fbpx

KPKT Komited Bantu B40 & M40 Miliki Rumah

Oleh : Wan Syarafiz
04 Oktober 2018 - 4:36 pm

Reading Time: 4 minutes
  • 80% hartanah yang tidak terjual pada akhir suku pertama 2018 adalah hartanah yang melebihi harga RM250,000.
  • Agensi-agensi berkaitan perumahan seperti PR1MA dan SPNB akan diletakkan di bawah KPKT.

 

Isu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia bukanlah satu isu yang baru dan sudah banyak kali dibincangkan. Masalah ini dilihat seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya.

 

Baru-baru ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya akan memberi fokus kepada unit kediaman yang berharga RM500,000 ke bawah supaya rumah-rumah ini dapat ditawarkan kepada golongan B40 dan juga M40.

 

Rakyat Malaysia sememangnya sudah sedia maklum dengan masalah untuk membeli rumah ini atas beberapa faktor seperti harga yang terlalu mahal serta susah untuk mendapatkan kelulusan pinjaman perumahan.

 

Masalah ini terjadi kerana wujudnya ketidakseimbangan penawaran dan permintaan (supply & demand mismatch). Kebanyakan harga rumah yang ditawarkan dalam pasaran adalah tinggi dan melebihi kemampuan majoriti rakyat Malaysia.

 

Kredit: Sime Darby Property

 

Setakat suku pertama tahun ini, lebih daripada 34,532 unit rumah dengan nilai keseluruhan RM22.67 bilion tidak terjual. Menurut Bank Negara Malaysia, lebih 80% hartanah yang tidak terjual pada akhir suku pertama 2018 adalah melebihi harga RM250,000.

 

Bank Negara Malaysia sebelum ini juga pernah menyatakan harga maksimum bagi rumah mampu milik sepatutnya berada pada paras harga RM282,000.

 

Dengan harga hartanah yang tidak terjual kebanyakannya melebihi harga mampu milik, apakah cadangan terbaik bagi menyelesaikan masalah pemilikan rumah ini?

 

Baca: Cadangan Polisi Rumah Mampu Milik

 

Banyak cadangan telah pun dilontarkan bagi menyelesaikan isu pemilikan rumah ini. Antaranya ialah mengurangkan kos pembinaan rumah melalui penggunaan teknologi seperti Industrial Buildings System (IBS) serta memudahkan pinjaman perumahan untuk pembeli.

 

Image result for ibs system
Kredit: PropSocial

 

Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) pula pernah mengusulkan cadangan supaya kuota bumiputera yang tidak terjual dilepaskan ke pasaran terbuka. Hal ini kerana, separuh daripada unit tidak terjual datangnya daripada kuota bumiputera.

 

Walau bagaimanapun, Zuraida menegaskan sebarang solusi yang diambil akan sentiasa memastikan kepentingan golongan bumiputera dijaga dan dalam masa yang sama satu jalan terbaik perlu dicari untuk menyelesaikan masalah lambakan rumah tidak terjual ini.

 

Mengulas mengenai masalah rumah kuota bumiputera yang tidak terjual, CEO Hartabumi.com, Radzi Tajuddin menyatakan beliau tidak bersetuju sekiranya kuota bumiputera dihapuskan kerana ianya akan menyebabkan harga rumah menjadi lebih mahal bagi golongan bumiputera.

 

Sebaliknya beliau mencadangkan mekanisme pelepasan rumah unit perumahan kuota bumiputera perlu diseragamkan dan ditambahbaik mengikut perkembangan teknologi serta kehendak orang ramai.

 

“Sebagai contoh, ketika ini antara syarat untuk pemaju di Selangor perlu penuhi sebelum layak mendapat pelepasan kuota Bumiputera ialah mengiklan di dalam akhbar berbahasa Melayu dan menyertai ekspo pameran hartanah.

 

“Saya lihat syarat ini perlu dikemaskini kerana selain akhbar, pemaju sepatutnya turut dikehendaki mengiklan di dalam mana-mana portal hartanah kerana perlu diakui, pengguna kini lebih cenderung mencari rumah untuk dibeli di dalam internet.

 

“Ini menyebabkan ramai pembeli Bumiputera yang layak mungkin tidak sedar mengenai iklan berkenaan yang mana akhirnya menyebabkan unit itu dilepaskan ke pasaran bebas. Sudah tentu ia merugikan pasaran untuk Bumiputera itu sendiri,” ujar Radzi dalam wawancara bersama Berita Harian.

 

Ekoran daripada isu ini, Zuraida menyatakan pihak beliau akan berbincang dengan pihak pemaju yang mempunyai unit kediaman di bawah paras harga RM500,000 dan melihat apakah jalan terbaik yang boleh diambil oleh KPKT bagi menyelesaikan masalah ini.

 

“Saya ingin memanggil semua pemaju yang memiliki kediaman bawah RM500,000 untuk membincangkan bagaimana KPKT boleh bantu untuk memastikan kediaman dapat dijual.

 

“Sekiranya kita, bersama pemaju, dapat menentukan tawaran terbaik pada harga serta lokasi yang baik, ia boleh ditawarkan kepada B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) dan M40 (berpendapatan 40 peratus pertengahan),” ujar Zuraida.

 

Image result for zuraida kamaruddin
Kredit: New Straits Times

 

Zuraida juga berkata bagi membantu golongan B40 dan M40 untuk memiliki rumah, pihak KPKT akan memberikan beberapa pilihan skim pembiayaan bagi permohonan pinjaman, deposit dan pembayaran balik.

 

Dalam masa yang sama, di bawah Dasar Perumahan Negara 2.0 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, Zuraida berkata lebih banyak skim pinjaman akan ditawarkan kepada rakyat.

 

KPKT juga akan menyelaraskan agensi-agensi berkaitan perumahan seperti Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk diletakkan di bawah kementerian itu.

 

Melalui kenyatan Menteri KPKT yang komited untuk membantu golongan B40 dan M40 memiliki rumah dan menjaga kepentingan bumiputera ini, Kapital.my berharap agar satu jalan penyelesaian terbaik dapat dilaksanakan dan pada masa yang sama kebajikan rakyat dan kepentingan pemaju juga diambil kira.

 

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…