fbpx

Baki Tunai Hanya Tinggal RM100 Juta. Mampukah Felda Bertahan?

Oleh : Wan Syarafiz
27 November 2018 - 2:32 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Untuk Felda mempunyai aliran tunai yang stabil, harga minyak sawit perlu berada pada paras RM3,000
  • Selepas penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, Felda telah menerima ‘dividen khas’ sebanyak RM6 bilion

 

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang kini berhadapan dengan hutang RM8.05 bilion dijangka hanya akan mempunyai baki tunai sebanyak RM100 juta menjelang hujung tahun ini.

 

Jumlah ini dilihat terlalu jauh jika mahu dibandingkan pada hujung tahun 2011 dengan baki tunai yang direkodkan sebanyak RM2.1 bilion!

 

Kenapa perkara sebegini terjadi? Apakah masalah Felda? Adakah kedudukan kewangan Felda terlalu teruk?

 

Baca: Felda Masih Bertahan, Bankrap Jauh Sekali

Baca: FGV Bukan Lagi Felda

 

Pertama sekali, rakyat perlu tahu bahawa kedudukan kewangan Felda adalah dipengaruhi oleh harga semasa minyak sawit mentah (CPO). Jika harga minyak sawit jatuh, ia bermakna semakin kurang keuntungan yang dijana oleh Felda.

 

Sebagai contoh, sekiranya harga minyak sawit berada pada paras RM2,200 setan (harga sekarang adalah lebih rendah). Keuntungan yang dijana oleh Felda adalah sekitar RM400 juta. Tetapi untuk mempunyai aliran tunai yang stabil, Felda memerlukan harga minyak sawit berharga RM3,000 setan. Ini kerana, dengan harga RM3,000 setan, Felda akan berjaya meraih keuntungan kira-kira RM800 juta.

 

Image result for felda
Kredit: CNBC.com

 

Bagaimana keuntungan ini dikira?

 

Mungkin rakyat hari ini masih keliru di antara dua entiti Felda dan juga Felda Global Venture (FGV). Untuk sedikit penerangan, FGV pada awalnya adalah salah satu cabang perniagaan Felda dan menyumbang hampir RM1.1 bilion keuntungan setahun kepada Felda.

 

Namun selepas penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada tahun 2012, Felda dilihat bakal kehilangan sumber pendapatan besar dan sekaligus akan menjejaskan usaha mereka untuk menjaga kebajikan peneroka.

 

Disebabkan hal itu, Felda dan FGV telah menandatangani satu perjanjian, Land Lease Agreement (LLA) yang mana FGV akan membayar pajakan tanah sebanyak RM250 juta setahun serta 15% keuntungan operasi perladangan kepada pihak Felda.

 

Oleh kerana itu, untuk mempunyai aliran tunai yang stabil, harga minyak sawit perlu berada pada paras RM3,000. Apabila harga minyak sawit berada pada paras ini, Felda mampu meraih keuntungan operasi perladangan 15% yang bersamaan RM800 juta ditambah pula dengan bayaran pajakan tanah oleh FGV RM250 juta serta bayaran dividen melalui pegangan saham dalam FGV, Felda mampu untuk menjana lebih daripada RM1.1 bilion.

 

Baca: Harga Sawit Jatuh, Cadangan Penyelesaian Daripada Najib Razak

 

Bukan itu sahaja, selepas penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, Felda telah menerima ‘dividen khas’ sebanyak RM6 bilion untuk digunakan bagi menjana pendapatan lain selepas FGV tidak lagi ‘bersama’ Felda.

 

Namun, ke manakah RM6 bilion ini dibelanjakan? RM1.7 bilion telah dibelanjakan sebagai ‘durian runtuh’ kepada peneroka. RM1.45 bilion diperuntukkan kepada Felda Investment Corporation (FIC) sebagai dana pelaburan dan baki selebihnya digunakan untuk operasi dan pengurusan.

