fbpx

Apa Faedahnya Subsidi Petrol, Tanya Penduduk Luar Bandar

Oleh : Kapital
08 November 2018 - 12:08 pm

Reading Time: 4 minutes

Subsidi minyak bersasar akan diberikan kepada mereka yang memiliki kereta bawah 1,500 cc dan motorsikal bawah 125 cc sepertimana yang dinyatakan dalam Belanjawan 2019. Subsidi diberikan pada kadar RM0.30 seliter dan terhad kepada 40 liter bagi motorsikal dan 100 liter bagi kereta.

 

Artikel ini pertama kalinya disiarkan di The Malaysian Insight

 

PENDUDUK di luar bandar tidak tahu apa faedahnya pada mereka apabila kerajaan mengapungkan harga petrol dan memberikan subsidi secara tersasar, terutamanya mereka yang tinggal jauh dari kawasan yang ada stesen minyak.

 

Di tempat seperti itu, petrol dijual dalam botol di kedai runcit, biasanya pada harga yang lebih tinggi daripada di stesen minyak.

 

“Harga petrol di sini beza 50 sen hingga RM1.00 seliter dengan harga di luar. Kalau di luar sekarang ini harga RM2.20, di sini RM2.70 tetapi ramai yang jual RM3.00, tengok kedai. Kita sudah lama beli petrol harga RM3 seliter,” kata Norrikmal Rizal Manaf, 28, yang tinggal di Jelawang, Kelantan

 

Beliau merujuk pada harga RON95 yang selepas ini akan diletakkan di bawah subsidi tersasar 30 sen seliter.

Subsidi itu juga dihadkan pada 100 liter sebulan bagi kereta dengan enjin berkapasiti bawah 1,500cc dan 40 liter sebulan bagi motosikal bawah 125cc.

 

Image result for petrol pedalaman

 

Inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 akan mula dikuatkuasakan pada pertengahan tahun depan.

 

Norrikmal bagaimanapun mempersoalkan bagaimana subsidi tersasar itu hendak dikuatkuasakan di kawasan pedalaman, tempat petrol dijual dengan botol.

 

“Bila kerajaan sekarang hendak apungkan harga petrol, kita takut harga di sini jadi sampai lebih RM3.00. Makin susah jadinya nanti,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

 

Menurut Norrikmal, setiap kampung hanya mempunyai seorang peniaga yang menjual minyak subsidi tetapi jualannya sangat terhad dan biasanya petrol bersubsidi itu habis terjual sebelum jam 9 pagi.

“Pagi-pagi dah kena pergi kedai isi minyak dulu baru pergi kerja. Kalau motosikal limit 3 liter, kereta 10 liter. Tidak boleh isi penuh.

“Ada juga minyak khas untuk nelayan sungai dan orang kampung yang hendak mesin rumput. Yang ini limit 5 liter sehari,” katanya, sambil menambah stesen minyak terdekat terletak di Jeli dengan jarak sekitar 45 km.

 

Keadaan di Kampung Star, Gua Musang lebih teruk lagi apabila tiada mana-mana pekedai runcit yang menjual petrol bersubsidi kerana tidak mempunyai lesen menjual petrol.

 

Siti Fatimah Mohamad, 37 yang meniaga runcit secara kecil-kecilan berkata, pekedai sepertinya yang cuba membekalkan petrol untuk kegunaan orang kampung sering diganggu oleh penguatkuasa yang menjalankan operasi mengelak penyeludupan minyak.

 

“Kita niaga runcit kecil-kecil ini mana ada lesen. Nak beli minyak pun payah. Kena cari sampai ada stesen minyak yang berani jual.

“Itu pun nak kena tengok-tengok orang (penguatkuasa) perdagangan. Dia pusing buat operasi kadang sampai malam,” katanya.

 

Stesen minyak paling dekat jaraknya 35km dari kampungnya, tambah beliau.

 

Sementara itu peniaga runcit Norhayati Musa, yang menjual minyak subsidi di Dabong, kira-kira 80km dari Kuala Krai, mengakui kuota petrol subsidi sebanyak 166 liter sehari tidak cukup untuk memenuhi keperluan penduduk setempat.

