Pendapatan Negara Bertambah RM5.4 Bilion Susulan Kenaikan Harga Minyak Dunia
- Setiap USD1 kenaikan harga minyak dunia, pendapatan negara bertambah RM300 juta
- Kerajaan membelanjakan RM3 bilion bagi menampung subsidi minyak
Sejak beberapa bulan kebelakang, harga minyak mentah Brent mula mencecah paras USD80 satu tong. Minggu ini, penanda aras minyak mentah global, Brent didagangkan pada harga USD82.70 satu tong, paras tertinggi semenjak November 2014.
Kenaikan ini berikutan sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran bulan depan. Iran merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar di dunia dengan jumlah eksport sebanyak 2.7 juta tong sehari.
Jika sekatan AS ini berjaya, penganalisa pasaran menjangkakan pasaran mengalami kekurangan bekalan minyak sebanyak 500,000 tong sehari.
Menurut laporan Bloomberg, harga minyak Brent berpotensi mencecah USD100 satu tong bagi beberapa bulan akan datang. Hal ini kerana pasaran tidak mempunyai kapasiti untuk menggantikan kekurangan bekalan susulan sekatan ke atas Iran.

Susulan kenaikan harga minyak dunia, ianya bakal memberi kesan secara lansung kepada Malaysia sebagai negara pengeluar minyak. Harga minyak yang tinggi membantu meningkatkan pendapatan fiskal kerajaan.
15%-20% pendapatan negara datang daripada hasil minyak yang terdiri daripada cukai ke atas petroleum, dividen Petronas dan Royalti petroleum dan gas.
Pada tahun 2013 (harga minyak sekitar USD100 satu tong), 29.5% pendapatan negara datang daripada hasil minyak dan ianya turun kepada 19.5% sahaja tahun 2015 ekoran penurunan harga minyak.
Walau bagaimanapun, pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015 membantu menampung kekurangan pendapatan daripada hasil minyak. Kutipan GST menyumbang sebanyak 12.3% kepada pendapatan negara pada tahun 2015.
Kenaikan harga minyak dilihat sebagai satu rahmat kepada kerajaan Malaysia susulan penghapusan GST yang mana mengurangkan pendapatan negara.
Ketika pembentangan Bajet 2018 dibuat, kerajaan menjangkakan kutipan GST sebanyak RM42 bilion setahun berbanding SST yang hanya mampu menjana sebanyak RM21 bilion setahun.
Dalam Bajet 2018 juga ada menyatakan jangkaan pendapatan daripada hasil minyak dikira berdasarkan harga purata minyak USD52 satu tong.
Jika harga minyak terus kekal sekitar USD80 satu tong bagi suku terakhir 2018, purata harga minyak tahun ini adalah USD70 satu tong. Ini memberikan lebihan sebanyak USD18 satu tong berbanding jangkaan Bajet 2018.
Pendapatan negara meningkat sebanyak RM300 juta bagi setiap kenaikan harga minyak sebanyak USD1 satu tong. Ini bermakna negara akan menikmati lebihan pendapatan sebanyak RM5.4 bilion berbanding anggaran Bajet 2018.
Walaupun negara menikmati pertambahan pendapatan melalui kenaikan harga minyak dunia, kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja lebih bagi menampung kos subsidi minyak.
“Kerajaan telah menetapkan bahawa harga jualan runcit bagi produk petroleum RON95 dan diesel dikekalkan masing-masing pada harga RM2.20 seliter, dan RM2.18 seliter.
“Mulai hari ini, harga RON97 akan mula diapungkan pada harga RM2.66 seliter sehingga 13 Jun 2018, dan akan diselaras setiap minggu,” Lim Guan Eng
Kenyataan ini dibuat ketika purata harga minyak mentah dunia berada di paras USD76 satu tong. Berdasarkan purata USD76 satu tong, jumlah yang perlu ditanggung kerajaan bagi menampung subsidi minyak adalah RM3 bilion pada tahun ini.
Kerajaan mungkin terpaksa berbelanja lebih daripada RM3 bilion jika harga minyak mentah dunia didagangkan sekitar USD80 satu tong sehingga hujung tahun ini.
Lebih-lebih lagi jika harga minyak terus mengukuh ke USD100 satu tong tahun hadapan, kerajaan mungkin terpaksa mengeluarkan belanja lebih daripada RM10 bilion (berdasarkan jumlah subsidi tahun 2010-2011) bagi meneruskan subsidi minyak.

Sesetengah ahli ekonomi tidak bersetuju dengan mekanisme subsidi minyak hari ini kerana ianya lebih memberi manfaat kepada golongan kaya berbanding golongan miskin.
Menurut Laporan Khazanah, pada tahun 2013, kurang daripada 23% (RM5.6 b) subsidi pergi kepada isi rumah, selebihnya pergi kepada industri dan perniagaan.
Daripada RM5.6 bilion itu, 80% daripadanya dinikmati golongan berpendapatan tinggi. Jumlah perbelanjaan subsidi bagi tahun 2013 adalah RM23.5 bilion.
Jelas disini menunjukkan kerajaan perlu memikirkan satu mekanisme subsidi baru yang lebih bersasar.
Adakah dengan peningkatan harga minyak ini lebih banyak memberi manfaat atau mudarat kepada kerajaan Malaysia? Mampukah subsidi minyak diteruskan tahun hadapan?