Zeti Bersedia Untuk Pelan Transformasi PNB
- Daripada RM288.1 bilion dana PNB, hanya 2.6% sahaja dilaburkan di luar negara.
- PNB mewakili 10% daripada modal pasaran (market cap) Bursa Malaysia.
Permodalan Nasional Berhad (PNB) merupakan pengurus dana pelaburan yang terbesar di Malaysia. Jumlah aset di bawah PNB pada tahun 2018 adalah RM288.1 bilion.
Julai lalu, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai pengerusi PNB yang baru bagi menggantikan Tan Sri Dato’ Sri Abdul Wahid bin Omar. Zeti kini bersedia untuk melakukan transformasi dalam PNB.
Semasa pelantikannya sebagai Pengerusi PNB, ramai yang masih meragui kebolehannya untuk mengetuai syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia itu. Bagaimana pun, sangkaan tersebut ditangkis dengan kenyataannya baru-baru ini.
Dalam sidang media pertamanya sebagai Pengerusi PNB, Zeti berkata transformasi tersebut melibatkan organisasi, mempelbagaikan (diversify) dana pelaburan dan pengurusan risiko yang lebih baik.
“Sepanjang tempoh saya sebagai Gabenor Bank Negara, kami melalui tiga transformasi membina semula organisasi. Kami bercita-cita menjadi barisan hadapan perbankan pusat.
“Jadi saya juga ingin bercita-cita tinggi di sini,” Zeti.

Zeti bercadang untuk mengkaji semula Pelan Strategik 2017-2022 (STRIVE 15) yang dilancarkan Wahid Omar pada 2016. 3 fokus utama Zeti bagi penambah baikan adalah:
1. Memperbaiki rangka peruntukan aset (asset allocation) –
Mempelbagaikan pelaburan di antara aset kelas yang berbeza dan pelaburan luar negara yang tidak sahaja fokus kepada negara maju tetapi turut mencari peluang di negara membangun.
2. Meningkatkan pengurusan risiko –
Mencipta rangka kerja yang mantap bagi memastikan daya tahan pelaburan terhadap kitaran ekonomi. Sebahagian daripadanya adalah untuk mengukuhkan pengurusan dan membina buffer ketika ekonomi baik.
3. Meningkatkan kemampuan organisasi –
Memperkukuh orgasnisasi dari dalam dan melahirkan pakar-pakar dalam PNB.
Baca: Bagaimana ASB Mampu Memberikan Dividen Tinggi
Mempelbagaikan pelaburan dana
Buat masa sekarang, PNB melabur sebanyak 72.5% dalam ekuiti awam, 16.5% dalam tunai, 5.8% dalam pendapatan tetap, 2.7% dalam hartanah dan 2.1% dalam pelaburan swasta.
Daripada RM288.1 bilion dana PNB, hanya 2.6% sahaja dilaburkan di luar negara. PNB mewakili 10% daripada modal pasaran (market cap) Bursa Malaysia.
Sebagai perbandingan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaburkan sebanyak RM813.18 bilion diluar negara, bersamaan 26.5% daripada jumlah dana. KWAP melaburkan sebanyak 12% daripada jumlah dananya di luar negara.
Ketua Pengarah Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman menyatakan, PNB perlu lebih berhati-hati dalam mengembangkan pelaburan ke luar negara. KWSP juga mengambil tempoh masa yang panjang sebelum berjaya mengembangkan pelaburan di luar negara seperti sekarang.
Zeti memberitahu penting bagi PNB untuk mempelbagaikan aset pelaburan dalam dan luar negara kerana saiz dananya yang besar. PNB perlu melakukannya secara berperingkat dalam masa sama melahirkan pakar dalam PNB.
Meningkatkan pengurusan risiko
Abdul Rahman berkata PNB akan memberikan fokus kepada pelaburan dalam “syarikat teras”. “Syarikat teras” bermaksud syarikat yang mana PNB mempunyai pegangan melebihi 10%.
“Fokus kami tahun lepas adalah syarikat strategik, jadi kini, kami akan fokus kepada syarikat teras” Abdul Rahman
Beliau menyatakan beberapa pelaburan tidak memberikan pulangan yang baik tahun ini seperti Telekom Malaysia Bhd, Axiata Group Bhd dan beberapa syarikat pembinaan.
Menurut Zeti pula, pengalaman beliau di BNM mampu membantu menambah baik rangka pengawalan risiko di PNB. Semasa beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Gabenor BNM beliau memegang portfolio menjaga rizab.
Meningkatkan kemampuan organisasi
PNB akan memanfaatkan penggunaan teknologi dalam mencapai prestasi yang lebih tinggi melalui kemampuan organisasi yang lebih baik.
Selepas ini PNB akan lebih banyak bekerjasama dengan pakar daripada pihak industri dengan mengadakan dialog bagi memahami lebih mendalam mengenai industri tersebut.
Jika mereka melabur dalam sektor hartanah contohnya, mereka akan dapatkan maklumat dari pihak industri bagi meningkatkan potensi keuntungan.

Selain itu, PNB baru sahaja melancarkan 2 dana tidak tetap (variable fund) iaitu ASN Ekuiti 5 dan ASN Sara 2. Selepas ini, PNB akan lebih fokus mengenalkan lebih banyak dana tidak tetap.
Mengenai dividen PNB di masa hadapan, Zeti menyatakan mereka mahu memberikan dividen yang konsiten. Ianya tidak bagus untuk memberi pulangan yang tinggi untuk satu tahun sahaja tapi tahun yang lain pulangannya rendah.
Zeti berharap masyarakat akan lebih faham bagaimana pelaburan berfungsi. Walau apa sahaja pulangan pelaburan, tinggi atau rendah, mereka akan faham kenapa ianya terjadi. PNB akan mencuba sedaya upaya untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan masyarakat.