fbpx

LRT3 & MRT2 Diteruskan Dengan Model Turnkey, Kerajaan Jimat RM20 Bilion

Oleh : Wan Syarafiz
22 Oktober 2018 - 4:57 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Projek LRT3 perlu disiapkan oleh MRCB-George Kent pada harga tetap RM16.6 bilion. MRT2 pula perlu disiapkan oleh MMC-Gamuda pada harga tetap RM17.42 bilion
  • Kontraktor-kontraktor kecil dilihat lebih sukar untuk mendapatkan pinjaman bank bagi pembiayaan projek LRT3 dan MRT2

 

Pembinaan LRT3 dan MRT2 dilihat lebih mesra kerajaan dan tidak mesra kontraktor. Ini adalah susulan daripada perubahan kontrak yang diambil ke atas kedua-dua projek tersebut. Melalui model kontrak yang baru ini, kerajaan dikatakan dapat melakukan penjimatan kira-kira RM15 bilion bagi projek LRT3 dan RM5 bilion untuk projek MRT2.

 

Kos asal pembinaan projek LRT3 seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ialah RM31.6 bilion. Bagi MRT 2 pula, kos asal bagi kerja-kerja above-ground (projek terowong MRT2 dibatalkan) yang dimaklumkan ialah sekitar RM22.64 bilion. Kini, kedua-dua projek ini akan dibina pada harga RM16.6 bilion (LRT3) dan RM17.42 bilion (MRT2).

 

MOF Batal Kontrak MRT2: Siapa Rugi Siapa Untung?

 

Rakyat Malaysia secara umumnya pasti mengetahui berkenaan pembatalan atau penangguhan beberapa projek mega seperti HSR, ECRL & juga MRT3. Tetapi baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan mahu meneruskan projek LRT3 dan MRT2 dengan melakukan perubahan kontrak.

 

Apa perubahan kontrak yang dimaksudkan?

 

Sebelum ini, dalam projek pembinaan MRT1, kerajaan telah menggunakan konsep Rakan Pelaksana Projek atau lebih dikenali sebagai Project Delivery Partner (PDP). Tetapi bagi meneruskan projek MRT2 dan LRT3 ini, kerajaan mahu beralih kepada konsep kontrak regim harga tetap atau dikenali sebagai konsep Turnkey.

 

Apa pula perbezaan kedua-dua model PDP dan Turnkey ini?

 

Dalam model PDP, sebuah syarikat akan dilantik oleh kerajaan sebagai syarikat pelaksana projek. Tugas syarikat pelaksana ini ialah untuk memastikan projek dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan dan mengikut bajet.

 

Kerajaan akan bertindak sebagai Pemilik Projek dan juga pemberi dana kepada syarikat PDP bagi menyiapkan projek tersebut. Sebagai contoh, Pemilik Projek MRT1, MRTCorp Sdn Bhd yang juga anak syarikat kerajaan telah melantik MMC-Gamuda sebagai syarikat PDP dengan segala pembayaran kontraktor untuk membangunkan MRT1 adalah daripada MRTCorp Sdn Bhd dan bukannya MMC-Gamuda.

 

Berbeza pula dengan model Turnkey, kontraktor yang dilantik bagi membangunkan sesuatu projek perlu mencari dana sendiri dan hanya akan menerima bayaran setelah menyiapkan projek klien mereka. Contohnya, MMC-Gamuda (kontraktor) perlu mengeluarkan dana sendiri bagi menyiapkan projek MRT2 untuk MRTCorp Sdn Bhd (klien) dalam masa dan bajet yang telah ditetapkan.

 

MRTCorp Sdn Bhd pula hanya akan mula membuat pembayaran sebanyak RM17.42 bilion kepada MMC-Gamuda setelah MRT2 berjaya disiapkan sepenuhnya!

 

Image result for mmc gamuda
Kredit: The Coverage

 

Bagi projek LRT3 dan MRT2 ini, kerajaan telah menetapkan bahawa MRCB-George Kent dan MMC-Gamuda perlu menyiapkan projek tersebut pada harga tetap RM16.6 bilion (LRT3) dan RM17.42 bilion (MRT2).

 

Jika dilihat kepada konsep PDP yang diguna pakai sebelum ini, walaupun kos dan masa penyiapan projek telah ditetapkan, biasanya ia akan ‘meningkat’ kerana penambahan kerja dan juga kenaikan kos barang.

 

Apabila projek ini ditukar kepada model Turnkey, ianya akan membawa satu cabaran kepada MRCB-George Kent dan MMC-Gamuda untuk menyiapkan projek pada bajet yang telah ditetapkan.

 

Sekiranya harga projek LRT3 dan MRT2 telah ‘ditetapkan’, bagaimana kontraktor nak buat untung?

