fbpx

Kejatuhan Pasaran Saham: Perangkap atau Peluang

Oleh : Kapital
12 November 2018 - 11:40 am

Reading Time: 6 minutes

Sekiranya anda mengikuti berita semasa berkaitan ekonomi dan perniagaan di Malaysia, anda mungkin sedar tentang kejatuhan indeks FBMKLCI ke paras 1,700 mata pada akhir Oktober lalu daripada paras tertinggi hampir 1,900 mata yang dicatatkan sebelum Pilihan Raya Umum 14 yang lepas.

 

FBMKLCI merupakan indeks yang mewakili 30 saham syarikat terbesar berdasarkan modal pasaran yang tersenarai di Bursa Malaysia seperti Tenaga Nasional, Public Bank, Maybank, Petronas Chemicals dan Sime Darby Plantation.

 

Antara syarikat yang mengalami kejatuhan harga yang melampau adalah gergasi telekomunikasi Axiata dan juga Telekom Malaysia. Menyedari situasi ini, adakah ianya merupakan peluang keemasan untuk pelabur membuat pembelian pada harga yang rendah (bottom fishing) berdasarkan kesimpulan adalah mustahil harganya akan jatuh dengan lebih teruk lagi?

 

Sumber: Bursa Malaysia

 

Sebelum keputusan untuk membeli mana-mana kaunter dibuat, mari kita tinjau dahulu punca utama kejatuhan pasaran pada ketika ini iaitu pengeluaran keluar dana asing (foreign fund outflow) berjumlah lebih RM10 bilion sepanjang tahun 2018.

 

Tidak dapat dinafikan penjualan secara besar-besaran oleh pelabur asing ini merupakan antara punca utama penurunan indeks yang ketara, tetapi kenapa ianya terjadi?

 

Tarif Presiden Trump

Terdapat dua punca utama yang menyumbang kepada perkara ini. Faktor pertama merupakan faktor luaran iaitu pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang menyebabkan pelabur menarik keluar dana dari pasaran saham serantau, bukan sahaja di Malaysia bahkan di negara-negara lain di Asia.

 

Ini berlaku apabila pelabur menjangkakan kelembapan ekonomi akan terjadi kerana negara-negara ini sangat bergantung kepada eksport ke dua-dua buah kuasa ekonomi dunia ini.

 

Perang dagangan (trade war) ini berlaku apabila Amerika dan China saling mengenakan tarif iaitu cukai ke atas barangan yang diimport dari negara berkenaan. Untuk rekod, kedua-dua buah negara ini merupakan antara rakan dagangan utama Malaysia dengan nilai eksport hampir RM170 bilion untuk tempoh Januari hingga September 2018 iaitu kira-kira suku nilai keseluruhan eksport negara.

 

Sekiranya isu ini berlarutan ia pasti mempunyai implikasi yang buruk memandangkan nilai eksport negara mewakili lebih 70% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lepas.

 

Sumber: MIDF Research

 

 

Polisi Kerajaan Pakatan Harapan

Faktor kedua pula merupakan faktor dalaman yang mana negara kita mengalami perisitiwa bersejarah dimana kerajaan Barisan Nasional tumbang dalam Pilihan Raya Umum 14 dan pentadbiran negara diambil alih kerajaan Pakatan Harapan yang mencetuskan ketidaktentuan dalam proses peralihan kuasa dan perubahan dalam dasar-dasar kerajaan.

 

Antara langkah yang mula-mula diambil kerajaan baru adalah dengan menetapkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar bermula 1 Jun 2018. Ini menyebabkan berlakunya percutian cukai (tax holiday) selama tiga bulan kerana pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) hanya bermula pada 1 September.

 

Perkara ini mengakibatkan kerajaan kehilangan pendapatan lebih RM21 bilion!

 

Hal ini juga menyumbang kepada keputusan kerajaan untuk membatalkan, menunda atau mengubah skop beberapa projek prasarana seperti Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL), Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Transit Aliran Deras Sungai Buloh-Putrajaya (MRT2) dan Transit Aliran Ringan (LRT3).

