fbpx

Harga Sawit Jatuh, Cadangan Penyelesaian Daripada Najib Razak

Oleh : Wan Syarafiz
19 November 2018 - 5:19 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Peruntukan RM260 juta bantuan musim tengkujuh kepada pekebun telah dihapuskan
  • Gantung cukai eksport 5%, laksanakan bio-diesel B10 – Najib Razak

 

Harga sawit semakin jatuh merudum dari hari ke hari, bantuan musim tengkujuh RM260 juta pekebun kecil dimansuhkan dan kos perbelanjaan semakin meningkat. Bilakah kemelut minyak sawit negara ini akan selesai?

 

Melalui satu posting Facebook oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau telah mengkritik pihak kerajaan kerana tiada sebarang inisiatif diambil bagi membantu pekebun sawit berdepan dengan harga sawit yang kian menyusut dari hari ke hari.

 

Sebagai perbandingan, Najib Razak telah membandingkan harga bagi Buah Tandan Segar (BTS) Sawit yang dibayar pada bulan November 2018 dengan harga pada tarikh sama tahun lepas. Sebagai contoh, BTS Gred C mencatatkan harga sebanyak RM566 untuk satu tan berbanding harga kini pada paras RM311 satu tan.

 

Harga sawit telah jatuh merudum sekitar 50% dalam tempoh setahun sahaja! Dan tidak mustahil harga ini akan terus menurun lagi.

 

Baca: Trend Harga Minyak Sawit Yang Menurun

 

Image result for najib razak
Kredit: Rojak Daily

 

“Satu angka rendah yang saya tidak pernah lihat selama sembilan tahun saya sebagai Perdana Menteri,” ujar Najib Razak.

 

Najib juga menyatakan eksport minyak sawit negara telah jatuh selepas Pilihan Raya Umum 14 lepas. Ini berbeza pula dengan negara jiran, Indonesia yang mana mereka berjaya mencatatkan peningkatan eksport minyak sawit.

 

Sebagai rekod, Malaysia adalah pengeksport kedua terbesar dunia bagi minyak kelapa sawit di belakang Indonesia. Jika digabungkan pasaran eksport kedua-dua negara ini, Malaysia dan Indonesia menguasai sekitar 90% pasaran eksport kelapa sawit dunia.

 

Apa punca harga minyak sawit menyusut sebegitu teruk?

 

Ada beberapa faktor yang dikatakan menyumbang kepada kejatuhan harga sawit seperti sentimen perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China serta langkah sekatan yang mahu diambil oleh Kesatuan Eropah (EU) bagi melarang penggunaan minyak sawit dalam bahan bakar.

 

Dengan perkembangan trend eksport minyak sawit yang menyusut serta harga yang merudum teruk, ini telah menimbulkan kerisauan kepada lebih 650,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara. Apakah nasib mereka nanti?

 

Image result for minyak sawit
Kredit: Berita Harian

 

Belanjawan 2019 juga dilihat sebagai kurang mesra kepada pekebun kecil. Peruntukan RM260 juta yang diberi oleh kerajaan BN sebelum ini sebagai bantuan musim tengkujuh telah dihapuskan sama sekali. Peruntukan mengurus bagi Kementerian Industri Utama juga telah dipotong sebanyak 72%.

 

Walaupun Bantuan Sara Hidup yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan dilihat lebih baik berbanding BR1M, namun cukupkah untuk menampung kesempitan hidup para pekebun kecil ini?

 

Apa langkah solusi terbaik untuk menangani kemelut minyak sawit ini?

 

Beberapa cadangan telah dilontarkan oleh Najib bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh ratusan ribuan pekebun sawit tempatan. Antara cadangan yang disuarakan ialah memberi pertolongan kewangan sementara kepada Felda. Walaupun kerajaan telah menghentikan pembiayaan kewangan kepada FELDA sejak 1996 namun dengan kejatuhan harga minyak sawit yang teruk, bantuan kewangan perlu dihulurkan bagi menjaga kebajikan peneroka dan pekebun.

 

Selain itu, Najib juga menggesa kerajaan untuk menjaga hubungan diplomatik dengan negara-negara pembeli minyak sawit. Najib membidas kerajaan PH dengan mengatakan tiada sebarang manfaat yang bakal diperoleh kerajaan sekiranya mereka terus menuduh kerajaan China bersubahat dengan kerajaan BN dalam isu rasuah dan penipuan dalam projek mega seperti ECRL.

 

Najib turut berharap supaya kerajaan dapat melaksanakan Bio-diesel B10 dengan serta merta bagi mempelbagaikan kegunaan dan menaikkan lagi harga minyak sawit. Sebelum ini, bio-diesel B5 telah diperkenalkan pada tahun 2011 yang mana 5% daripada kandungan bio-diesel ini adalah daripada minyak sawit dan kemudian dinaikkan kepada B7 pada tahun 2015. Menurut Najib, dengan harga diesel yang tinggi serta minyak sawit yang rendah, tiada sebarang sebab untuk menghalang penggunaan bio-diesel dinaikkan kepada B10.

 

Najib dalam masa yang sama mendesak pihak kerajaan supaya menggantung sementara cukai eksport 5% yang dikenakan kepada minyak kelapa sawit. Kerajaan BN sebelum ini telah menggantung cukai tersebut bagi empat bulan pertama tahun ini supaya pendapatan pekebun kecil tidak terjejas dan industri minyak sawit negara terus kompetitif di pasaran antarabangsa.

 

Walaupun harga komoditi minyak sawit ini banyak dipengaruhi sentimen politik dan ekonomi antarabangsa serta di luar bidang kawalan kerajaan, namun pihak kerajaan tidak seharusnya berdiam diri dalam mencari jalan penyelesaian terbaik supaya nasib 650,000 pekebun sawit terus terbela.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…