Pembangunan Bukan Lagi Sekadar KDNK, Tetapi Kekayaan Yang Dikongsi Bersama – Tun M
- Keutamaan untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Berasrama Penuh akan diberikan kepada kumpulan B40
- Kerajaan meletakkan sasaran penengah pendapatan isi rumah bagi kumpulan B40 bersamaan RM4,790
Dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bertemakan, ‘Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’ semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menekankan bahawa pembangunan negara perlu dikongsi oleh semua rakyat.
“Dokumen ini memperlihatkan anjakan pemikiran berkaitan pembangunan. Kita tidak lagi melihat pembangunan mengikut ukuran pertumbuhan ekonomi atau keluaran dalam negeri kasar (KDNK) semata-mata.” – Tun M
Jika pembangunan dapat dikongsi sama rata, tidak akan wujud jurang pendapatan yang terlalu besar antara miskin dan kaya. Selain itu pembangunan tidak akan tertumpu di satu kawasan sahaja dan negeri atau wilayah lain ditinggalkan.
Kajian Separuh Penggal ini menggariskan enam tonggak dasar untuk menyokong pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan:
1. Reformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam.
2. Memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat.
3. Menuju ke arah pembangunan wilayah yang seimbang.
4. Memperkasa modal insan.
5. Mempertingkat kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau.
6. Memperkukuh pertumbuhan ekonomi dalam semua sektor ekonomi.

Tonggak kedua memfokuskan kepada menambah baik taraf hidup rakyat tanpa mengira jantina, kaum, sosio-ekonomi dan geografi. Langkah bersepadu akan diambil bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah ini (B40).
Berbaki 2 tahun lagi (2018 – 2020) bagi RMK- 11, kerajaan mengeluarkan 9 strategi bagi menjayakan perkara ini. 9 strategi tersebut adalah:
1. Meningkatkan pendapatan dan kuasa beli kumpulan B40.
2. Meningkatkan komuniti ekonomi bumiputera.
3. Memperkasa kumpulan minoriti.
4. Memenuhi keperluan kumpulan bersasar.
5. Mempromosi nilai murni dan gaya hidup sihat.
6. Menjadikan negara lebih selamat.
7. Meningkatkan capaian kemudahan kesihatan.
8. Menyediakan rumah mampu milik.
9. Meningkatkan kuasa beli rakyat kesuluruhan.
Beberapa sasaran telah ditetapkan untuk mencapai tonggak kedua ini pada 2020 seperti :
1. Gini coefficient = 0.385
2. Penengah pendapatan isi rumah bagi kumpulan B40 = RM4,790
3. Mebina rumah mampu milik = 200,000 unit
4. Nisbah doktor kepada rakyat = 1:450
6. Penyertaan wanita dalam pekerjaan = 56.5%
Dalam usaha meningkatkan pendapatan kumpulan B40, kerajaan akan berusaha meningkatkan kemudahan pendidikan dan kemahiran kepada mereka. Program bantuan pendidikan seperti Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, Rancangan Makanan Tambahan dan Biasiswa Kecil Persekutuan akan diteruskan.
Peluang pendidikan akan diberikan bermula dari peringkat pra-sekolah lagi dengan menyediakan kelas pra-sekolah pada harga yang murah.
Selain itu, keutamaan untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Berasrama Penuh akan diberikan kepada kumpulan B40.
Di samping itu, kerajaan juga akan membantu usahawan kecil melalui program anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan yang memfokuskan kepada transformasi ekonomi digital, penggunaan teknologi terkini dan ke arah sistem perniagaan yang lebih korporat.
Peluang dan bantuan yang sama akan turut diberikan kepada kumpulan minoriti seperti Orang Asli, Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak yang sedikit ketinggalan dalam pendidikan, kemahiran dan keusahawanan.
Selain meningkatkan pendapatan, kerajaan akan berusaha untuk meningkatkan kuasa beli rakyat dengan menyelesaikan isu kenaikan harga barang yang menjadi punca kenaikan kos sara hidup.
Pasaran yang lebih berdaya saing dilihat mampu memastikan barang dan perkhidmatan dapat dinikmati pada harga yang lebih kompetitif dan berpatutan. Satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk mengkaji semula perniagaan-perniagaan monopoli.
Di samping itu, kerajaan akan menyediakan lebih banyak kedai yang menawarkan harga barang berpatutan. Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang ditubuhkan baru-baru ini merupakan badan utama dalam menangani isu kos sara hidup rakyat yang tinggi.
Bagi memastikan kos sara hidup dapat dikurangkan, rakyat juga perlu memainkan peranan sebagai pengguna dengan melaporkan sebarang salah laku peniaga.
Pelaksanaan inisiatif yang dikenal pasti secara berkesan adalah kunci untuk mencapai semua hasil yang telah ditetapkan, selaras dengan Agenda 2030 untuk mencapai Pembangunan Mampan dan Negara Bersatu.