Asas Ekonomi: Apa Itu Agensi Penarafan Kredit
Penarafan kredit mengukur keupayaan sesuatu insitusi, individu,syarikat atau negara untuk membayar semula hutang. Selain itu, penarafan kredit ini penting kepada pelabur menilai dan menganalisis sama ada penerbit bon atau instrumen hutang lain mampu membayar semula hutang.
Cuba bayangkan kalau anda mahu memohon pinjaman daripada bank, bagaimana bank menilai kemampuan kita membayar hutang? Semestinya mereka akan melihat kepada pendapatan dan juga rekod Central Credit Reference Information System (CCRIS) anda.
Penarafan kredit ini ibarat CCRIS. Dengan rekod CCRIS bank boleh mengetahui sama ada kita ini pembayar hutang yang baik atau tidak.
Penarafan kredit berdaulat (Sovereign credit ratings) pula digunakan untuk menilai kemampuan sesebuah negara untuk membayar hutang. Kebiasaanya agensi penarafan kredit menggunakan abjad untuk melabel kemampuan sesebuah negara.
Sebagai contoh Standard’s & Poor meletakkan penarafan bermula daripada AAA (Cemerlang) dan AA+ sehingga C dan D. Bon atau instrumen hutang yang diberikan penarafan bawah BBB- dianggap sebagai junk bond yang berkemunkinan besar ‘default’ (tidak membayar semula hutang).

3 Agensi Terbesar
Kebanyakan penarafan yang diguna pakai di peringkat antarabangsa dikeluarkan oleh 3 agensi utama iaitu Moody’s, Standard & Poor’s dan Fitch.
Pada tahun 1924, pengasas Fitch, John Knowles Fitch telah memperkenalkan sistem penarafan berdasarkan gred AAA sehingga D yang menjadi asas kepada sistem penarafan yang digunakan hari ini.
Bermula pada tahun 1900 sebagai syarikat yang mengeluarkan panduan asas statistik serta maklumat saham dan bon, Moody’s kemudiannya menjadi syarikat yang menyediakan servis analisis kepada pelabur pada tahun 1914. Akhirnya pada tahun 1970 Moody’s menjadi agensi penarafan kredit antarabangsa seperti yang kita lihat hari ini.
Standard & Poor’s memang tidak asing lagi bagi pelabur saham. Indeks S&P 500 merupakan indeks saham yang digunakan oleh pelabur untuk membuat analisa saham dan juga salah satu penanda aras tahap kesihatan ekonomi di Amerika Syarikat.
Baca: Asas Ekonomi: Monopoli & Oligopoli
Baca: Asas Ekonomi: Mengukur Kekuatan Ekonomi Dengan KDNK, Pengangguran Dan Inflasi
Kepentingan Penarafan Kredit
Seperti yang diterangkan di atas tadi, penarafan kredit mengukur kemampuan sesebuah negara membayar semula hutang dan kedudukan kewangan negara.
Kerajaan atau syarikat akan cuba sedaya upaya memastikan penarafan kredit yang bagus kerana ianya memberi kesan terhadap kadar faedah apabila menerbitkan bon atau membuat sebarang pinjaman.
Lebih rendah penarafan kredit lebih tinggi kadar faedah yang dikenakan. Di samping itu, pelabur juga melihat sama ada sesebuah entiti mampu mengekalkan penarafan kredit yang baik secara konsisten. Ianya menandakan entiti tersebut adalah pembayar hutang yang baik.
Sama la juga seperti individu, jika skor kredit individu itu rendah (rekod CCRIS buruk, kerja tidak tetap, hutang sedia ada yang tinggi), sudah pasti kadar faedah yang dikenakan bank akan menjadi tinggi.

Faktor Yang Menentukan Penarafan Kredit
Terdapat beberapa faktor yang dipertimbangkan bagi penarafan kredit. Pertama sekali, agensi penarafan kredit akan melihat kepada sejarah pinjaman sesebuah entiti, sama ada mereka pernah gagal melangsaikan hutang atau tidak.
Selain itu, agensi turut melihat kepada potensi pertumbuhan ekonomi sesebuah entiti. Jika potensi ekonomi akan terus berkembang itu tinggi, berkemungkinan besar penarafan kredit akan menjadi lebih tinggi. Sebaliknya jika ada tanda-tanda ekonomi bakal menguncup, penarafan kredit akan jatuh.
Walau bagaimana pun, keberkesanan sistem penarafan kredit adalah subjek yang sering diperdebatkan dan menjadi isu hangat. Adakah penarafan mereka ini tepat dan boleh diguna pakai?
Lihat sahaja semasa krisis sub-prima pada tahun 2008. Ketika itu produk kewangan yang kompleks seperti collateralized debt obligations (CDO) yang menjadi salah satu punca krisis tidak boleh didagangkan kecuali mendapat penarafan daripada 3 agensi penarafan kredit yang terbesar.