[PENDEDAHAN] Bukti Kontrak Runding Terus RM82j Bina Akademi Mokhtar Dahari
- Syarikat MMN Bina Sdn Bhd dilantik terus kerajaan pada Disember 2015
- Malay Mail pernah ketengahkan isu ini tetapi KJ anggap ia berita palsu
‘Kontrak pembinaan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dibuat secara rundingan terus dan tanpa melalui proses tender terbuka.’
Pendedahan ini diperolehi Kapital.my melalui pelbagai sumber dan dibuat susulan lawatan mengejut Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang dua hari lepas.
Ketika lawatan tersebut, Syed Saddiq menzahirkan rasa kecewa dan sedih selepas mendapati banyak permasalahan dan kelemahan serius yang perlu ditangani segera.

“Saya amat kecewa sebaik melihat sendiri permasalahan di AMD terutama berkaitan kemudahan dan peralatan.
Saya difahamkan dalam masa enam bulan, sudah ada lebih 700 kerosakan dan hanya 83 sahaja yang sudah dibaiki oleh kontraktor utama setakat ini,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Twitter pada petang Jumaat.
Ketika lawatan tersebut, Syed Saddiq mendedahkan beberapa kerosakan dan kecacatan utama seperti keadaan padang yang ‘berbukit’, siling bocor, bilik Gym kosong, tiada kemudahan wifi, tempat penginapan yang panas dan peralatan kerja yang tidak lengkap.

Berdasarkan penjelasan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Abu Bakar, AMD dibina oleh MMN Bina Sdn Bhd.
NFDP, katanya, hanyalah sebagai pengguna kompleks tersebut manakala JKR bertindak selaku pengurus projek.

Safirul, yang diketahui umum atas pandangan politiknya ketika PRU14 telah meletakkan jawatan selaku CEO NFDP dan dijangka akan digantikan dengan tokoh berkelayakan dalam masa terdekat.
Hasil carian dan maklumat awam dari pelbagai sumber mendapati MMN Bina Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat pembinaan yang ditubuhkan pada 1995 dan berpangkalan di Pahang.

Antara pemegang sahamnya adalah Mohamed Mokhtar Bin Nadzri dan Noor Hasani Binti Hamid.
Berdasarkan laporan kewangan yang telah dikemas kini kepada Suruhanjaya Sayrikat Malaysia (SSM), MMN Bina Sdn Bina mempunyai modal berbayar sebanyak RM 4,000,000.
Syarikat ini mempunyai pendapatan sebanyak RM 414 juta (2014) dan RM 81 juta (2015) dan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sekitar RM 4.9 juta (2014) dan RM 5.2 juta (2015).
MMN Bina telah menerima surat niat daripada Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) pada 6 Ogos 2015. Dalam isi kandungan surat tersebut, JKR telah menyatakan hasrat untuk melantik MMN Bina bagi membina projek Akademi Bola Sepak Negara di bawah kaedah perolehan tender secara rundingan terus.
Empat bulan kemudian pada 2 Disember 2015, surat setuju terima telah dikeluarkan kepada MMN Bina Sdn Bhd di mana di dalam surat ini dinyatakan jumlah keseluruhan bagi projek tersebut adalah sebanyak Lapan Puluh Satu Juta Lapan Ratus Tiga Puluh Dua Ribu (RM 81,832,000).
Kapital.my masih berusaha mendapatkan penjelasan daripada JKR Pahang berkenaan mengapa tender ini tidak dibuat secara terbuka.
Pada masa yang sama YB Khairy Jamaluddin dilaporkan ‘tahu dan sudah tegur’ mengenai masalah AMD yang berlaku ketika beliau masih di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Ujar Khairy, kontraktor haruslah bertanggungjawab ke atas segala kecacatan dan kerosakan yang berlaku. Malah, beliau sendiri telah memaklumkannya kepada kontraktor dan JKR dan mereka berjanji akan mengatasinya.
“Cumanya, yang saya persoalkan kenapa masalah yang berlaku di AMD ini tidak disampaikan kepada pengetahuan Menteri, Syed Saddiq tiga bulan sebelum ini?
Walaubagaimanapun telah tular di media sosial di mana isu AMD ini telah pun didedahkan oleh wartawan sukan Malay Mail, Tony Mariadass tiga tahun lepas.
Menurut beliau, AMD yang dirasmikan oleh Dato’ Seri Najib Razak pada April 2015 telah pun menunjukkan keadaan padang yang ‘terbiar’ ekoran kerja-kerja pengurusan yang teruk. Hal ini terjadi meskipun fasiliti tersebut baru sahaja beberapa bulan disiapkan.
Khairy yang ketika itu merupakan menteri bertanggungjawab tidak mengendahkan laporan tersebut dan menganggap ianya sekadar ‘berita palsu’.
Jika benar dakwaan ini, siapakah yang bertanggungjawab memilih kontraktor tersebut yang dari awalnya dilihat seakan gagal dalam menyiapkan kerja? Kontraktor atau KBS yang memilih kontraktor tersebut?