fbpx

Harapan Coin Perlu Kajian Mendalam – Penganalisis

Oleh : Kapital
14 November 2018 - 9:12 pm

Reading Time: 2 minutes

Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuat kajian mendalam, termasuk dari segi perundangan terhadap kesan dan implikasi penggunaan Harapan Coin, sekiranya mahu meneruskan projek wang kripto berkenaan.

 

Penganalisis politik, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata ini kerana tidak semua negara menerima dan mengguna pakai sistem mata wang terbabit.

“Kita tidak boleh tergesa-gesa atau terus setuju dengan idea baharu yang dikemukakan sebaliknya ia perlu disertakan dengan kajian dan perancangan teliti.

“Ini kerana selain golongan muda, golongan berusia atau warga emas sememangnya tidak begitu mengenali mata wang kripto berkenaan.

“Sebarang kegagalan kelak akan dikhuatiri memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

 

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, bahawa rancangan untuk menjadikan Harapan Coin sebagai mata wang kripto kebangsaan dan digunakan dalam pentadbiran kerajaan PH pada masa depan, masih diteruskan.

 

Khalid yang juga pengasas bersama Harapan Coin berkata, secara peribadi beliau berpandangan penggunaan wang kripto adalah teknologi masa depan yang mempunyai masa depan cerah dan negara ini wajar memanfaatkan potensinya dengan sebaik mungkin.

 

Mengulas lanjut mengenai wang kripto berkenaan, Awang Azman turut meluahkan kebimbangan akan berlakunya jenayah pengubahan wang haram yang berleluasa sekiranya ia digunakan dalam pembiayaan dana politik.

 

Menurut Awang Azman, ini disebabkan sumbangan dana secara terbuka menyebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mengubah wang mereka yang diperoleh daripada kegiatan menyalahi undang-undang.

 

“Sumber asal dana yang disumbangkan tidak diketahui dengan jelas dan ia juga sukar untuk dikesan. Tidak hairanlah jika banyak negara tidak menerima penggunaan wang kripto kerana boleh terdedah kepada manipulasi.

Pakar geostrategis, Azmi Hassan, pula berpendapat cadangan PH untuk menggunakan kaedah mata wang kripto sebagai wadah untuk menambah dana parti adalah strategi yang kreatif namun perlu berhati-hati kerana urusan mata wang itu tidak dijamin oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Kata Azmi, ketika ini terdapat 43 entiti yang dikawal selia oleh BNM dan ia bertujuan untuk memastikan urusan wang kripto tidak disalah guna untuk tujuan jenayah dan sebagainya.

 

Katanya, tiada masalah jika urusan dilakukan oleh parti, bukannya kerajaan kerana tidak wujud persoalan untuk BNM memberi kelulusan operasi kepada entiti komersial menjalankan aktiviti dan sebagainya.

 

“Tetapi, masalah di sini adalah, PH adalah juga kerajaan dan kelulusan BNM akan memberi tanggapan urusan kripto itu dijamin oleh bank pusat terbabit.

“Kelak, akan ada yang mempersoal mengapa permohonan PH diluluskan sedangkan projek yang sama oleh usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida, diharamkan.

“Jadi, disarankan PH menggunakan kaedah lain untuk mengutip derma bagi mengelakkan salah tanggapan umum,” katanya.

 

Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai, pula berpendapat, jika Harapan Coin hanya digunakan untuk pembiayaan dana politik, ia seolah-olah kembali kepada sistem politik lama.

 

Sebaliknya, Barjoyai menyarankan supaya skopnya diperluas kepada dinar wakaf bagi membolehkan hasil dana yang diperoleh dapat digembleng kepada pembangunan ummah di negara ini.

 

“Jika Harapan Coin semata-mata untuk pembiayaan dana politik, skopnya sangat terhad, seumpama berpatah balik kepada sistem politik lama, di mana penyumbang memberi dana untuk parti politik tertentu dengan ada tujuan di sebaliknya.

“Berbeza dengan Dinar Wakaf, ia boleh dilaburkan dalam pasaran hartanah dan sebagainya yang lebih kukuh, keuntungan yang diperoleh dapat digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

 

Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…