fbpx

Belanjawan 2019, Apa Usahawan Perlu Tahu

Oleh : Syafiq Hanafi
12 November 2018 - 3:21 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Geran padanan Kerajaan hanya akan diberikan kepada syarikat yang dapat menarik pelaburan daripada sektor swasta
  • PUNB menyediakan RM200 juta untuk PKS Bumiputera. TEKUN pula memperuntukkan RM100 juta untuk membiayai usahawan kecil.

 

Pada 2 November lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah membentangkan Belanjawan 2019 dengan tema “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat sejahtera. Belanjawan ini memberi fokus kepada tiga perkara utama dengan 12 strategi utama turut digariskan.

 

Salah satu fokus yang menjadi perhatian Kerajaan dalam Belanjawan 2019 ialah Memupuk Budaya Negara Keusahawanan. Ini memberikan kita pemahaman bahawa Kerajaan sedang membina Malaysia berteraskan kepada keupayaan usahawan khasnya yang datang daripada kalangan golongan muda.

 

Menurut Guan Eng semasa pembentangan berkenaan, model negara keusahawanan ini menggunakan kerjasama yang merangkumi sektor awam, swasta, golongan profesional dan rakyat untuk melaksanakan sesuatu pembangunan atau projek.

 

Kerajaan melihat kepada model penglibatan menyeluruh keempat-empat pihak ini akan memastikan Malaysia memiliki ekosistem baharu yang melihatkan Malaysia mampu memenuhi potensi dan keperluan rakyat.

 

Antara usaha baik yang dapat dilihat dalam Belanjawan 2019 ialah usaha Kerajaan untuk menyelaraskan dana-dana modal yang diuruskan oleh agensi Kerajaan seperti Malaysia Technology Development Corporation, Malaysia Debt Ventures Bhd, Malaysia Venture Capital Management Bhd, Kumpulan Modal Perdana Sdn Bhd dan Cradle Fund Sdn Bhd.

 

belanjawan usahawan
Kredit: Mingguan Wanita

 

Kerajaan juga telah menetapkan untuk dana-dana ini disalurkan kepada syarikat berpotensi tinggi sahaja dan untuk itu geran padanan Kerajaan hanya akan diberikan kepada syarikat yang dapat menarik pelaburan daripada sektor swasta.

 

Selain itu, Dana Pelaburan Berkaitan Kerajaan akan menyediakan geran padanan berjumlah RM2 bilion untuk melabur dalam dana ekuiti swasta dan dana modal teroka atau venture capital funds bagi menyokong pelaburan khusus kepada sektor strategik terpilih. Di samping itu, Kerajaan juga akan menggerakkan Dana Pelaburan Bersama berjumlah RM50 juta untuk melabur bersama-sama pihak swasta melalui platform pembiayaan alternatif seperti ekuiti dana penjanaan masyarakat dan peer-to-peer lending (P2P).

 

Pihak Suruhanjaya Sekuriti juga telah meluluskan rangka kerja berkaitan platform ekuiti dana penjanaan masyarakat dan Pinjaman P2P ini dan sehingga kini sejumlah RM170 juta dana telah dijana untuk lebih 450 syarikat daripada pelbagai sektor.

 

Hampir 10 ribu individu telah melabur melalui platform pembiayaan ini dan lebih membanggakan, 45 peratus pelabur terdiri daripada golongan muda berusia di bawah 35 tahun.

 

Semua usaha ini dilaksanakan untuk memberi sokongan meluas kepada perkembangan teknologi terkini dan memastikan usahawan di Malaysia khasnya golongan muda mempunyai pembiayaan mencukupi untuk merancakkan perniagaan mereka.

 

Usaha Kerajaan untuk meningkatkan keperluan usahawan dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 juga menjadi sebahagian daripada isi penting Belanjawan 2019. Bagi mendukung Pelan Tindakan Dasar Industri 4.0, Kerajaan memperuntukan RM210 juta dari tahun 2019 hingga 2021 untuk membantu 500 syarikat PKS beralih kepada teknologi dalam Industri 4.0.

 

belanjawan usahawan
Kredit: Kembang Turi

 

Kerajaan juga menyediakan dana Transformasi Pendigitalan Industri dengan jumlah RM3 bilion serta insentif subsidi kadar faedah pada tahap dua peratus dan dana ini bermatlamat untuk merancakkan perkembangan industri dan menerapkan teknologi pintar merangkumi aspek robotik dan kecerdasan buatan.

