fbpx

UMNO Tidak Peduli Nasib Utusan?

Oleh : Wan Syarafiz
01 Oktober 2018 - 11:57 am

Reading Time: 4 minutes
  • UMNO memiliki pegangan saham 49.77% dalam Kumpulan Utusan Melayu Berhad
  • Skim VSS yang ditawarkan menyimpang daripada kaedah biasa yang digunakan

 

Dengan permasalahan yang kerap kali melanda Kumpulan Utusan Melayu Berhad, adakah wajar untuk syarikat akhbar ini terus kekal dalam industri penerbitan?

 

Sebelum ini, Utusan telah tersenarai dalam status PN17 akibat kegagalan membayar hutang kira-kira RM1.18 juta kepada dua bank.

 

Apa itu PN17? PN17 adalah singkatan daripada perkataan Practice Note 17 yang menunjukkan syarikat memiliki status ini berada dalam masalah kewangan dan tidak memenuhi syarat minimum daripada sudut modal atau equity yang ditetapkan Bursa Malaysia.

 

Tak cukup dengan status PN17, kerugian Utusan selama enam tahun berturut-turut juga mencatatkan jumlah sebanyak RM71.4 juta.

 

Ini ditambah pula jumlah keseluruhan hutang terkumpul mereka yang bernilai RM328 juta.

 

Image result for utusan
Kredit: The Star

 

Walau bagaimanapun, Utusan sedar akan hal ini dan berusaha untuk memulihkan kembali pengurusan kewangan syarikat tersebut dengan mengambil keputusan untuk menawarkan pemberhentian melalui skim pemberhentian sukarela (VSS).

 

Utusan juga telah menukar wajah akhbar mereka daripada konsep broadsheet kepada konsep tabloid. Perubahan ini dilakukan bagi mengurangkan kos percetakan dan penerbitan mereka.

 

Penukaran akhbar ke dalam konsep tabloid dan juga penawaran VSS untuk mengurangkan jumlah pekerja dilakukan bagi mengurangkan kerugian kira-kira RM8 juta yang ditanggung syarikat Utusan setiap bulan.

 

Tetapi penawaran VSS kepada 800 daripada 1,500 kakitangan ini menimbulkan kritikan daripada Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) kerana faedah yang rendah dan pembayaran yang akan dibuat secara ansuran dalam tempoh setahun.

 

Ini dilihat menyimpang daripada kaedah biasa yang mana bayaran patut diselesaikan secara sekali gus.

 

“Kami hanya dimaklumkan cara dan formula pelaksanaan dan penyelesaiannya sejam sebelum ia diumumkan kepada semua pekerja menerusi satu taklimat semalam,” ujar NUJ melalui kenyataannya.

 

Perubahan tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan sudah semestinya memberi impak kepada Utusan yang dikuasai oleh UMNO. Dengan situasi Utusan yang akan memberhentikan pekerjanya seramai 800 orang, di manakah peranan UMNO yang sering melaungkan semangat pembelaan Melayu?

 

Sebagai rekod, UMNO memiliki pegangan saham sebanyak 49.77% dalam Kumpulan Utusan Melayu Berhad manakala syarikat Nilam Setar (M) Sdn Bhd yang dimiliki oleh Syed Mokhtar Al-Bukhari menjadi pemegang saham kedua terbesar dengan pegangan sebanyak 14.76%

 

 

“Apa gunanya Umno melaungkan semangat untuk membela nasib orang Melayu selama ini sedangkan pekerja Melayu di syarikatnya sendiri tidak terbela nasibnya”

 

“Jika ini gagal dilakukan, NUJ buat kesekian kalinya meminta agar Umno melepaskan pegangan sahamnya demi survival akhbar yang cukup bersejarah ini dan kakitangan yang banyak berjasa yang bernaung di bawahnya,” menurut kenyataan NUJ.

 

Bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan, Zainuddin Maidin dalam masa yang sama juga mengeluarkan kenyataan yang hampir sama dengan NUJ. Beliau menggesa Utusan untuk bebas daripada ideologi UMNO dan berubah menjadi suara yang mewakili rakyat Malaysia.

 

 

“Utusan ini menjual ideologi Umno bukan lagi menjual suara rakyat, sebab itu Utusan jatuh sehingga ada masalah. Tapi mereka tak peduli”

 

“Mereka tak peduli dan tak hiraukan yang orang dah bencikan Utusan, dah tak beli Utusan. Mereka sedar, bukan tak sedar yang surat khabar (Utusan) tak laku,” Zainuddin mengulas mengenai syarikat penerbitan Utusan.

 

Kapital.my juga telah mendapatkan pandangan daripada saudara Mutalib Uthman, bekas CEO syarikat penerbitan buku Dubook Press. Menurut beliau, Utusan wajar terus kekal di bidang percetakan dan penerbitan tetapi beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan.

 

Beliau menekankan bahawa kunci utama dalam bidang penulisan adalah ‘kebebasan’. Setiap wartawan di Utusan perlu mempunyai kebebasan dalam mengarang.

 

“Satu-satunya jalan untuk melahirkan ‘berita’ adalah melalui penceritaan para wartawan terhadap sesuatu perkara yang terjadi. Maka, ia bukanlah hal yang fiksi dan rekaan”

 

“Wartawan harus diberikan kebebasan dilayan samarata. Tiada Editor in Chief yang punya kuasa mutlak. Wartawan harus mempunyai autonomi untuk mengarang cerita mereka sendiri”, ujar Mutalib.

 

Menurut bekas wartawan Utusan, Mohd Ainuddin Aliff Salehuden, Utusan perlu diteruskan kerana akhbar ini merupakan khazanah perjuangan bangsa. Walaupun Utusan ini adalah milik UMNO tetapi tanggungjawab mengekalkan Utusan ini bukan tugas UMNO sahaja tetapi tanggungjawab bersama.

 

“Sekiranya UMNO tidak berkemampuan untuk menjaga kepentingan Utusan, mereka wajar lepaskan pegangan dalam Utusan dan membenarkan tokoh korporat Melayu untuk mengambil alih Utusan”

 

“Pasca Pilihan Raya Umum 14 juga menyaksikan perubahan ketara dalam penulisan akhbar Utusan. Mereka (Utusan) dilihat lebih bebas dan boleh dikatakan penulisan mereka lebih bagus daripada akhbar-akhbar yang lain”

 

“Kerajaan hari ini perlu memainkan peranan dalam mengekalkan Utusan kerana ia merupakan khazanah perjuangan bangsa. Utusan bukan penerbitan akhbar semata-mata tetapi mereka juga merupakan gedung yang melahirkan penulis-penulis hebat”, ujar Ainuddin.

 

Dengan situasi dan masalah yang dihadapi oleh Utusan, adakah wajar mereka terus berada dalam industri penerbitan dengan UMNO sebagai pemilik saham terbesarnya? Atau pun adakah mereka perlu mengambil langkah penstrukturan semula dan bergabung dengan mana-mana syarikat penerbitan bagi terus kekal relevan?

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…