fbpx

RMK11: Reformasi Tadbir Urus Jadi Keutamaan

Oleh : Wan Syarafiz
19 Oktober 2018 - 7:29 pm

Reading Time: 4 minutes
  • SPRM dan SPR akan bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen
  • Had umur pengundi akan diturunkan kepada 18 tahun

 

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) 2016-2020 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah sekadar memberi perincian pencapaian pelan pembangunan tetapi juga mahu menyatakan keutamaan kerajaan yang baru untuk memacu kemajuan Malaysia.

 

Dalam sesi pembentangan itu, Tun Mahathir telah menggariskan enam tunjang utama dalam RMK11 iaitu mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam, memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat, menuju ke arah pembangunan wilayah yang seimbang, memperkasa modal insan, mempertingkat kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi.

 

Antara perkara yang ditekankan dalam pembentangan RMK11 ini ialah pembaharuan institusi dengan amalan tadbir urus dan polisi yang baik bagi menarik pelabur kembali ke Malaysia. Tun Mahathir  menyatakan akan memberi keutamaan dan penekanan baru dalam mereformasi tadbir urus bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam.

 

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali turut dipetik berkata bahawa kerajaan sebelum ini gagal mencapai sasaran mereka kerana ketirisan dan juga rasuah. Oleh itu, pembaharuan tadbir urus adalah penting bagi memulihkan kembali keyakinan pelabur untuk datang ke Malaysia.

 

“Dan antara tonggak terpenting dalam Kajian Separuh Penggal RMK11 untuk memastikan urus tadbir yang baik kerana dengan urus tadbir ini dapat jamin keyakinan baru di kalangan pelabur asing untuk kembali semula ke Malaysia dan dapat menjana pertumbuhan. Dan dengan pertumbuhan kita dapat agih kekayaan secara adil dan saksama,” ujar Azmin Ali.

 

Image result for datuk seri azmin ali
Kredit: The Star

 

Antara perkara yang menjadi tumpuan daripada sesi pembentangan ini adalah pengumuman tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dihadkan kepada dua penggal sahaja bagi mereformasikan sistem politik.

 

Menurut Tun Mahathir lagi, bagi pelantikan jawatan utama di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa pemilih yang akan bertanggungjawab bagi memperaku pelantikan jawatan-jawatan penting ini.

 

“Suruhanjaya tertentu seperti SPRM dan SPR akan juga bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen.

 

“Langkah segera untuk mereformasi sistem politik juga akan dilaksanakan. Tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal. Perdana Menteri juga tidak akan memegang portfolio lain,” ujar Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sewaktu sesi pembentangan RMK11.

 

Image result for rmk11 tun mahathir
Kredit: Kosmo

 

Antara perkara lain yang bakal dilaksanakan lagi dalam tempoh RMK11 ini ialah pengembalian semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 untuk mempertingkatkan kuasa autonomi Parlimen.

 

Selain itu, kerajaan juga mahu memerangi rasuah secara menyeluruh dalam sektor awam dan juga swasta. Antara langkah yang bakal diambil ialah dengan mentransformasi SPRM untuk menjadi sebuah badan bebas sepenuhnya di samping akan mengkaji semula Akta SPRM secara menyeluruh.

 

Kerajaan juga akan menilai kembali Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi mempertingkatkan undang-undang pencegahan rasuah.

 

Menurut laporan RMK11 ini, institusi sekarang masih kekurangan semak dan imbang (check and balance) antara executive, legislative dan judiciary. Pengasingan kuasa adalah asas penting bagi membendung penumpuan kuasa pada sesetengah bahagian dalam kerajaan sahaja. Disebabkan hal itu, pekerja perkhidmatan awam yang memegang jawatan-jawatan sensitif akan diwajibkan kepada sistem ‘job rotation’.

 

Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diasingkan dengan melantik dua individu yang berlainan supaya semak dan imbang dapat dipertingkatkan pada semua peringkat.

 

Image result for rmk11
Kredit: FMT

 

Antara pembaharuan institusi yang bakal dilaksanakan lagi ialah penubuhan sebuah suruhanjaya bebas aduan dan salahlaku polis bagi memperkasakan integriti serta mencegah salahlaku dalam anggota polis.

 

Kerajaan juga akan melantik pegawai bebas (Ombudsman) yang akan menyiasat sebarang aduan dan salah urus tadbir dalam perkhidmatan awam dan akan melapor secara terus kepada Parlimen.

 

Dalam pembentangan itu juga, Tun Dr Mahathir menyatakan kerajaan akan menambahbaik sistem pilihan raya yang sedia ada. Antara perkara yang bakal dilakukan ialah menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun serta memperkenalkan undang-undang berkaitan pembiayaan politik.

 

“Penambahbaikan sistem pilihan raya akan dilaksana dengan membersihkan daftar pemilih, menambah baik proses pengundian pos dan menyediakan akses yang adil kepada media,” ulas Tun Mahathir berkenaan penambahbaikan sistem pilihan raya.

 

Sebuah rangka kerja perundangan yang komprehensif dan berkesan juga bakal diperkenalkan bagi menambah baik prosedur perolehan kerajaan di samping menguatkuasakan pelaksanaan tender terbuka serta mengkaji semula rangka kerja perkongsian awam-swasta.

 

“Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah untuk kita melakukan perubahan. Maka reformasi tadbir urus menjadi keutamaan. Kita telah melakukannya dengan menukar pemimpin institusi kritikal seperti institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, SPRM dan SPR. Tadbir urus kerajaan perlu diperbaiki. Ketelusan akan ditingkatkan bagi mencegah rasuah dan membasmi salah guna kuasa,” ujar Perdana Menteri itu.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…