Cabaran Ekonomi Malaysia Bagi Tahun 2019
Bila ahli ekonomi menilai kedudukan ekonomi, indikator yang paling biasa digunakan adalah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil Gross Domestic Product (GDP).
Walaupun ianya satu indikator yang popular, tetapi perlu difahami bahawa ianya adalah indikator yang digunapakai untuk menunjukkan apa yang berlaku kepada keseluruhan ekonomi Malaysia. Jika ada 7 sektor berkembang, tetapi 3 sektor lagi perlahan, maka keseluruhan ekonomi Malaysia akan dipandang sebagai sedang bertumbuh baik. Kesannya, kerap kali ada individu atau sektor yang merasakan KDNK itu tidak mewakili diri mereka.
Kebelakangan ini, ramai pakar ekonomi yang sudah mula membuat ramalan berkaitan risiko ekonomi Malaysia yang akan menjadi semakin perlahan. Namun seperti biasa, walaupun ekonomi berisiko menjadi perlahan, tidak bermaksud setiap individu dan sektor di Malaysia akan menjadi susah.
Jadi pihak mana yang yang berisiko merasai ekonomi menjadi perlahan?
1) Sektor kerajaan
Tidak kiralah pekerja kerajaan di kementerian, sekolah mahupun hospital dan juga agensi-agensi di bawah kerajaan. Maaf katakan. Tapi anda semua akan merasai kekangan kewangan yang lebih ketat lagi pada tahun hadapan.

Ini kerana pemansuhan GST dan pengenalan semula subsidi minyak telah mengambil sebahagian besar kewangan kerajaan, yang dianggarkan dalam lingkungan RM20-30 billion. Dicampur dengan kerajaan bertekad untuk tidak menjadikan defisit fiskal begitu teruk berbanding sekarang, potongan peruntukan di setiap kementerian dan agensi kerajaan akan diperlukan.
2) Syarikat yang bergantung kepada geran dan perolehan kerajaan
Banyak sebenarnya syarikat yang bergantung kepada kerajaan. Daripada pengusaha kantin sekolah, kepada pihak konsultan dan juga segala syarikat yang mendapat geran di bawah kerajaan.
Ada sesetengah daripada perniagaan ini tidak akan terkesan secara terus, bermaksud perniagaan masih ada. Kontrak masih diberikan. Tetapi terdapat risiko tempoh bayaran akan menjadi semakin lewat. Disebabkan kekangan kewangan kerajaan.
Tapi kepada sesetengah yang lain, memang perlu bersedia untuk perniagaan pun dah tak ada. Atau kepada yang hidup dengan geran kerajaan tu lagilah, memang kena bersedia untuk ubah modus operandi supaya boleh hidup tanpa duit kerajaan. Tidak kiralah geran kementerian ke, duit dari SME Bank ke, atau geran dari universiti dan agensi kerajaan yang lain. Kerana risiko business / geran dari kerajaan tu berkurangan adalah tinggi.
3) Syarikat dan pekerja yang dalam sektor eksport barangan ke luar, terutamanya sebagai intermediate goods ke China
Perang perdagangan antara US dan China ni bukan benda kecil. Ianya akan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada kita.

Tapi yang paling akan terkesan adalah pihak exporter. Ini kerana aktiviti perdagangan dunia kini berisiko menjadi lembab, disebabkan kenaikan tarif yang bukan saja antara US dan China, tetapi juga dilakukan oleh sesetengah negara lain yang cuba memulihkan kedudukan imbangan perdagangan mereka.
Antara semua exporter, yang paling berisiko terkesan adalah syarikat yang eksport barang elektrik intermediate ke China, yang digunakan oleh kilang di sana untuk eksport ke US. Manakala yang eksport barangan-barangan pengguna pula berisiko terkena cebisan-cebisan berpunca daripada kelembapan ekonomi hasil daripada aktiviti perdagangan dunia yang perlahan.
Ini pula 3 sektor yang berkemungkinan menikmati ‘pengukuhan ekonomi’
1) Syarikat minyak downstream
Syarikat-syarikat yang terlibat dengan komoditi ni ada dua jenis, satu yang menjual komoditi tersebut, dan satu lagi yang membeli komoditi tersebut untuk diproses dan dijual hasilnya. Yang pertama dipanggil ‘upstream‘ dan yang kedua dipanggil sebagai aktiviti ‘downstream‘.
Di saat harga minyak tengah semakin naik seperti sekarang, maka syarikat-syarikat minyak upstream akan sangat bahagia dan mengaut keuntungan yang tinggi. Manakala downstream pula akan berasa sakit. Terutamanya jika mereka tidak membeli bahan mentah ketika harganya rendah dahulu.
Tapi syarikat-syarikat minyak ni majoritinya berkait antara satu sama lain. Dan umumnya syarikat di Malaysia kebanyakannya membuat duit melalui aktiviti upstream berbanding downstream. Jadi dengan kenaikan harga minyak sekarang, pekerja-pekerja di dalam sektor minyak dan gas umumnya bolehlah menjangkakan bonus yang agak tinggi.
2) Restoran dan barangan pengguna
Apabila kerajaan kekurangan pendapatan, ianya bermaksud duit itu tidak pergi ke kerajaan tetapi pergi ke pihak yang lain. Pihak lain di sini adalah pihak swasta.
Kita mungkin tak perasan sesetengah barang menjadi lebih murah, tetapi memang sepatutnya bawah SST sebahagian barangan akan menjadi murah disebabkan barangan yang dikenakan SST adakah lebih sikit berbanding GST
Dan sebahagian daripada kita akan membelanjakan juga duit yang dijimatkan itu. Itu sekaligus akan membawa kepada hasil jualan yang lebih tinggi untuk sektor-sektor pengguna umumnya.
3) Syarikat yang menjual barangan-barangan seperti mesin untuk kegunaan syarikat
Ada satu lagi kesan kepada pemansuhan GST yang digantikan dengan SST, iaitu kedudukan aliran kewangan syarikat akan bertambah baik
Seperti sedia maklum sistem GST sebelum ini mempunyai kelemahan di mana proses GST refund boleh jadi sangat lewat sehingga memakan masa beberapa bulan. Ini sedikit sebanyak mengganggu aliran kewangan syarikat, yang turut menjejaskan perancangan mereka untuk berkembang.
Dengan pemansuhan GST ini, kedudukan kewangan syarikat akan bertambah baik dan ini membuka ruang serta peluang untuk syarikat membuat pelaburan untuk mengembangkan lagi kapasiti dan syarikat mereka.
Namun perkara ini turut tertakluk kepada persepsi syarikat terhadap masa depan perniagaan mereka.
Secara keseluruhannya, kedudukan ekonomi dan perniagaan yang berkait dengan kerajaan akan mengalami kesukaran namun mereka yang berurusan dengan sektor swasta sepenuhnya berpotensi untuk mengalami keadaan yang lebih baik.
Namun begitu, keseluruhan ekonomi Malaysia berkemungkinan akan menjadi lebih perlahan, disebabkan kebergantungan ekonomi kita yang tinggi kepada aktiviti perdagangan dunia dan perbelanjaan kerajaan