fbpx

Penyertaan Tok Pa Memperkuat Bersatu, Menggugat Kestabilan Kerajaan PH?

Oleh : Faris Halim
29 Oktober 2018 - 7:53 pm

Reading Time: 3 minutes

Seperti yang diperkatakan ramai sebelum ini, Ahli Parlimen Jeli dan mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB Datuk Seri Mustapa Mohamed atau lebih dikenali sebagai Tok Pa telah sah diterima sebagai ahli baru Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

 

Penyertaan tokoh politik yang dihormati dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini yang mempunyai latar belakang teknokrat dan dihormati oleh komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa sememangnya akan memperkuat lagi barisan ahli parlimen daripada Bersatu (PPBM).

 

Langkah ini kelihatan tepat pada waktunya kerana rakyat sudah mula membandingkan prestasi menteri-menteri daripada Bersatu (PPBM) yang kurang memuaskan dan kelihatan bermasalah.

 

Walaupun terlalu awal untuk membuat spekulasi, sama ada bekas menteri yang pernah berkhidmat dalam kabinet pimpinan tiga Perdana Menteri sebelum ini akan diberikan kerusi empuk dalam kabinet Pakatan Harapan atau tidak, namun ia merupakan amaran awal kepada semua anggota kabinet untuk terus meningkatkan prestasi.

 

Kredit: Bernama

 

Tun Dr Mahathir dikatakan bakal membuat rombakan kabinet menjelang akhir tahun ini dan jika masih ada mana-mana menteri yang terus gagal membaiki prestasi, maka mereka harus mengucapkan selamat tinggal dan bersedia untuk disingkirkan.

 

Tok Pa yang terkenal dengan sifat sederhana dan memiliki pengalaman luas berkhidmat sebagai Menteri dalam bidang ekonomi mampu memainkan peranan penting disebabkan pernah berkhidmat dalam pelbagai portfolio ekonomi dan mampu memainkan fungsi sebagai balancing act untuk mengimbangi pengaruh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan anak emas Perdana Menteri, Datuk Seri Azmin Ali.

 

Menurut sumber-sumber dalaman kerajaan, persaingan pengaruh antara Azmin dan Guan Eng sudah sampai ke tahap yang membimbangkan dan mungkin membawa impak negatif kepada ekonomi negara yang dijangkakan akan tumbuh lebih lemah pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus berbanding unjuran awal 6 peratus.

 

Ramai pemerhati melihat bahawa kebergantungan negara kepada pelaburan asing juga dilihat semakin lemah ekoran sentimen pasaran yang melihat Malaysia Baharu dalam transisi yang masih samar-samar khasnya dari sudut strategi ekonomi.

 

Justeru, kehadiran Tok Pa dilihat sebagai aset kepada kerajaan PH untuk memperkukuh pandangan pasaran terhadap PH. Tidak dilupakan juga Tok Pa merupakan salah seorang anak didik politik Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin dan dikhabarkan Tun Daim memainkan peranan penting di belakang tabir untuk membawa Tok Pa ke dalam rangkulan Bersatu (PPBM).

 

Langkah Tok Pa ini walaupun kelihatan menguntungkan Bersatu (PPBM) dalam jangka masa terdekat, namun ia mempunyai tiga implikasi negatif terhadap kestabilan politik negara.

 

Pertama, jika Tok Pa dibawa masuk ke kabinet kemudian, sudah tentu akan ada yang tidak berpuas hati. Tidak sampai setengah tahun menjadi menteri, sudah ada yang harus menjadi backbencher. Sama ada menjadi Menteri Ekonomi atau Menteri Pendidikan sudah pasti ada tokoh yang kurang senang mengikuti perkembangan ini.

 

Menurut sumber, Tok Pa juga mungkin dijadikan back-up kepada Perdana Menteri sekiranya Azmin Ali tewas dalam pemilihan PKR dan dipaksa melepaskan jawatan menteri. Suasana yang kurang harmoni dalam kerajaan sudah tentu akan membuka ruang untuk politik tawar-menawar demi mengekalkan kepentingan masing-masing. Ini boleh menyebabkan ketidaktentuan yang mungkin akan mengunggat kestabilan kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir.

 

Kedua, jika Tok Pa dibawa masuk ke dalam kabinet, ini boleh dibaca sebagai tembakan awal kepada bakal Perdana Menteri kelapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pihak yang dekat dengan Anwar mungkin membaca langkah ini sebagai salah satu lagi sandiwara politik Dr Mahathir untuk melengah-lengahkan peralihan tampuk kepimpinan negara kepada Anwar Ibrahim.

 

Implikasi ketiga dan terpenting ialah dilema moral kerajaan PH dalam mengutip bekas pemimpin UMNO. Walaupun ramai mengakui bahawa Tok Pa kelihatan relatif bersih jika dibandingkan pemimpin-pemimpin UMNO lain, namun hakikatnya beliau tetap merupakan salah seorang daripada mereka yang bersubahat membenarkan Najib Razak merompak negara.

 

Kredit: justreadonline.com

 

Beliau tidak bersuara apabila Najib rakus “merogol” kewangan negara. Selaku mantan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, beliau dan rakan-rakan UMNO secara aktif mempertahankan Najib.

 

Adakah kini melalui Bersatu (PPBM) segala dosa-dosa ini dihapuskan? Di manakah letaknya politik berprinsip yang beliau laungkan selama ini?

 

Adakah parti-parti komponen PH lain yang selama ini mengangkat moral highground dalam peperangan menentang BN sanggup berdepan hipokrasi ini? Tambahan lagi, langkah ini juga membuka pintu kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang lain untuk menyertai Bersatu (PPBM) dan kembali berkuasa.

 

Sememangnya seperti dikhabarkan ramai ahli-ahli Parlimen UMNO berminat untuk menerima pembersihan dosa ala Tok Pa. Perkembangan ini merisaukan parti-parti komponen lain dalam PH terutamanya DAP. Bagaimana DAP harus berdepan dengan pengundi-pengundi Cina yang majoritinya bencikan pemimpin-pemimpin UMNO?

 

Benar Tok Pa pemimpin yang mempunyai kaliber dan integriti serta amat diperlukan untuk memudahkan kerajaan PH, namun jika diteliti, langkah ini mungkin memakan diri buat PH.

 

 


Faris Halim merupakan peminat tegar Kapital.my dan seorang pengamat politik yang berpengalaman luas dalam bidang kajian strategik.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 24-01
Kapital

Kenapa Orang Jepun Tidak Membeli Kereta Buatan Amerika

Reading Time: 2 minutes 40% daripada kereta yang dijual di Jepun adalah kereta bersaiz kecil General Motor hanya mampu menjual 700 unit…

Featured Image 3-01 (1)
Kapital

Perkhidmatan Kesihatan & Impak Kepada Ekonomi Negara

Reading Time: 2 minutes   AmInvestment menjangkakan prospek pertumbuhan bagi sektor kesihatan adalah positif untuk tempoh jangka panjang yang akan datang berdasarkan…

Featured Image 2-01
Kapital

Graduan B40 Sukar Dapat Kerja Setimpal

Reading Time: 10 minutes   Peluang melanjutkan pelajaran di menara gading, kini bukan lagi jaminan bagi anak-anak daripada keluarga miskin serta kelompok…

Featured Image-01
Kapital

Hi HOME Bakal Tingkatkan Kadar Pemilikan Rumah Di Malaysia

Reading Time: 3 minutes   Jika ditanya kepada sesiapa sahaja, sudah pasti memiliki rumah adalah salah satu impian yang mahu dipenuhi. Selain…