 

Beberapa penduduk kampung menunggu giliran untuk membeli petrol subsidi di sebuah kiosk di Dabong, Kelantan. - Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 November, 2018.
Sumber: TMI

 

Walaupun mendapat bekalan petrol subsidi, Norhayati berkata beliau juga masih perlu membeli minyak tambahan dan menjual dengan harga yang lebih mahal kerana kos yang diperlukan untuk membawa minyak ke kawasannya.

 

“Kita ada lesen, jadi Petronas Jeli hantar minyak… sekali hantar stok untuk empat hari 664 liter. Limit dia jual 166 liter sehari. Dah habis minyak 166 liter tu, kena tunggu esok pula. Kedai lain kena cari minyak sendiri sebab tidak ada lesen.

“Sebab itu minyak mahal sebab pergi cari sendiri. Saya sendiri pun jual juga minyak botol itu tapi saya jual RM2.70 sahaja. Kedai lain jual RM3.00,” katanya.

 

Apungan petrol dan syarat kapasiti enjin bagi subsidi tersasar juga dipersoalkan oleh mereka di Sabah yang perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana keadaan jalan raya yang mundur.

 

Bekas menteri negeri Masidi Manjun menulis di Twitter, keadaan jalan raya yang daif di pedalaman Sabah harus jadi pertimbangan utama.

 

“Banyak yang menggunakan kenderaan 4WD berbanding kereta enjin 1500cc kerana keperluan. Tingkatkan jalan luar bandar di Sabah sebelum kuat kuasa syarat kelayakan seluruh negara,” katanya.

 

Lebih kurang 60% pemandu di Sabah memiliki kenderaan pacuan empat roda dan menggunakannya untuk urusan harian, walaupun hanya sebahagian kecil datang daripada kumpulan berpendapatan rendah. Walaupun kebanyakan trak itu menggunakan diesel, ada juga sesetengah yang menggunakan petrol.

 

Namun pemilik trak tidak jelas apa nasib mereka kerana harga diesel tidak disebut dalam Belanjawan 2019. Diesel sekarang dijual pada harga RM2.18 seliter.

 

Usahawan Neil Stephen, 40, berkata apungan petrol, ditambah dengan kos penyelenggaraan Toyota Hilux miliknya, akan menyebabkan belanjanya bertambah.

 

“Kami sudah bayar harga penuh untuk diesel dan harganya hampir sama dengan harga RON95 di stesen. Subsidi itu bagus untuk pemilik kereta kecil tetapi tidak bagi banyak rakyat Sabah yang tidak ada pilihan selain menggunakan 4WD kerana jalan raya teruk, walaupun mereka ada enjin petrol.

“Jalan raya yang teruk menyebabkan penyelenggaraan kereta jadi lebih mahal,” katanya.

 

Image result for hilux orang asli
Kredit: Metro

 

Jurutera Francis Robert, 40, juga merungut penyelenggaraan yang tinggi untuk Hilux dan tiada manfaat daripada subsidi tersasar.

 

Beliau juga mempersoalkan apa kerajaan hendak buat dengan peruntukan subsidi tersasar dan apakah rakyat Sabah akan dibebankan dengan cukai lebih tinggi.

 

“Adakah kerajaan persekutuan akan naikkan cukai jalan di Sabah, yang lebih rendah berbanding Semenanjung Malaysia.”

 

Bagi pemandu Ford Ranger, Julius Sidin, subsidi sepatutnya diberikan kepada pemilik kenderaan diesel juga, memandangkan keadaan jalan raya yang daif.

 

“Di Borneo, kami tiada pilihan selain membeli trak kerana jalan raya yang buruk, lebih buruk daripada di Malaysia Barat.

“Sekiranya subsidi tersasar digunapakai di seluruh Malaysia, kami tidak dapat manfaat seperti orang di Semenanjung,” katanya.

 

Cadangan subsidi tersasar juga dikritik kerana memberi manfaat kepada golongan yang memandu kenderaan mewah bawah 1500cc seperti BMW 3 Series 318i Luxury, Audi A4 1.4 TFSI dan Mercedes-Benz C200. Pemandu kereta lebih murah seperti Proton Exora (1600cc), Proton Preve (1600cc) dan Proton Suprima (1600cc) tidak termasuk. – 6 November, 2018.

 

Artikel ini pertama kalinya disiarkan di The Malaysian Insight

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…