Belanjawan 2019: Senarai Insentif Yang Bakal Diterima Golongan B40
- Bantuan Sara Hidup akan diberi berdasarkan pendapatan isi rumah dan bilangan anak
- Dana perlindungan kesihatan untuk empat sakit kritikal utama dengan jumlah RM8,000 dan bayaran pendapatan gantian RM50 sehari
Golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dikatakan bakal menjadi penerima manfaat terbesar daripada Belanjawan 2019.
Susulan daripada pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini, perkara pokok yang menjadi bualan rakyat adalah manfaat yang bakal diperolehi rakyat daripada belanjawan itu sendiri.
Tiga tunjang utama iaitu ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik dan Rakyat Sejahtera’ telah dinyatakan dalam Belanjawan 2019 bakal menjadi fokus utama kerajaan supaya hasrat untuk mengukuhkan ekonomi negara akan berjaya dicapai serta dalam masa yang sama kesejahteraan rakyat juga sentiasa terjaga.
Beberapa inisiatif telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi menyalurkan bantuan kepada golongan B40 supaya bebanan kos sara hidup yang tinggi dapat dikurangkan.
Bantuan Sara Hidup (BSH)
BSH ini secara dasarnya adalah sebuah program yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dengan nama BR1M. Tetapi beberapa penambahbaikan akan dilakukan dengan matlamat supaya pemberian ini dapat dilaksanakan dengan lebih bersasar.
4 Kategori Penerima BSH:
- Isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000.
- Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM750.
- Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500.
- Kadar tambahan sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah tetapi terhad kepada 4 orang, kecuali anak kurang upaya yang tidak dihadkan umur.
Bantuan Pemilikan Rumah
Lim Guan Eng menyatakan dana berjumlah RM1 bilion akan ditubuhkan oleh Bank Negara bagi membantu golongan yang memiliki pendapatan RM2,300 sebulan dan ke bawah untuk memiliki rumah pertama melalui pembelian rumah mampu milik berharga RM150,000 dan ke bawah.
Subsidi Elektrik
Kadar subsidi bil elektrik isi rumah yang ditetapkan pada RM20 akan dinaikkan jumlahnya kepada RM40. Namun, subsidi ini hanya akan disalurkan khusus kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar di bawah program e-Kasih.
Dana Perlindungan Kesihatan
Sebuah skim jaringan perlindungan kesihatan bakal diperkenalkan bermula Januari 2019 hasil usaha sama kerajaan dan syarikat swasta.
Melalui skim ini, golongan B40 akan mendapat perlindungan kesihatan percuma untuk empat sakit kritikal utama dengan jumlah sebanyak RM8,000. Golongan ini juga layak menerima pendapatan gantian maksimum 14 hari semasa tempoh rawatan pada kadar RM50 sehari.
Subsidi Minyak Bersasar
Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan satu mekanisme pemberian subsidi minyak yang lebih bersasar supaya hasrat utama kerajaan untuk membantu golongan yang sepatutnya dibantu berjaya dicapai.

Dalam pembentangan belanjawan itu, kerajaan telah mengumumkan akan mengapungkan semula harga petrol RON95 seperti yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. Subsidi minyak pula hanya akan diberikan golongan sasaran sahaja.
Siapakah golongan bersasar ini?
Kerajaan akan memberi subsidi minyak sebanyak 30 sen seliter kepada pemilik kereta persendirian dengan enjin berkapasiti 1,500 cc ke bawah dan motosikal berkapasiti enjin 125 cc ke bawah. Pemberian subsidi minyak ini hanya terhad kepada 100 liter minyak sebulan bagi kereta dan 40 liter bagi motosikal.
Peruntukan sebanyak RM2 bilion akan disalurkan bagi pelaksanaan subsidi minyak ini dan dijangkakan akan memberi manfaat kepada lebih 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.