Pra-Bajet 2019: Rakyat Atau Kerajaan Yang Perlu Berkorban?
Debaran menanti Bajet 2019 sudah semakin hampir, berbaki 2 hari lagi Bajet 2019 akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini.
Ini merupakan kali pertama Pakatan Harapan membentangkan bajet mereka sebagai sebuah kerajaan.
Apakah yang bakal kita saksikan dalam bajet kali ini?
Melihat kembali bajet alternatif Pakatan Harapan sebelum ini, ianya fokus kepada membaiki kedudukan fiskal negara dan meringankan beban hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Antara kandungan bajet tersebut adalah menghapuskan tol, subsidi minyak bersasar, menyediakan rumah mampu milik dan menaikkan gaji minimum kepada RM1,500.

Adakah ini yang rakyat akan dapat dalam bajet 2019 kali ini?
Berdasarkan beberapa petunjuk daripada pihak kerajaan, kemungkinan besar rakyat terpaksa berkorban untuk belanjawan negara kali ini.
“Pengorbanan yang kita minta bukan banyak sangat. Kerajaan hari ini tidak ada duit untuk beri sama seperti kerajaan dahulu. BR1M, gaji untuk nelayan dan boleh katakan semua orang dapat.
“Ini semua sebab mereka nak beli sokongan. Kalau rakyat anggap kita boleh tolong, undilah. Kita tak boleh bagi duit,” Tun Dr Mahathir
Kerajaan menekankan bahawa bagi bajet kali ini mereka perlu berjimat cermat ekoran keadaan ekonomi negara yang tidak memberansangkan.
Semenjak Pakatan Harapan memerintah May lalu, isu hutang negara yang tinggi sering disebut-sebut pihak kerajaan dan ianya dikatakan menjadi sebab mengapa manifesto Pakatan Harapan tidak dapat ditunaikan.
Baca: Kementerian Kewangan : Isu Hutang Negara Kini RM1 Trilion
Baca: Beza Hutang Kerajaan Dengan Hutang Kita Semua
Menurut Menteri Kewangan pula, Bajet 2019 yang akan dibentangkan ini adalah belanjawan yang sukar bagi Kerajaan Persekutuan.
“Kita perlu membetulkan kewangan fiskal dan pada masa sama perlu juga meningkatkan kesejahteraan rakyat. Kita harap rakyat akan faham bahawa kita perlukan masa tiga tahun untuk berbuat demikian,” Lim Guan Eng
Selain daripada berjimat cermat, kerajaan turut memberi indikasi bahawa ada cukai baru yang bakal diperkenalkan untuk menambah pendapatan negara.

Berbicara soal cukai, ianya mendapat reaksi yang berbeza daripada pelbagai pihak terutamanya apabila kerajaan menggantikan sistem cukai GST dengan SST.
Sesetengah pihak mempersoalkan tindakan kerajaan tersebut kerana ianya tidak memberi manfaat baik kepada pihak kerajaan mahupun rakyat.
Sudahlah pendapatan kerajaan menurun, harga barang pula tidak mengalami sebarang penurunan yang tinggi.
Baca: Apakah Cukai Baru Yang Bakal Diperkenalkan?
Kemungkinan besar tiada “buah tangan” daripada kerajaan dalam belanjawan kali ini seperti BR1M, baucer buku dan gaji nelayan berikutan keadaan kewangan negara yang tidak mengizinkan.
Belanjawan kali ini mungkin akan menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat terutama kumpulan B40. Tidak cukup dengan bantuan seperti BR1M yang mungkin tidak akan diteruskan lagi, cukai baru pula bakal diperkenalkan.
Walau bagaimana pun, kita nantikan dulu pembentangan bajet 2019 jumaat ini sebelum membuat apa-apa konklusi.