Kereta Nasional Ketiga Bakal Terima Sentuhan Jerman
- Dr Ong Kian Ming telah membuat pelawaan kepada syarikat Jerman bagi menyertai projek kereta nasional Malaysia yang ketiga
- Prinsip sesebuah negara maju perlu mempunyai keupayaan dalam bidang kejuruteraan – Tun Mahathir
Projek kereta nasional ketiga dijangka akan mendapat sentuhan Jerman. Ini adalah berdasarkan kenyataan yang telah dibuat oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming.
Baru-baru ini, Dr Ong Kian Ming telah membuat pelawaan kepada syarikat Jerman bagi menyertai projek kereta nasional Malaysia yang ketiga. Ini adalah berikutan daripada kejayaan banyak syarikat kereta Jerman dalam segmen kenderaan pemasangan tempatan (CKD).
Kenyataan ini kemudiannya disambut baik oleh Duta Jerman di Malaysia, Nikolaus Graf Lambsdorff dengan berkata bahawa kereta buatan Jerman adalah jenama yang tidak asing dalam kalangan pengguna Malaysia.
“Empat pembuat kereta Jerman berhadap dapat memperluas perniagaan dan meningkatkan pengeluaran mereka di Malaysia. Mereka giat beroperasi di sini, bukan hanya menumpukan pasaran Malaysia malah negara jiran,” ujar Lambsdorff.
Walau bagaimanapun, setakat hari ini masih tiada mana-mana pembuat kereta Jerman yang mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan minat dengan projek kereta nasional ketiga ini.

Seperti rakyat sedia maklum, projek kereta nasional ini merupakan impian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mahu melihat negara Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian. Tun Mahathir percaya melalui industri kereta nasional, negara akan dapat menjana ekonomi serta menaikkan nama negara dalam masa yang sama.
Tun Mahathir dalam salah satu temu bual beliau pernah berkata bahawa prinsip sesebuah negara maju perlu mempunyai keupayaan dalam bidang kejuruteraan.
Tetapi, wajarkah Malaysia mempuyai tambahan kereta nasional lagi? Kereta nasional pertama, Proton pun dilihat tidak mencipta kejayaan seperti yang diharap-harapkan.
Tidak dapat dinafikan, bagi menjana ekonomi sesebuah negara, kerajaan perlu mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Tetapi terdapat banyak lagi cara lain yang boleh diambil tanpa menambah satu lagi projek kereta nasional.
Lihat saja di Thailand atau lebih dikenali sebagai “Detroit of Asia”, negara mereka berjaya memacu industri automotif dan pernah disenaraikan sebagai 10 negara pengeluar tertinggi di dunia.
Bagaimana Thailand lakukannya? Thailand tidak seperti Malaysia yang mana mengeluarkan kereta jenama sendiri sebaliknya mereka memilih untuk menjadi hab pemasangan jenama kereta dari luar negara.
Thailand pada hari ini berjaya mengeluarkan kereta hampir 2 juta unit setahun sedangkan Malaysia hanya sekitar 500,000 unit sahaja setahun.

Adakah kita mahu menjadi seperti Thailand?
Daripada sudut jumlah kereta yang dihasilkan serta peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam industri automotif mungkin kita berada di belakang Thailand tetapi perkara ini bukanlah berkenaan penciptaan atau pemasangan kereta semata-mata sebaliknya lebih kepada membina local talent atau bakat tempatan.
Sebagai contoh, Ingress Corporation Berhad telah berjaya menjadi mega vendor dengan membuka kilang di Thailand Automotif Park, Rayong dan seterusnya di Indonesia dan India. Ingress pada permulaannya merupakan vendor bagi pembuatan kereta Proton!
Sebagai rakyat Malaysia, tidakkah kita berasa bangga sekiranya negara Malaysia dikenali melalui jenama kereta nasional yang dihasilkan dan bukannya sekadar negara yang menjadi hab pemasangan kereta luar?
Di saat negara lain seperti Turki dan Vietnam pada hari ini mahu membina jenama kereta nasional pertama mereka sendiri, yang mana pula kita mahu pilih? Menjadi negara pengeluar kereta jenama sendiri atau sekadar negara hab pemasangan kereta jenama luar?
Negara Ini Memerlukan Kereta Nasional Baru, Apa Komen Pakar?
Bagi ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Profesor Jomo Kwame Sundaram, projek kereta nasional ketiga seharusnya lebih memfokuskan kepada pembangunan kereta elektrik demi merealisasikan hasrat Tun Mahathir sejak 1990an lagi.
Menurut beliau, hasrat ini adalah bagi memenuhi keperluan global untuk menangani isu perubahan iklim serta pencemaran udara yang dikatakan berpunca daripada penggunaan bahan api.
Jika dilihat kepada kenyataan Jomo ini, kerajaan seharusnya bergerak ke arah teknologi terkini untuk menampung keperluan berdasarkan situasi serta persekitaran hari ini. Projek kereta nasional ketiga juga perlu dibina mengikut permintaan semasa.
Penciptaan kereta nasional ketiga tidak dapat disangkal akan membawa kebaikannya tersendiri kepada negara, tetapi adakah idea ini relevan sekiranya ia hanya akan mengulangi pencapaian Proton yang mana pasaran utama mereka ialah pasaran tempatan?
Dan sekiranya projek ini menjadi kenyataan, kerajaan juga haruslah memikirkan kaedah terbaik bagi pembiayaan projek kereta nasional ketiga ini. Hal ini amat penting kerana menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ekonomi Malaysia berada dalam keadaan yang kurang baik serta menanggung hutang yang tinggi. Sebarang pembaziran wang rakyat juga haruslah dielakkan.