fbpx

Cabaran Membawa Agenda Sebagai Menteri Termuda

Oleh : Syafiq Hanafi
30 November 2018 - 11:58 am

Reading Time: 4 minutes
  • Syed Saddiq berjaya mendapat persetujuan Kabinet untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun
  • Syed Saddiq menggariskan tiga agenda khusus untuk kawasan Parlimen Muar

Sejak dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Bersama-sama pasukan pentadbirannya di Kementerian Belia dan Sukan telah menggerakkan pelbagai agenda penting khasnya untuk pembangunan anak muda di negara ini. Pada tahap awalnya kini, Syed Saddiq jelas berhadapan dengan cabaran dalam meraih kepercayaan golongan muda dan rakyat Malaysia tentang keupayaannya untuk menerajui sebuah Kementerian pada usia 25 tahun.

 

Melalui pelbagai penekanan terhadap kepentingan untuk menerajui agenda pembaharuan terhadap pembangunan belia dan memastikan tahap prestasi sukan di Malaysia terus menyinar, Syed Saddiq kini dalam perjalanan untuk membuktikan keupayaan dirinya.

 

Kita dapat melihat beliau kini berusaha untuk menjuarai beberapa isu utama belia dan antara yang paling utama kini ialah menurunkan usia mengundi ke tahap 18 tahun. Kejayaan pertama untuk beliau ialah apabila berjaya mendapat persetujuan Kabinet untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Cabaran berikutnya untuk Saddiq ialah mendapatkan persetujuan dua per tiga Dewan Rakyat untuk meluluskan pindaan berkenaan.

 

Image result for yellow ribbon syed saddiq
Kempen reben kuning. Kredit: The Star

 

Usaha ini dilihat digerakkan secara bersungguh-sungguh oleh Syed Saddiq memandangkan ia merupakan satu usaha penting untuk memastikan corak pengundian dan pemilihan kerajaan di Malaysia dibuat dengan mengambil kira suara golongan muda yang bukan sahaja mewakili masa sekarang, tetapi yang paling penting masa hadapan.

 

Baru-baru ini juga beliau terlibat dalam menggerakan kempen reben kuning yang memfokuskan usaha untuk memberi peluang kedua kepada golongan bekas banduan. Bagi Syed Saddiq semua orang layak untuk mendapatkan peluang kedua selepas tersalah langkah dan melakukan kesilapan.

 

“Semua orang layak mendapat peluang kedua, kerana jika tidak orang berkenaan sudah tentu akan rasa terasing dan kemudian mereka akan cenderung untuk melakukan kesalahan lagi,” kata beliau.

 

Beliau juga dilihat amat mengambil berat hal ini kerana ramai golongan muda terlibat sebagai banduan dan beliau berasa terpanggil untuk bersuara bagi pihak golongan seperti ini.

 

“Saya harus juga bersuara bagi pihak golongan belia berisiko dan saya tidak mahu mereka berasa terpinggir dan jika kita meminggirkan mereka, tanpa kita sedar sebenarnya kita sedang meminggirkan golongan yang rapuh dari segi emosi,” katanya lagi.

 

Malah Syed Saddiq akan mengambil tiga bekas banduan untuk bekerja di pejabatnya sebagai usaha memberikan mereka peluang kedua dalam membina semula hidup. Malah tindakan ini bagi Syed Saddiq diharapkan dapat dijadikan contoh kepada pihak lain termasuk syarikat swasta.

 

Di samping agenda khusus untuk belia, Syed Saddiq juga memberikan tumpuan kepada bidang-bidang sukan terkini termasuk apa yang dikenali sebagai sukan elektronik (e-sports). Bagi Saddiq, selain mampu memberikan pendapatan tinggi kepada pemain yang Berjaya, e-sports juga berkeupayaan untuk merangsang sektor pelancongan di negara ini. Malah beliau juga bercita-cita untuk Malaysia menjadi hab utama dalam menganjurkan pertandingan-pertandingan e-sports utama dunia.