 

Lebih menarik, menjelang tahun 2019 Kerajaan akan memberikan akses kepada sektor swasta untuk menggunakan 250 kemudahan dan 1,200 peralatan saintifik serta data penyelidikan. Ini akan membantu syarikat-syarikat tempatan untuk menjalankan R&D menggunakan sumber-sumber dimiliki Kerajaan yang sedia ada.

 

PKS jelas menjadi tumpuan utama dalam Belanjawan 2019, apabila Kerajaan turut menyediakan RM2 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) di mana Kerajaan akan memberikan jaminan pembiayaan sehingga 70 peratus.

 

Selain itu, bagi memastikan PKS terus berkembang maju, dana pembiayaan PKS oleh institusi kewangan komersial sebanyak RM4.5 bilion dengan 60 peratus jaminan SJPP termasuk RM1 bilion untuk PKS Bumiputera akan disediakan.

 

Manakala bagi syarikat yang mempunyai pendapatan bercukai sehingga RM500 ribu dan PKS dengan modal berbayar kurang daripada RM2.5 juta, kadar cukai korporat akan dikurangkan daripada 18 peratus kepada 17 peratus.

 

Bagi menggalakkan syarikat-syarikat PKS khasnya yang dimiliki usahawan muda untuk terlibat dalam pasaran eksport, Kerajaan melalui pembiayaan oleh EXIM Bank menawarkan kemudahan kredit dan perlindungan takaful kepada pengeksport PKS berjumlah RM2 bilion.

 

Bagi memastikan industri halal terus berkembang dan menepati hasrat untuk Malaysia menjadi hab halal global pada tahun 2020, Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi meningkatkan keupayaan PKS dalam industri halal.

 

belanjawan usahawan
Kredit: Utusan Online

 

Di samping itu, Kerajaan turut menyediakan Skim Pembiayaan PKS patuh Syariah berjumlah RM1 bilion dan ia disediakan khusus untuk membiayai pengeksportan produk halal. Skim ini akan dibiayai oleh institusi kewangan Islam dengan Kerajaan memberi subsidi kadar keuntungan sebanyak dua peratus.

 

Selain itu, pihak Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi industri pemborongan dan peruncitan serta pembelian premis perniagaan untuk disewa kepada PKS Bumiputera.

 

RM100 juta turut akan diperuntukkan kepada TEKUN untuk membiayai usahawan kecil. Ini merupakan antara peluang yang wajar direbut oleh usahawan-usahawan muda.

 

Kerajaan juga akan menyediakan sokongan bagi memastikan produk dan perkhidmatan tempatan akan mendapat peluang untuk ditempatkan di pasar raya besar, pusat membeli belah dan ekspo perdagangan utama.

 

Ini ialah sokongan penting yang diperlukan memandangkan terdapat banyak produk tempatan kini yang memiliki kualiti lebih baik berbanding produk-produk luar yang kini memenuhi rak-rak di pasar raya.

 

Kerajaan juga menyokong pembangunan syarikat-syarikat milik usahawan muda yang terlibat dalam perkhidmatan pelancongan melalui Belanjawan 2019 ini. Ini dapat dilihat apabila Kerajaan menyediakan geran sepadan bernilai RM100 juta kepada syarikat swasta yang boleh digunakan untuk program promosi dan pemasaran pelancongan peringkat antarabangsa.

 

Selain itu, Dana Tabung Pelancongan PKS berjumlah RM500 juta turut disediakan oleh SME Bank dengan Kerajaan memberi subsidi kadar faedah sebanyak dua peratus. Dana ini sebenarnya akan membantu lebih ramai pengusaha kraftangan dan inap desa untuk meluaskan perniagaan mereka.

 

Dalam bidang agromakanan pula, Kerajaan menyediakan dana berjumlah RM52 juta untuk melaksanakan pelbagai program keusahawanan dan latihan industri tani untuk menarik penglibatan golongan muda menceburkan diri dalam sektor ini.

 

Belanjawan 2019 jelas memberikan fokus besar kepada bidang keusahawanan dan ini merupakan sesuatu yang perlu direbutkan oleh golongan usahawan muda itu sendiri.

 

Malah fokus kepada bidang keusahawanan berteraskan teknologi dan kemajuan digital mampu memberikan kelebihan kepada usahawan muda kerana ini ialah bidang yang sedang berkembang dan mampu melonjakkan potensi usahawan muda ini ke peringkat lebih tinggi.

 

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…