fbpx

Beli Rumah Sekarang Atau Tunggu Dua Tahun Lagi?

Oleh : Wan Syarafiz
30 November 2018 - 5:05 pm

Reading Time: 2 minutes

 

Perdebatan mengenai masa yang paling tepat untuk membeli rumah ini sudah sekian lama lagi kedengaran. Siapa yang tidak mahu memiliki rumah? Tidak kiralah apa jenis rumah sekalipun, sudah pasti semua orang memasang impian untuk mempunyai rumah sendiri sebagai tempat berteduh.

 

“Tunggu dan jangan beli rumah sekarang”, ungkapan ini sudah menjadi kebiasaan yang kita selalu dengar. Kebanyakan individu yang mahu membeli rumah masih mengambil sikap “wait and see” kerana ramai beranggapan harga rumah akan menurun di masa hadapan.

 

Ya. Jika dilihat kepada trend harga rumah pada tahun 2018, ia telah mencatatkan penurunan. Antara punca utama perkara ini terjadi adalah disebabkan lambakan rumah tidak terjual yang meningkat dari hari ke hari.

 

Berdasarkan asas ekonomi apabila semakin banyak rumah tidak terjual, semakin menurun juga harga pasaran rumah tersebut. Ini kerana, bekalan sudah melebihi permintaan.

 

Ramai juga masih menantikan apakah selepas pemansuhan cukai GST, harga rumah akan turun? Terdapat pihak yang menjangkakan harga rumah akan turun sekitar 5% kerana kerajaan telah menetapkan pengecualian cukai SST terhadap bahan binaan.

 

Apa yang dinyatakan di atas ini secara asasnya adalah antara punca kenapa rakyat Malaysia masih menunggu dan tidak mahu beli rumah sekarang.

 

Jadi, lebih baik tunggu 2 tahun lagi baru beli rumah?

 

Dalam satu “Talk Session” berkenaan pembelian hartanah, CEO FAR Capital, Faizul Ridzuan telah ditanyakan satu soalan berkenaan keperluan pembelian rumah dilakukan sekarang atau pembeli seharusnya menunggu dua tahun lagi selepas menerima kenaikan gaji.

 

Faizul menyatakan bahawa kenaikan gaji bagi seseorang pekerja bukanlah sesuatu yang dapat dipastikan. Beliau dalam masa yang sama turut mempersoalkan adakah kenaikan gaji itu akan lebih tinggi daripada kenaikan harga hartanah?

 

“Pada pendapat saya, kenaikan gaji is never confirm. Berdasarkan data, kenaikan harga hartanah di Penang untuk 16 tahun yang lepas, puratanya adalah 11.8%,” ujar Faizul.

 

Menurut beliau, sekiranya pembeli menunggu dua tahun lagi untuk membeli rumah, kemungkinan besar pembeli tersebut perlu membayar pada harga yang lebih tinggi.

 

“Sekiranya hari ini loan boleh lepas dan boleh dibeli pada harga hari ini, I would buy it today,” Faizul mengulas lagi.

 

Bagi Ketua Pegawai Operasi Hartabumi, Huda Naim, beliau mempunyai pendapat hampir serupa yang mana pembelian rumah perlu dilakukan sekarang tetapi dengan tiga syarat.

 

Pertamanya, pembeli perlu mendalami ilmu hartanah terlebih dahulu dan tidak membeli secara “membabi buta” tanpa membuat sebarang research. Pembelian rumah memerlukan perancangan yang teliti serta dibuat dengan risk assessment.

 

Keduanya, jika pembeli terjumpa “any good deal”, terus sambar peluang tersebut. Kenapa perlu tunggu? Statistik menunjukkan harga rumah sentiasa menaik. Dan yang ketiga, belilah rumah ketika umur masih muda. Hal ini kerana, umur muda bermakna individu itu mempunyai komitmen yang rendah dan masih banyak peluang serta tenaga untuk mencari pendapatan sampingan.

 

“Tiada istilah beli sekarang atau tunggu dua tahun lagi. Apabila ilmu sudah mencukupi dan pembeli menjumpai hartanah yang menarik, sambar sahaja peluang tersebut,” ujar Huda Naim.

 

Itu adalah pendapat daripada individu yang terlibat secara langsung dalam bidang hartanah. Apa pula pandangan ahli ekonomi?

 

Menurut pandangan seorang ahli ekonomi apabila ditanyakan mengenai perkara ini ialah beli sahaja pada masa sekarang sekiranya rumah dan harga rumah tersebut disenangi oleh pembeli.

 

Menurut beliau lagi, walaupun harga rumah akan menurun tetapi “recession is coming”. Harga rumah akan jatuh teruk lagi tetapi bank akan menjadi lebih reluctant dan ini akan lebih menyukarkan pembeli untuk mendapat kelulusan bagi pinjaman perumahan.

 

Secara kesimpulannya, untuk menyatakan bilakah masa yang paling tepat untuk membeli rumah ini adalah perkara yang sangat subjektif dan berbeza-beza untuk setiap individu. Apa yang paling penting ialah bakal-bakal pembeli rumah perlulah terlebih dahulu menyiapkan diri dengan ilmu hartanah serta mencari “deal” terbaik mengikut selera dan kemampuan masing-masing.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 24-01
Kapital

Kenapa Orang Jepun Tidak Membeli Kereta Buatan Amerika

Reading Time: 2 minutes 40% daripada kereta yang dijual di Jepun adalah kereta bersaiz kecil General Motor hanya mampu menjual 700 unit…

Featured Image 3-01 (1)
Kapital

Perkhidmatan Kesihatan & Impak Kepada Ekonomi Negara

Reading Time: 2 minutes   AmInvestment menjangkakan prospek pertumbuhan bagi sektor kesihatan adalah positif untuk tempoh jangka panjang yang akan datang berdasarkan…

Featured Image 2-01
Kapital

Graduan B40 Sukar Dapat Kerja Setimpal

Reading Time: 10 minutes   Peluang melanjutkan pelajaran di menara gading, kini bukan lagi jaminan bagi anak-anak daripada keluarga miskin serta kelompok…

Featured Image-01
Kapital

Hi HOME Bakal Tingkatkan Kadar Pemilikan Rumah Di Malaysia

Reading Time: 3 minutes   Jika ditanya kepada sesiapa sahaja, sudah pasti memiliki rumah adalah salah satu impian yang mahu dipenuhi. Selain…