Kerajaan Cuba Dapatkan RM1 Bilion Wang 1MDB
- RM974 juta dipindahkan daripada akaun peribadi Najib kepada individu, syarikat dan badan bukan kerajaan
- UMNO, MIC dan MCA turut terima wang
Pasukan khas yang ditubuhkan untuk mendapatkan semula aset syarikat kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini dilaporkan dalam proses mendapatkan semula wang berjumlah RM974 juta yang dilapor diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada pelbagai individu, syarikat dan badan bukan kerajaan.
Wang berkenaan dikatakan disalurkan melalui akaun AmIslamic Bank milik Najib antara tahun 2011 hingga 2014.
Berdasarkan kepada siasatan awal kumpulan berkenaan, Najib dilaporkan mengeluarkan beberapa ratus keping cek dengan nilai RM154.88 juta kepada 85 individu, RM323.03 juta kepada 50 syarikat, RM469.59 juta kepada 49 cawangan dan bahagian parti-parti politik dalam Barisan Nasional (BN) dan sekitar RM24.42 juta kepada 17 badan bukan kerajaan dan yayasan.
Bagi memudahkan urusan pemulangan semula semua wang berkenaan, pasukan petugas khas ini telah membuka akaun khusus bagi membolehkan semua wang berkenaan disalurkan secara lebih mudah dan tepat.
Setakat ini maklumat yang diketahui secara spesifik berdasarkan kepada 25 pertuduhan baharu yang dihadapi Najib mendakwa beliau membayar RM20.1 juta kepada UMNO Bahagian Batu Kawan, RM2 juta kepada ORB Solutions Sdn Bhd, RM303 ribu kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd dan RM246 ribu kepada Lim Soon Peng.
Sumber juga mendapati bahawa beberapa jumlah yang dinyatakan ini hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan RM974 juta yang dipindahkan oleh Najib ke akaun-akaun tertentu.

Sebagai contoh, ORB Solutions yang dikatakan sebuah syarikat pengurusan web dan strategi komunikasi didakwa menerima wang berjumlah RM40.65 juta daripada Najib dan lebih menarik pemegang saham serta ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan merupakan pegawai khas kepada Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dan Har Kok Kit.
Semarak Konsortium milik seorang ahli perniagaan yang dikatakan rapat dengan Najib, Datuk Mohd Omar Mustapha didakwa menerima jumlah keseluruhan RM19.59 juta.
Menurut sumber berkenaan lagi, syarikat yang menjadi penerima terbesar ialah sebuah syarikat pengurusan acara, Solar Shine Sdn Bhd. Syarikat ini menerima RM109 juta daripada Najib. Antara pemegang saham dan Pengarah syarikat ini ialah Muhammad Zaki Ilias dan Mazlan Saidin.
Syarikat Jakel Trading Sdn Bhd pula dibayar RM37.16 juta manakala Mascom Communications menerima RM17.9 juta. Najib juga didakwa giat membayar beberapa syarikat perunding media dan ini dilakukan kemungkinan besar sebagai sebahagian daripada usaha untuk menampilkan imejnya yang lebih baik.
Antara penerima dalam kategori ini ialah Brandworth Corp. Syarikat ini menerima RM15.78 juta dan antara orang penting di dalam syarikat ini ialah Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan dan Tan Sri Aziz Kassim.

Centre For Strategic Engagement Sdn Bhd (CENSE) menerima RM5.35 juta manakala dua ahli lembaga pengarahnya yang tidak dinamakan oleh sumber menerima pembayaran peribadi berjumlah RM6 juta. Satu lagi firma yang turut menerima wang ialah Zeal Hi-Tech Solutions Sdn Bhd yang dikatakan menerima RM13.5 juta.
Sumber turut menyebut Lim Soon Peng menerima RM2.35 juta manakala seorang tokoh perniagaan dari Sarawak, Tan Sri Bustari Yusuf didakwa menerima bayaran yang besar berjumlah RM59 juta.
Manakala parti-parti politik yang dikatakan menerima wang daripada Najib ialah UMNO (RM415.75 juta), MIC (RM20.25 juta) dan MCA (RM16.5 juta).
Baru-baru ini peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah turut didakwa menerima RM9.5 juta secara tidak sah daripada Najib melalui transaksi daripada akaun AmIslamic Bank bekas Presiden UMNO itu.
Sumber menyebut ada antara penerima berkenaan dikatakan tidak menyedari sumber wang berkenaan dan ada antara mereka yang dibayar untuk sebab-sebab yang sah.
Namun begitu, semua mereka yang dilaporkan menerima wang berkenaan dimohon untuk memulangkannya kepada pasukan petugas khas yang ditubuh kerajaan ini.
Malah mengikut sumber pasukan berkenaan, tiada sebarang pertuduhan jenayah akan dikenakan kepada mana-mana pihak jika mereka memberikan kerjasama sepanjang siasatan.