 

Tindakan drastik untuk mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan ini bukan sahaja akan menjejaskan sektor pembinaan tetapi akan juga mempengaruhi sektor ekonomi yang lain seperti sektor bahan binaan dan hartanah berikutan kesan pengganda (multiplier effect).

Baca: Bagaimana Buat Duit Melalui Cara Beli Semula Saham?

Rundingan Semula Kontrak

Keyakinan pelabur juga tergugat kerana kerajaan dilihat dapat sewenang-wenangnya merunding semula perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini. Sebagai contoh, kontrak pakej bawah-tanah konsortium MMC-Gamuda yang bertanggungjawab melaksanakan projek MRT2 telah dibatalkan pada awalnya sebelum diteruskan semula pada harga yang lebih rendah.

 

Terkini, kos keseluruhan MRT2 telah berkurangan 22% kepada RM30.5 bilion.

 

Pengurangan kos ini dapat dicapai antara lain dengan perubahan skop kerja dan pengurangan jumlah stesen yang bakal dibina. Walaupun kerajaan dapat berjimat dengan kos yang lebih rendah, kesan negatif daripada perkara ini adalah pihak swasta akan mengambil kira risiko perundingan semula ini dalam apa jua kontrak dengan pihak kerajaan pada masa hadapan yang akhirnya akan mengakibatkan kos yang ditanggung akan lebih tinggi.

 

Hutang RM1 trilion

Selain itu, pendedahan Menteri Kewangan terhadap jumlah hutang negara yang mencecah RM1 trilion juga menimbulkan keresahan pelabur kerana ianya mendatangkan kesangsian terhadap integriti data dan ketelusan kerajaan.

 

Ini memungkinkan agensi penarafan kredit seperti S&P, Moody’s dan Fitch untuk menurunkan penarafan kredit Malaysia yang mengakibatkan kos untuk menerbitkan hutang negara (bon dan sukuk) akan lebih tinggi pada masa hadapan.

 

Walau bagaimanapun, kita bernasib baik kerana ketiga-tiga agensi penarafan kredit ini masih mengekalkan rating dan pengiraan jumlah hutang kerajaan seperti yang sebelumnya.

 

Jumlah hutang RM1 trilion ini juga sebenarnya merupakan definisi tersendiri dan bukan mengikut piawaian antarabangsa (liabiliti luar jangka dan komitmen daripada pajakan kewangan tidak diambil kira). Perkara ini juga telah diakui dan dijelaskan dalam dokumen kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 baru-baru ini.

Sumber: Kementerian Kewangan

 

Dato’ Seri Anwar Ibrahim bakal PM ke-8?

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian adalah kemunculan semula DS Anwar, antara watak utama dalam kancah politik tanah air. Kembalinya DS Anwar ke Parlimen menguatkan tuntutan untuk membolehkan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri kelak. Kehadiran beliau ini boleh mencetuskan polemik berkenaan halatuju kepimpinan negara.

 

Visi dan gagasan Tun Mahathir mungkin kurang mendapat sambutan penuh jika pelabur mengambil sikap tunggu-dan-lihat dengan beranggapan beliau hanya akan memegang jawatan Perdana Menteri untuk tempoh sementara sahaja. Mengikut laporan media, terdapat persetujuan untuk Tun Mahathir memegang jawatan ini untuk jangkamasa sehingga dua tahun.

 

Ini bakal menimbulkan keraguan terhadap projek-projek yang bakal dilaksanakan semasa kepimpinan beliau kali ini. Sebagai contoh adalah cadangan untuk perlaksanaan projek kereta nasional ketiga. Pertama sekali, jika kerajaan benar-benar komited untuk mengekang perbelanjaan kerajaan, maka projek kereta ini tidak sepatutnya menjadi keutamaan.

 

Kedua, jika ianya projek yang bakal dipacu pihak swasta, siapakah yang berani untuk membuat pelaburan bernilai tinggi jika tiada jaminan ianya bakal diteruskan kerajan pimpinan DS Anwar? (atau menerima bayaran gantirugi yang tinggi jika ianya dibatalkan).

