Industri Pelancongan, Penyumbang Ekonomi Ke-3 Terbesar
- Malaysia telah gagal mencapai sasaran jumlah pelancong bagi tempoh 2013-2017
- Jumlah pelancong daripada China dan Indonesia meningkat sebanyak 35.9% dan 15.3% berbanding tahun lepas
Sumbangan industri pelancongan kepada ekonomi negara terus meningkat tahun demi tahun. Nilai industri ini meningkat sebanyak 10.3% daripada RM56.4 bilion (2005) kepada RM201.4 bilion (2017).

Walaupun angka pertumbuhan ini dilihat memberansangkan, masih banyak perkara perlu dilakukan bagi mencapai sasaran sebanyak 30 juta pelancong menjelang 2020.
“Industri pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% daripada KDNK atau RM201.4 bilion pada tahun 2017. Memandangkan kepentingan sektor ini dalam menjanakan hasil matawang asing, Kerajaan akan menitikberatkan sasaran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk membawa masuk 30 juta pelancong asing yang bakal menyumbang RM100 bilion kepada ekonomi negara menjelang tahun 2020” – Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019.

5 tahun kebelakangan ini bukanlah tahun-tahun yang membanggakan bagi industri pelancongan. Malaysia telah gagal mencapai sasaran jumlah pelancong bagi tempoh 2013-2017.
Bagi tahun 2018, sebanyak 33.1 juta jumlah pelancong disasarkan. Namun, September lalu Kementerian Pelancongan menurunkan sasaran mereka kepada 26.4 juta pelancong sahaja.
Menurut Setiausaha Agung Kementerian Pelancongan, Datuk Rashidi Hasbullah, Malaysia berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran sebanyak 26.4 juta pelancong dan RM84.9 bilion resit pelancongan tahun ini.
Setakat Ogos 2018, Malaysia mencatatkan seramai 17.29 juta pelancong, 0.3% lebih rendah berbanding tahun lepas seramai 17.34 juta.
“Saya tidak terlalu risau. Saya yakin kita akan mencapai sasaran bagi tahun ini, hal ini kerana jumlah pelancong berkemungkinan tinggi memuncak pada bulan Disember disebabkan musim cuti. Kami akan mencapainya ” – Datuk Rashidi Hasbullah

Berdasarkan pecahan mengikut negara, kebanyakan pelancong datang daripada Singapura, Indonesia dan China. Jumlah pelancong daripada China dan Indonesia meningkat sebanyak 35.9% dan 15.3% berbanding tahun lepas.
Walau bagaiman pun, penyumbang terbesar kehadiran pelancong, Singapura mencatatkan penurunan sebanyak 17.5% berbanding tahun lepas.
“Jumlah pelancong Singapura menurun kerana kesesakan lalu lintas di Tambak Johor, jadi mereka memilih destinasi lain seperti Batam dan Bintan di Indonesia atau Thailand”
“Kita sedang mencari penyelesaian terbaik bagi masalah ini, tapi pada masa yang sama kita perlu fokus kepada pasaran lain di mana lebih banyak hasil diperoleh melalui tempoh penginapan yang lebih lama” – Datuk Rashidi Hasbullah
Secara purata, pelancong Singapura hanya menginap sekitar 2-3 hari sahaja berbanding pelancong daripada negara lain yang menginap selama 6 hari dan ke atas.
Selain daripada sasaran jumlah pelancong, Kementerian pelancongan turut meletakkan beberapa sasaran lain seperti tersenarai sebagai negara ke-10 bagi destinasi pilihan pelancong dari seluruh dunia. Sekarang, negara kita berada di tangga ke-15 bagi kategori ini.
Bagi mencapai setiap sasaran yang telah ditetapkan, beberapa inisiatif telah diumumkan dalam Belanjawan 2019 dengan peruntukan sebanyak RM1.045 bilion, antara yang terendah berbanding kementerian yang lain.
Jumlah yang diberikan bagi mempromosikan Malaysia adalah lebih rendah berbanding peruntukan pelancongan negara-negara jiran menurut Datuk Rashidi. Beliau berharap sektor swasta turut membantu dalam mempromosikan Malaysia.
Baca: Levi Pelepasan: Menampung Kerugian MAHB Atau Meningkatkan Hasil Negara?
Di samping itu, pengenalan cukai pelepasan dan keadaan Ringgit yang lemah dijangka mampu menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan tahun hadapan. Lebih lemah ringgit lebih murah kos pelancongan bagi pelancong-pelancong asing.
Cukai pelepasan pula dijangka mampu meningkatkan jumlah pelancong dalam negeri. Ianya juga tidak membebankan bagi pelancong asing, RM40 hanya sekitar USD10 dan RM20 hanya sekitar USD5 sahaja.
Mampukah Malaysia mencapai sasaran 30 juta pelancong 2020 nanti?
Sumber: The Edge, Dosm & Tourism Malaysia