 

Ini adalah keistimewaan model Turnkey iaitu margin keuntungan adalah bergantung sepenuhnya kepada kontraktor Turnkey. Seandainya projek berjaya disiapkan lebih awal, kontraktor dapat lakukan penjimatan yang lebih dan seterusnya mengaut untung yang lebih besar. Tetapi jika projek tidak diselia dengan baik, kontraktor akan untung sedikit sahaja dan mungkin juga boleh rugi!

 

Melalui konsep PDP pula, terdapat 3 cara syarikat PDP boleh menjana keuntungan. Pertamanya dengan menetapkan margin keuntungan sebanyak 6% daripada kos keseluruhan bagi menyiapkan projek tersebut.

 

Kedua, kos berkaitan lain seperti bayaran perundingan kejuruteraan, pengukur bahan dan kajian topografi juga akan dibayar balik (reimburse) oleh Pemilik Projek. Dan yang ketiga ialah elemen perkongsian keuntungan (profit-sharing) dalam konsep PDP yang bergantung kepada kejayaan kontraktor PDP itu berjaya mencapai KPI atau tidak.

 

Selain itu, kontraktor yang dilantik sebagai PDP juga tidak berdepan dengan sebarang risiko pembiayaan (financing risk) kerana kesemua dana perbelanjaan akan dikeluarkan oleh klien atau Pemilik Projek. Tetapi berbeza pula dengan konsep Turnkey yang mana risiko pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor kerana klien akan membayar kontraktor hanya selepas projek disiapkan.

 

Image result for mrt
Kredit: The Edge Market

 

Mana yang lebih baik? PDP atau Turnkey?

 

Konteks baik ini perlu dilihat daripada dua sudut iaitu baik kepada kerajaan atau baik kepada kontraktor.  Model Turnkey dilihat baik kepada Pemilik Kontrak atau dalam konteks perbincangan ini ialah pihak kerajaan kerana risiko untuk menyiapkan projek tergantung sepenuhnya kepada kontraktor. Kerajaan hanya perlu menunggu penyerahan ‘kunci’ dan membuat pembayaran setelah projek tersebut siap.

 

Model PDP pula dikatakan lebih baik dan mesra kepada kontraktor kerana Pemilik Projek adalah pihak yang bertanggungjawab menganugerahkan projek kepada “Work Package Contractor” (WPC). Ini bermaksud kontraktor bagi pembinaan projek akan menerima bayaran terus daripada Pemilik Projek iaitu pihak kerajaan (Prasarana, MRT Corp).

 

Manakala bagi model Turnkey, syarikat kontraktor utama yang mendapat projek berkenaan akan melantik WPC atau sub-kontraktor sendiri. Ini membawa maksud kontrak di atas kontrak! Bayaran sub-kontraktor adalah daripada kontraktor utama.

 

PDP: Pemilik Projek (Prasarana, MRTCorp – syarikat milik kerajaan) bayar kepada kontraktor/WPC

Turnkey: Kontraktor utama (MMC-Gamuda, MRCB-George Kent) bayar kepada sub-kontraktor/WPC

 

Perkara sebegini akan membuatkan sub-kontraktor dalam projek model Turnkey sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank bagi membiayai projek tersebut. Berbeza pula dengan PDP, kontraktor akan menerima bayaran secara terus daripada Pemilik Projek iaitu pihak kerajaan, ini membuatkan kelulusan untuk mendapatkan pinjaman bank adalah lebih mudah kerana kerajaan adalah “reliable paymaster”. Bank percaya kepada kemampuan kerajaan untuk melakukan pembayaran dan kerajaan tidak akan “default”.

 

Jika dilihat kepada hal ini, kebanyakan syarikat kontraktor yang bakal dilantik untuk projek konsep Turnkey adalah daripada kalangan syarikat yang bersaiz besar sahaja kerana kelebihan sumber kewangan yang kukuh. Kontraktor-kontraktor kecil pula dilihat seperti dipinggirkan dalam model Turnkey ini.

 

Dengan perubahan kontrak daripada konsep PDP kepada konsep Turnkey, adakah kita bakal menyaksikan kualiti pembinaan projek LRT3 dan MRT2 akan menurun atau sebaliknya? Hal ini kerana wujud kemungkinan kontraktor kepada projek ini akan menurunkan spesifikasi dan kualiti barangan yang digunakan bagi memenuhi bajet klien.

 

Mungkin juga langkah perubahan kepada model Turnkey ini adalah sebagai salah satu cara untuk mengawal hutang negara yang dikatakan terlalu tinggi? Dan apa pula nasib kontraktor-kontraktor kecil bumiputera dalam model Turnkey ini jika mereka sukar untuk mendapatkan pinjaman bank?

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…