 

Perlu diingat hubungan Tun Mahathir dan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah mulai keruh selepas beliau bertindak membatalkan projek jambatan bengkok Singapura-Johor dan juga projek landasan kereta api berkembar Johor Bahru-Padang Besar.

 

 

Peluang Dalam Pasaran?

Sumber: Yahoo Finance

 

Menelusuri peristiwa-peristiwa di atas dari perspektif ekonomi dan sejarah, anda akan dapati petikan ‘sejarah tidak berulang tapi ia selalunya beritma’ (history doesn’t repeat, but it often rhymes) adalah sangat bertepatan.

 

Merujuk kepada peristiwa-peristiwa pada tahun 1997/98, 2008 dan kini, anda akan dapati perkara yang serupa berlaku di mana pasaran saham jatuh menjunam, suasana politik dunia dan tempatan yang kurang stabil dan sentimen pelabur yang negatif.

 

Pada 1997/98, kita berdepan dengan Krisis Kewangan Asia dan pemecatan DS Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri sehinggalah kebangkitan gerakan Reformasi dan pembentukan Parti Keadilan Nasional.

 

Tahun 2008 pula menyaksikan tercetusnya Krisis Kewangan Global di Amerika dan kejatuhan lima buah kerajaan negeri ke tangan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum 12.

 

Berhadapan persekitaran yang tidak menentu ini, majoriti pelabur tentunya mahu mengelak risiko dan mencari pelaburan selamat (safe haven investment) untuk memelihara modal dan mengehadkan kerugian. Meskipun begitu, apabila suasana politik kembali stabil dan ekonomi beransur pulih, maka pelabur-pelabur ini juga akan memasuki pasaran semula.

 

Oleh yang demikian, turun-naik (volatility) dalam pasaran itu merupakan lumrah yang seharusnya diterima oleh pelabur. Malah bagi pelabur yang berani menongkah arus, turun-naik dalam pasaran ini sentiasa dinantikan kerana ianya datang bersama peluang.

 

Memetik kata-kata pelabur lagenda Warren Buffett, “Anda tidak perlukan saintis roket. Melabur bukanlah permainan di mana seseorang dengan IQ 160 mengalahkan seorang lain dengan IQ 130. Sikap rasional adalah penting ketika orang lain membuat keputusan berdasarkan sikap tamak atau ketakutan jangka pendek. Ketika itulah wang dapat dijana”.

 

Jika anda berkeyakinan bahawa asas ekonomi Malaysia adalah kukuh dan akan terus berkembang, majoriti rakyat produktif dan berdaya maju, polisi kerajaan akan bakal mesra perniagaan/pelabur dan ketidaktentuan politik kini adalah bersifat sementara, apa yang sepatutnya anda lakukan sekarang? Beli saham yang jatuh teruk, saham syarikat berkaitan ahli politik pemerintah atau simpan sahaja wang dalam Tabung Haji?

 

Strategi untuk menghadapi pasaran yang kurang memberangsangkan ini akan diperhalusi dalam artikel akan datang.


Azizi merupakan seorang pensyarah di MMU dan graduan Ijazah Sarjana dalam bidang Kewangan Islam.

 

Artikel ini ditulis oleh Saudara Azizi

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Telur -01

Harga Telur Naik Lebih 10 Sen Sebiji Semenjak April

Reading Time: 2 minutes 60% daripada bahan kandungan makanan ayam ini perlu diimport daripada negara luar KPNKK sedang menyiasat kenaikan ini jika…

duit-gaji

Pemintaan Gaji ‘tidak realistik’ Punca Pengangguran

Reading Time: 1 minute Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Pemintaan gaji ‘tidak realistik’ adalah antara alasan…

Tabung haji 1-01

SPV Mengambil Alih Aset Tabung Haji Bernilai RM19.9 bilion

Reading Time: 4 minutes Antara hartanah yang akan dipindahkan kepada SPV adalah tanah di Tun Razak Exchange (TRX) SPV akan memberi sukuk…

SPV-01

Apa itu SPV?

Reading Time: 2 minutes SPV ni entiti yang ditubuhkan dengan satu tujuan khas sahaja, samada untuk beli aset (spt Danaharta), untuk financing…