Pemuda Berusia 24 Tahun Ini Memiliki Start Up Bernilai USD5 Bilion
- Oyo menyenaraikan sebanyak 212,00 bilik di seluruh dunia
- 200 kriteria perlu dipatuhi bagi memastikan servis yang baik
Ritesh Agarwal, 24 tahun mengasaskan Oyo 5 tahun lepas selepas menjelajah India dengan menginap di hotel-hotel bajet. Dalam perjalanannya, beliau menjumpai satu masalah iaitu tiada piawaian (standard) bagi hotel-hotel yang didudukinya.
Di India, mencari hotel dengan bajet yang rendah bukanlah satu perkara yang sukar, tapi yang menjadi masalah adalah mencari hotel murah dengan kemudahan yang baik.
Kebanyakan hotel murah yang diiklankan di internet indah khabar daripada rupa. Ada sahaja masalah bakal dihadapi pelancong jika mereka menginap di hotel murah seperti lantai dan tandas yang tidak bersih, cadar tidak berganti dan penghawa dingin yang berbau.
“Tiada pelancong India yang layak tinggal di tempat-tempat tersebut, tidak kiralah berapa yang mereka bayar. Kekurangan kepercayaan adalah perkara yang OYO cuba selesaikan” Ritesh Argawal.
Bermula saat itu, beliau mendapat idea untuk memulakan satu servis maya untuk menambah baik pengalaman penginapan di hotel murah.

Oyo akan menjadi perantara bagi pihak hotel bajet dan pelanggan. Mana-mana pemilik hotel yang menyenaraikan bilik mereka di portal Oyo perlu memastikan mereka mengikut piawaian yang ditetapkan Oyo.
Oyo meletakkan sebanyak 200 kriteria yang terdiri daripada internet percuma, TV skrin rata, cadar putih dan bermacam lagi syarat bagi menepati piawaian yang ditetapkan.
Selain itu, bagi memastikan hotel-hotel tersebut mampu memberikan servis yang baik, Oyo turut menyediakan latihan dan kursus kepada staf hotel serta menyelaraskan sesetengah alatan di semua hotel.
Jika semuanya menepati syarat, bilik-bilik hotel akan disenaraikan dalam portal dengan harga bermula serendah USD25. Bagi setiap tempahan bilik, Oyo akan mendapat komisen sebanyak 25%.
Gurgaon menjadi tempat Oyo memulakan empayarnya, daripada satu hotel di Gurgaon hingga ke 125,000 bilik di seluruh India. Di China, mereka mula beroperasi semenjak November 2016 di daerah Shenzen. Setahun kemudian, Oyo berjaya menyenaraikan sebanyak 87,000 bilik di 170 bandar China.
Kini, Agarwal ingin mengembangkan bisnesnya ke seluruh dunia. Syarikat tersebut baru sahaja mendapat suntikan dana sebanyak USD1 bilion (RM4.13 bilion) daripada SoftBank Vision Fund, Sequoia Capital dan beberapa pelabur lain.
Bulan lepas, buat pertama kalinya mereka memulakan operasi di negara maju, United Kingdom.
“Menjelang 2023, kita akan menjadi rangkaian hotel terbesar di dunia” Agarwal.
Menurut penganalisis dari RedSeer Management Consulting berkata model bisnes akan berjaya kerana ramai pelancong yang mengambil berat tentang kos suka apabila diberi pilihan yang banyak.

Dengan suntikan tersebut, Oyo kini bernilai USD5 bilion, syarikat startup yang paling bernilai di India selepas One97 Communication, syarikat induk kepada perintis bayaran digital Paytm.
Susulan perancangan mereka untuk mengembangkan bisnesnya di seluruh dunia, Malaysia dipilih sebagai hub untuk mengukuhkan kedudukan mereka di Asia Tenggara.
Sebanyak USD20 juta (RM80 juta) dibelanjakan bagi tujuan mengembangkan bisnes di sini dan dijangka angka tersebut akan berganda tahun hadapan.
Bagi separuh tahun pertama 2018, seramai 150,000 pelanggan telah menggunakan servis Oyo. Mereka menjangkakan bilangan Hotel berdaftar dengan mereka akan meningkat daripada 50 hotel kepada 1,000 hotel dalam masa 12 bulan.