fbpx

MOF Batal Kontrak MRT2: Siapa Rugi Siapa Untung?

Oleh : Syafiq Hanafi
09 Oktober 2018 - 4:51 pm

Reading Time: 3 minutes
  • 20 ribu pekerja hilang pekerjaan
  • Saham Gamuda Bhd merosot 25.86 peratus

Kerajaan mengambil tindakan drastik membatalkan kontrak pembinaan terowong bawah tanah melibatkan projek Mass Rapid Transit 2 (MRT2) yang sebelum ini diberikan kepada MMC-Gamuda selepas kegagalan proses rundingan untuk memastikan kos pembinaan berkenaan dapat dikurangkan. Kerajaan turut memutuskan untuk melaksanaan proses tender terbuka antarabangsa bagi memilih kontraktor bersesuaian bagi meneruskan baki projek berkenaan.

 

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyebut bahawa keputusan berkenaan diambil selepas Kabinet membuat pertimbangan dengan melaksanakan proses tender terbuka yang baharu, kerajaan mampu mendapatkan penjimatan lebih besar.

 

“Keupayaan untuk menjimatkan jumlah berbilion ringgit ini mampu mengurangkan beban Kerajaan untuk membayar semula hutang serta membayar faedah,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Berdasarkan kepada perkiraan awal, langkah yang diambil Kerajaan ini mampu memberikan penjimatan sehingga RM5.22 bilion atau kira-kira 23 peratus pelaksanaan projek berkenaan.

 

Menurut Guan Eng, sebelum ini pihak MMC-Gamuda telah diminta untuk menilai semula kos projek berkenaan dan syarikat berkenaan pada Ogos telah memberikan cadangan kos sebanyak RM17.42 bilion berbanding kos asal RM22.64 bilion. Proses rundingan semula mengenai pengurangan kos ini telah berlangsung sejak Mei, malah sebuah firma perunding kejuteraan turut dilantik untuk melaksanakan kajian rasionalisasi kos bagi projek ini.

 

Image result for mrt underground
Kredit: Youtube

 

MRT2 ialah projek pengangkutan awam yang menghubungkan antara Sungai Buloh ke Serdang dan Putrajaya. Projek ini dimiliki oleh MRT Corp, sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan. Projek ini diluluskan ketika pentadbiran Kerajaan terdahulu pada tahun 2014 dengan kos keseluruhan berjumlah RM28 bilion.

 

Namun begitu, kos untuk projek ini meningkat sehingga ke RM56.93 bilion disebabkan oleh beberapa faktor termasuk perubahan skop dan kejatuhan nilai ringgit. Secara keseluruhannya RM39.35 bilion merupakan kos pembinaan, RM6.18 bilion ialah kos pengambilalihan tanah, RM360 juta diperlukan untuk perkhidmatan bas feeder dan depot, RM9.84 bilion adalah untuk kos kadar faedah sepanjang proses pembinaan, manakala RM1.2 bilion ialah untuk kos-kos lain.

 

Ini bukanlah kali pertama Kerajaan membatal atau menangguhkan projek besar berkaitan pengangkutan awam yang digerakkan oleh Kerajaan terdahulu. Sebelum ini pada 5 September lalu, Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menangguhkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) sehingga 31 Mei 2020. Kos penangguhan projek berkenaan akan melibatkan pembayaran RM45.1 juta kepada pihak Singapura.

 

Selain itu, Kerajaan juga mengumumkan penangguhan projek MRT3 dan bersedia untuk menyambung semula projek berkenaan jika keadaan kewangan dan ekonomi negara mengizinkan.

 

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan nilai RM81 bilion melibatkan laluan Pelabuhan Klang ke Kota Bahru telah digantung sejak Julai lalu dan Kerajaan kini sedang meneliti kaedah bersesuaian sama ada mahu melaksanakan, menangguh atau membatalkan projek berkenaan.

 

Dalam pada itu, pihak MMC-Gamuda menyambut dingin pengumuman berkenaan dan menyatakan bahawa pihaknya masih belum menerima apa-apa pengesahan rasmi daripada Kementerian Kewangan berhubung keputusan mengenai pembatalan kontrak berkenaan.

 

Malah MMC-Gamuda menyatakan pihaknya telah mengemukan tawaran pengurangan kos sehingga RM2.3 bilion untuk bahagian pembinaan yang belum siap semasa proses rundingan dengan Kerajaan.

 

“Nilai kontrak pembinaan terowong bawah tanah yang diberikan ialah RM15.47 bilion dan ketika ini proses pembinaan sudah mencapai tahap 40 peratus. Baki pembinaan yang belum siap kini berada pada kos RM9.6 bilion. Pihak kami telah menawarkan pengurangan sehingga RM2.3 bilion yang mewakili kira-kira 24 peratus nilainya,” kata MMC-Gamuda dalam satu kenyataan.

 

Image result for mrt worker
Kredit: NST

 

Pihak MMC-Gamuda memaklumkan bahawa pengurangan berkenaan dapat dilaksanakan meliputi skop kerja, spesifikasi mekanikal, elektrik dan struktur arkitek stesen-stesen terlibat. Malah MMC-Gamuda turut memaklumkan pengurangan kos berkenaan turut dapat dicapai melalui pengurangan jumlah pintu masuk di stesen serta pengurangan pembinaan stesen.

 

“Daripada keseluruhan 10 stesen, empat akan dibatalkan,” kata syarikat itu lagi.

 

MMC-Gamuda turut menyatakan semasa di peringkat awal proses tender, MMC-Gamuda telah mengemukakan cadangan alternatif dengan pengurangan kos tanpa mengabaikan aspek keselamatan, fungsi dan prestasi perkhidmatan, namun cadangan berkenaan tidak dipilih oleh pihak MRT Corp.

 

MMC-Gamuda jelas kecewa dengan pembatalan kontrak berkenaan kerana ia akan memberikan kesan besar terhadap syarikat berkenaan. Kesan utama yang dijelaskan oleh syarikat berkenaan ialah pembatalan ini akan menyebabkan lebih 20 ribu pekerja hilang pekerjaan dengan 60 peratus daripadanya ialah pekerja Bumiputera.

 

Malah MMC-Gamuda kini akan terdedah kepada risiko pembayaran ganti rugi kepada pekerja, sub-kontraktor, pembekal dan pengilang. Kesan berkenaan mula terasa sejak semalam kerana sebaik sahaja pengumuman berkenaan dibuat, saham Gamuda Bhd merosot 25.86 peratus apabila dibuka pada nilai RM2.38.

 

Jika dilihat melalui gambaran yang lebih besar harga saham Gamuda sudah jatuh lebih daripada 52 peratus sejak pertukaran Kerajaan berlaku. Ini kerana sebelum 9 Mei 2018, harga sesaham Gamuda Bhd ialah melebihi RM5. Pihak mana lagi yang rugi dan untung?

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…