut cukai ke atas keuntungan saham.

 

Tetapi CGT sebenarnya adalah cukai ke atas keuntungan hasil jualan segala jenis aset. Tidak kiralah saham, rumah, unit trust, ataupun barangan seni sekalipun.

 

 

 

Image result for rumah teres
Kredit: Hartabumi.com

 

Ini memang sesuatu yang sudah dicadangkan oleh ramai pihak. Ini kerana mendapat keuntungan hasil daripada penjualan aset ni adalah game orang kaya.

 

Maka di Malaysia kita sebenarnya sudah ada satu CGT, iaitu Real Property Gains Tax (RPGT). Buat masa ini ianya dikenakan sebanyak 30% untuk penjualan aset dalam masa 3 tahun, 20% pada tahun keempat, 15% pada tahun kelima dan 0% untuk tahun seterusnya.

 

Kutipan kerajaan Malaysia untuk RPGT setiap tahun lebih kurang RM1.6 billion. Maka perkara pertama, ada kemungkinan RPGT ini akan dipanjangkan lagi. Mungkin mereka yang menjual lebih daripada 5 tahun pun akan wajib membayar RPGT sebanyak 5%.

 

Dan perkara lain adalah memperkenalkan CGT kepada semua jenis aset. Terutamanya yang berkaitan dengan pelaburan saham.

 

Di kebanyakan negara, CGT dikenakan ke atas hasil keuntungan saham. Mekanisme yang dikenakan agak kompleks, dia boleh offset kalau ada tahun yang rugi dan lain lain. Tetapi kuncinya, kalau anda buat duit dari saham, maka anda kena membayar cukai.

 

Dan sama seperti inheritance tax, sesetengah negara meletakkan threshold ke atas CGT. Contoh kalau keuntungan itu melebihi RM10,000, kalau tak sampai banyak tu, tak kena. Sebab takkanlah orang main saham dengan modal RM10,000, untung setakat RM1,000 pun nak dicukai kan.

 

 

Image result for asb
Kredit: Majalah Labur

 

Kadar yang biasa dikenakan oleh negara lain dalam 15-20% daripada keuntungan.

 

Namun sebenarnya untuk kerajaan mengenakannya pada masa sekarang, is a bad timing. Kerana pada masa ini pasaran kewangan tengah bergolak, dan Emerging Market seperti Malaysia tengah sangat sensitif. Terdapat risiko tinggi akan berlaku aliran keluar duit besar-besaran jika CGT diumumkan untuk dilaksanakan ke atas saham di Malaysia.

 

3) Cukai Alam Sekitar dan Kesihatan

Cukai-cukai seperti Cukai Soda dan Cukai Karbon, adalah cukai yang dilaksanakan bukan atas tujuan untuk mengutip cukai, tetapi untuk tidak menggalakkan rakyat/syarikat melakukan aktiviti tersebut.

 

Terdapat kemungkinan yang tinggi cukai-cukai sebegini akan mula dilaksanakan, namun kerajaan tidak sewajarnya memandang cukai-cukai ini sebagai sumber pendapatan yang ‘kekal’. Kerana sebaiknya apa yang diinginkan adalah hasil daripada cukai-cukai ini berkurangan, disebabkan daripada pengurangan pengambilan soda oleh rakyat dan pengeluaran karbon oleh syarikat.

 

Namun apabila cukai-cukai ini dilaksanakan, ianya pasti akan menjejaskan kedudukan kewangan syarikat, sekaligus menjadikan saham-saham berkaitan syarikat ini jatuh.

 

4) Cukai digital

Cukai digital ini adalah cukai yang akan dikenakan ke atas perkhidmatan-perkhidmatan digital, terutamanya yang berkait dengan fourth industrial revolution sekarang.

 

Sebagai contoh, walaupun ramai syarikat di Malaysia melakukan pengiklanan di FB dan Instagram, namun aktiviti ekonomi tersebut tidak dicukai oleh kerajaan Malaysia. Ini menjadikan hasil cukai aktiviti pengiklanan yang sepatutnya diperolehi jika dilakukan iklan konvensional, kini hilang disebabkan cukai digital masih belum berkuat kuasa di Malaysia.

 

Image result for facebook malaysia
Kredit: New Straits Times

 

Maka terdapat kemungkinan tinggi kerajaan akan mula mencari jalan untuk memastikan syarikat-syarikat seperti Google, FB, Instagram dan lain-lain, walau tidak berdaftar sebagai syarikat di Malaysia, akan perlu membayar cukai hasil daripada penggunaan perkhidmatan pengiklanan mereka oleh syarikat dan peniaga di Malaysia.

 

Perkara ini sudah mula dilakukan oleh banyak negara termasuk Indonesia sekalipun. Kena jelas bahawa ini bukan cukai sebab menggunakan Internet atau sosial media, tetapi hanya cukai yang dikenakan disebabkan kita membayar untuk mendapatkan perkhidmatan mereka, terutamanya pengiklanan.

 

Secara keseluruhannya, apabila kerajaan mengenakan cukai, ianya pasti akan diambil daripada sesetengah pihak. Persoalannya hanya pada siapakah pihak tersebut?

 

Jika ianya diambil daripada pelabur, maka akan ada pelabur yang lari dari melabur di Malaysia. Kalau ianya diambil daripada syarikat, maka keuntungan syarikat akan terjejas dan turut memberi kesan ke atas nilai saham syarikat tersebut. Jika ianya dikenakan ke atas industri, maka keuntungan keseluruhan industri itu akan terjejas.

 

Maka kesimpulannya, apa sahaja jenis cukai yang kerajaan akan laksanakan, jika ianya bukan diambil dari rakyat kebanyakan seperti GST ianya pasti akan diambil daripada orang kaya atau syarikat. Yang berkemungkinan akan memberikan kesan yang negatif ke atas pasaran saham.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Telur -01

Harga Telur Naik Lebih 10 Sen Sebiji Semenjak April

Reading Time: 2 minutes 60% daripada bahan kandungan makanan ayam ini perlu diimport daripada negara luar KPNKK sedang menyiasat kenaikan ini jika…

duit-gaji

Pemintaan Gaji ‘tidak realistik’ Punca Pengangguran

Reading Time: 1 minute Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Pemintaan gaji ‘tidak realistik’ adalah antara alasan…

Tabung haji 1-01

SPV Mengambil Alih Aset Tabung Haji Bernilai RM19.9 bilion

Reading Time: 4 minutes Antara hartanah yang akan dipindahkan kepada SPV adalah tanah di Tun Razak Exchange (TRX) SPV akan memberi sukuk…

SPV-01

Apa itu SPV?

Reading Time: 2 minutes SPV ni entiti yang ditubuhkan dengan satu tujuan khas sahaja, samada untuk beli aset (spt Danaharta), untuk financing…