Lambakan Pekerja Asing Tidak Gugat Peluang Pekerjaan Rakyat Tempatan
- 40.5% pekerja asing di Malaysia bekerja dalam sektor agrikultur dan pembinaan
- Majoriti pekerja asing bekerja dalam bidang low skilled
Kehadiran ribuan pekerja asing di Malaysia sering mengundang tanggapan negatif daripada masyarakat setempat. Mereka dikatakan telah mengambil peluang pekerjaan yang sepatutnya milik rakyat tempatan dan akhirnya menyebabkan ramai rakyat tempatan terpaksa menganggur.
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran juga pernah menyatakan kemasukan ramai pekerja asing ke Malaysia perlu dihentikan dan pekerjaan-pekerjaan ini harus diisi oleh tenaga kerja tempatan.
Benarkah dakwaan ini? Adakah kebanjiran pekerja asing di Malaysia sememangnya menyebabkan ramai rakyat tempatan tidak boleh ‘cari makan’?
Dalam satu laporan The State of Households 2018 yang diterbitkan oleh Khazanah Research Institute baru-baru ini ada menyentuh mengenai pekerja asing dan bagaimana ia sedikit sebanyak memberi impak kepada ekonomi negara.
Di Malaysia, pekerja asing merangkumi kira-kira 15% daripada keseluruhan tenaga kerja yang ada di negara ini. Setakat tahun 2017, jumlah pekerja asing di Malaysia yang direkodkan ialah sebanyak 2.23 juta orang.
Ramai pekerja asing ini bekerja di sektor mana?

Daripada jumlah keseluruhan pekerja asing di Malaysia seramai 2.23 juta orang pada tahun 2017, 40.5% daripada jumlah ini bekerja dalam sektor agrikultur dan pembinaan. 35.9% pula berkerja dalam bidang servis/perkhidmatan dan 23% dalam sektor pembuatan.
Laporan ini secara jelas menyatakan berdasarkan kajian yang telah dibuat, pekerja asing secara umumnya tidak bekerja dalam sektor-sektor yang dimonopoli oleh orang tempatan sebaliknya mereka lebih banyak bekerja sebagai pekerja low skilled. Sebahagian pula bekerja dalam bidang kerja semi-skilled dan hanya sebilangan kecil mereka diambil sebagai pekerja skilled.
Persoalan utamanya ialah adakah kemasukan pekerja asing ini dapat membantu ekonomi negara?
Ya. Berdasarkan kajian seluruh dunia, kebanyakan menyatakan pekerja asing bukanlah ‘pengganti yang sempurna’ kepada pekerja tempatan. Ini membawa maksud bahawa pekerja asing yang datang ke Malaysia adalah untuk mengisi kekosongan pekerjaan yang tidak mampu ditanggung oleh tenaga kerja tempatan.
Sebagai contoh, pekerja Indonesia dan Bangladesh datang ke Malaysia bekerja sebagai buruh binaan dan juga sektor perladangan yang mana anak-anak muda tempatan kurang berminat. Ini sekaligus dapat membantu lagi pengusaha-pengusaha di sektor tersebut untuk meningkatkan produktiviti mereka.
Kemasukan pekerja asing secara tidak langsung juga menambahkan lagi aktiviti-aktiviti ekonomi di negara kita. Bayangkan sekiranya pekerja asing tidak lagi dibenarkan bekerja di Malaysia, siapakah yang akan mengambil alih tempat mereka terutamanya dalam bidang kerja low skilled? Jika tiada langsung pekerja asing di Malaysia, kemungkinan besar beberapa sektor yang menjana ekonomi Malaysia juga tidak akan wujud.
Tidak dapat dinafikan kesan yang diterima oleh setiap tempat di Malaysia pastinya berbeza-beza. Sebagai contoh, tempat yang ekonomi utamanya ialah sektor perladangan pasti sedikit terkesan dengan kemasukan pekerja asing kerana di situ juga pasti ramai rakyat tempatan bekerja dalam sektor perladangan.
Berbeza pula di bandar besar seperti Kuala Lumpur kerana kebanyakan pekerja asing akan bekerja di sektor low skilled dan tidak akan mengganggu peluang kerja anak tempatan. Tetapi secara keseluruhannya, laporan ini menyatakan kemasukan pekerja asing tidak memberi impak yang signifikan kepada pekerja tempatan di Malaysia.

Jika dilihat kepada trend terkini juga, anak muda tempatan kurang berminat untuk bekerja di sebilangan sektor atas beberapa faktor. Umpamanya ialah gaji yang ditawarkan rendah, kelulusan pendidikan yang dimiliki oleh anak tempatan melebihi kelayakan kerja, bidang kerja yang tidak menarik dan bermacam lagi.
Jika Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mahu menghentikan atau mengurangkan pengambilan tenaga kerja asing ke negara ini, satu mekanisme dan jalan penyelesaian terbaik haruslah difikirkan kerana ekonomi Malaysia pastinya akan merudum sekiranya produktiviti di beberapa sektor menurun ekoran penghentian pengambilan tenaga kerja asing.
Antara jalan penyelesaian yang mungkin boleh difikirkan bagi menangani kebanjiran warga asing ini ialah melalui penggunaan teknologi yang lebih meluas supaya kerja-kerja low skilled ini dapat ditampung oleh mesin dan teknologi dan sekaligus produktiviti pengusaha tidak akan berkurang bahkan lebih meningkat dan akhirnya membantu pertumbuhan ekonomi negara.