 

Image result for kl major 2018
Kredit: Medium

 

Misalnya semasa pertandingan Dota 2 (KL Major) yang diadakan pertengahan November lalu melihatkan kehadiran ribuan peminat e-sports dari dalam dan luar negara.

 

“Kita dapat melihat ramai peminat e-sports datang ke KL Major dan kehadiran ini bukan sahaja pengunjung tempatan, malah mampu menarik kehadiran pelancong asing. Ini boleh merangsang sektor pelancongan negara dan dalam masa sama mempromosikan Malaysia sebagai tarikan utama kepada golongan belia luar negara khasnya dari negara-negara ASEAN,” kata beliau.

 

Selain itu, Syed Saddiq juga berharap selain daripada menjadi pemain, belia di Malaysia juga diharapkan dapat melibatkan diri secara serius dalam membangunkan kandungan permainan sendiri untuk tujuan eksport. Jika hal ini dapat digerakkan dengan baik, maka Malaysia akan mendapat manfaat ekonomi daripadanya.

 

“Kita mahu anak-anak muda di Malaysia bukan sahaja pandai bermain, tetapi juga mampu membangunkan permainan sendiri dan mengeksportnya. Ia sudah tentu akan menjana pendapatan buat negara dan seterusnya peluang pekerjaan buat semua,” kata Syed Saddiq.

 

Bagi memastikan usaha ini berjalan lancar, Kementerian Belia dan Sukan telah memulakan inisiatif awal untuk berkerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan pemain industri yang lain bagi menghasilkan lebih ramai pembikin permainan e-sports di Malaysia.

 

Image result for muar
Kredit: Utusan Online

 

Di samping memberi fokus kepada agenda negara, Syed Saddiq juga tidak melupakan agenda tempatan di kawasannya sendiri, Muar. Beliau telah menggariskan tiga agenda khusus untuk kawasan Parlimen Muar iaitu Agenda 1: Muar Hab Anak Muda, Agenda 2: Muar Bandar Wacana, Warisan dan Wahyu dan seterusnya Agenda 3: Urus Tadbir dan Infrastruktur Muar.

 

Bagi Agenda 1, Syed Saddiq berhasrat menjadikan Muar sebagai tempat tumpuan untuk berhibur dan bersukan secara sihar di Johor. Malah dalam masa sama Muar juga mahu dijadikan Kawasan yang melahirkan lebih ramai pemimpin yang merakyat dan berjiwa negarawan.

 

Agenda 2 pula melihatkan warisan dan sejarah Muar tidak disisihkan dalam agenda pembangunan setempat. Beliau mahu warga Muar bersama-sama dapat dipersiapkan dengan ilmu tata rakyat dan pengetahuan serta pelbagai kemahiran yang berpaksikan kerohanian dan kemanusiaan.

 

Agenda 3 melihatkan Syed Saddiq mahu memastikan kecekapan urus tadbir, infrastruktur dan pengangkutan awam di Muar dapat mencapai tahap maju, inklusif dan selamat.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Telur -01

Harga Telur Naik Lebih 10 Sen Sebiji Semenjak April

Reading Time: 2 minutes 60% daripada bahan kandungan makanan ayam ini perlu diimport daripada negara luar KPNKK sedang menyiasat kenaikan ini jika…

duit-gaji

Pemintaan Gaji ‘tidak realistik’ Punca Pengangguran

Reading Time: 1 minute Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Pemintaan gaji ‘tidak realistik’ adalah antara alasan…

Tabung haji 1-01

SPV Mengambil Alih Aset Tabung Haji Bernilai RM19.9 bilion

Reading Time: 4 minutes Antara hartanah yang akan dipindahkan kepada SPV adalah tanah di Tun Razak Exchange (TRX) SPV akan memberi sukuk…

SPV-01

Apa itu SPV?

Reading Time: 2 minutes SPV ni entiti yang ditubuhkan dengan satu tujuan khas sahaja, samada untuk beli aset (spt Danaharta), untuk financing…