 

Pelaburan yang telah dilakukan oleh FIC juga dilihat seolah-olah gagal membuahkan hasil.

 

Image result for tan sri megat zaharuddin felda
Kredit: The Star

 

Bagi mengatasi masalah aliran tunai yang dihadapi, Felda di bawah Pengerusi baru, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dikatakan akan melakukan penjualan aset-aset Felda menjelang hujung tahun ini bagi mengurangkan hutang RM8.05 bilion kepada RM6 bilion.

 

Langkah ini dikatakan adalah lebih baik daripada membuat pinjaman baru kerana situasi kewangan Felda yang amat lemah.

 

Walau bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali baru-baru ini telah menyatakan bahawa kerajaan tidak mampu untuk menjual aset Felda pada harga yang mampu memberikan pulangan keuntungan. Ini kerana, aset-aset ini dikatakan dahulunya dibeli pada harga yang melebihi harga pasaran.

 

Jadi, apakah kesudahan Felda ini sekiranya aset tidak boleh dijual pada harga yang menguntungkan dan dalam masa yang sama Felda tidak mampu membuat pinjaman baru kerana kedudukan kewangan yang lemah?

 

FGV dikatakan telah merangka pelan pemulihan bagi perladangan sawit namun dijangka hanya akan membuahkan hasil pada tahun 2022. Sepanjang tempoh sehingga 2022, Felda perlu mendapatkan suntikan dana atau bantuan supaya kebajikan sosial kepada peneroka terus dijaga.

 

Beberapa alternatif penyelesaian telah dicadangkan kepada pihak Felda seperti menerbitkan bon yang mana telah diusulkan sebelum PRU14 lagi. Tetapi institusi kewangan dilaporkan belum bersedia untuk memberikan pinjaman atau terlibat dalam pembelian bon jangka masa panjang melainkan mereka mendapat jaminan daripada pihak kerajaan.

 

Selain itu, langkah penyelesaian lain yang dicadangkan ialah Felda perlu mengambil semula aset-aset mereka daripada FGV atau pun kerajaan mengambil alih tanggungjawab Felda untuk menjaga kebajikan sosial peneroka.

 

Tetapi, cadangan untuk kerajaan mengambil alih menjaga kebajikan peneroka adalah dilihat seperti sukar terjadi kerana kekangan kewangan negara serta hutang yang tinggi.

 

Sampai bila krisis ini akan berlanjutan? Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali yang bertanggungjawab ke atas Felda dijangka akan membentangkan Kertas Putih berkenaan Felda di Parlimen dan sebarang cadangan atau penyelesaian akan dibentangkan bersama Kertas Putih tersebut.

 

Hala tuju baru Felda di bawah Kerajaan Pakatan Harapan hanya akan diketahui selepas pembentangan tersebut. Mampukah Felda untuk terus bertahan? Sama-sama kita nantikan pembentangan Kertas Putih Felda ini.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Telur -01

Harga Telur Naik Lebih 10 Sen Sebiji Semenjak April

Reading Time: 2 minutes 60% daripada bahan kandungan makanan ayam ini perlu diimport daripada negara luar KPNKK sedang menyiasat kenaikan ini jika…

duit-gaji

Pemintaan Gaji ‘tidak realistik’ Punca Pengangguran

Reading Time: 1 minute Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Pemintaan gaji ‘tidak realistik’ adalah antara alasan…

Tabung haji 1-01

SPV Mengambil Alih Aset Tabung Haji Bernilai RM19.9 bilion

Reading Time: 4 minutes Antara hartanah yang akan dipindahkan kepada SPV adalah tanah di Tun Razak Exchange (TRX) SPV akan memberi sukuk…

SPV-01

Apa itu SPV?

Reading Time: 2 minutes SPV ni entiti yang ditubuhkan dengan satu tujuan khas sahaja, samada untuk beli aset (spt Danaharta), untuk financing…