Kerajaan Bakal Kutip RM5.3 Bilion Daripada Cukai Rokok
- 40% pasaran rokok Malaysia dipegang oleh rokok seludup
- Kira-kira 100,000 orang mati setiap tahun akibat tabiat merokok – KKM
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah mengumumkan bahawa harga jualan runcit rokok akan meningkat naik akhir bulan ini susulan daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (SST).
Berdasarkan Peraturan 8A Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, apabila berlaku kenaikan mana-mana cukai, harga produk tembakau juga perlu dinaikkan.
“Pelaksanaan SST baru-baru ini akan menyebabkan harga bagi semua jenis produk tembakau termasuk rokok kena dinaikkan.
“Atas sebab itu, di bawah Peraturan A harga perlu dinaikkan daripada harga yang terikat ketika ini,” ujar Dr Dzulkefly dalam sidang akhbar di lobi Parlimen baru-baru ini.
Walaupun pada Jun lalu kadar cukai GST telah ditetapkan pada kadar sifar, harga rokok tidak mengalami sebarang penurunan dan dikekalkan pada harga asal. Harga rokok ini tidak disemak semula atas arahan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan.
Baca: Apakah Cukai Baru Yang Bakal Diperkenalkan
Daripada satu sudut, kenaikan harga rokok ini disifatkan adalah amat baik kerana bertepatan dengan hasrat kerajaan agar jumlah perokok di Malaysia dapat diturunkan serta meningkatkan lagi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Kenaikan harga rokok juga bagus kerana ia dilihat sebagai nilai ‘pampasan’ kepada pihak kerajaan kerana terpaksa berbelanja besar setiap tahun bagi menampung rawatan kesihatan yang diperlukan oleh perokok-perokok ini.
Selain itu, cukai yang dikutip melalui rokok juga boleh disalurkan kepada program-program berhenti merokok. Sebagai contoh, kerajaan sebelum ini telah menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok bagi membantu perokok-perokok tegar untuk berhenti daripada tabiat buruk itu.

Berdasarkan statistik yang dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kira-kira 100,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun disebabkan oleh tabiat merokok dan jumlah ini akan bertambah dari tahun ke tahun susulan peningkatan perokok muda setiap tahun.
Cukai daripada jualan rokok dalam negara merupakan antara sumber kewangan yang memberi sumbangan cukup besar kepada kerajaan. Sebagai contoh, pada tahun 2014, Jabatan Kastam Diraja Malaysia melaporkan sebanyak RM3.62 bilion berjaya dikutip hasil daripada cukai rokok dan ini adalah sumbangan cukai kedua terbesar pada tahun tersebut.
Tetapi sejauh manakah keberkesanan kenaikan harga rokok ini dapat membendung atau mengurangkan jumlah perokok?
Hal ini kerana, kalau dilihat kepada trend terkini, sebilangan besar perokok seolah-olah tidak lagi kisah dengan kenaikan harga rokok kerana mereka boleh beralih kepada substitute lain. Apa substitute yang dimaksudkan ini? Ia adalah rokok seludup atau lebih dikenali dengan rokok haram.
Pada tahun 2015, kerajaan dilaporkan telah kehilangan kira-kira RM4 bilion susulan peningkatan jualan rokok seludup. Dianggarkan pada tahun tersebut juga, hampir 40% pasaran rokok dipegang oleh rokok seludup dan dipercayai meningkat dengan pantas dari tahun ke tahun.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Norashidah Mohamed, langkah yang diambil oleh KKM untuk menaikkan harga jualan runcit rokok adalah amat baik dan mampu untuk mengurangkan sehingga 80,000 kes kematian pramatang yang berpunca daripada rokok.
Dr Norashidah juga menganggarkan bahawa kerajaan akan berjaya mengutip cukai sekitar RM5.3 bilion daripada kenaikan harga jualan rokok ini serta menyifatkan lambakan rokok haram di Malaysia adalah berpunca daripada penguatkuasaan yang lemah dan bukannya disebabkan oleh kenaikan harga rokok yang ‘sah’ di pasaran.
Langkah menaikkan harga rokok wajar dipuji kerana ia dilihat sebagai salah satu usaha untuk membendung tabiat merokok yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat langsung. Walau bagaimanapun, daripada sudut penguatkuasaan, Polis dan Kastam Diraja Malaysia juga perlulah lebih agresif bagi menangani lambakan rokok haram di pasaran.
Sekiranya penjualan rokok haram ini gagal dibendung, ia akan menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan daripada cukai rokok yang bernilai berbilion-bilion ringgit setiap tahun dan pada masa yang sama juga terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi kepada sektor kesihatan bagi merawat pesakit-pesakit yang merokok ini.
Ia adalah satu kerugian yang amat besar buat kerajaan!