fbpx

Kenapa Subsidi Air Bersasar Dilaksanakan

Oleh : Kauthar Rozmal
28 November 2018 - 5:47 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Rakyat Selangor menggunakan 41% lebih banyak air berbanding saranan jumlah penggunaan air oleh WHO
  • Margin simpanan air Selangor berada pada kadar 0%

Penduduk Selangor merupakan penduduk yang paling banyak menggunakan air di Malaysia! Secara puratanya penggunaan air di Selangor adalah 234 liter/hari per kapita, lebih tinggi berbanding purata kebangsaan pada 209 liter/hari per kapita.

 

Jika dibandingkan pula dengan saranan daripada World Health Organisation (WHO), penggunaan air sepatutnya berada pada paras 165 liter/hari per kapita. Adakah ini bermaksud rakyat Malaysia suka melakukan pembaziran?

 

Selain itu, tarif air di Malaysia juga merupakan antara yang terendah di dunia. Sebagai contoh tarif air di Selangor dan Johor adalah RM0.57 per meter padu dan RM0.80 per meter padu, manakala tarif air  di Thailand dan Singapura adalah RM1.66 per meter padu dan RM8.38 per meter padu .

 

Tetapi sayang seribu kali sayang tidak ramai yang menghargai kemudahan ini dan melakukan pembaziran. Apatah lagi jika diberi air percuma, semakin ramai lah tidak menghargainya.

 

Satu-satunya negeri di Malaysia yang memberikan air percuma adalah Selangor iaitu sebanyak 20 meter padu sebulan bagi setiap rumah. Ianya merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada tahun 2008.

 

Walau bagaimana pun dalam pembentangan Belanjawan Negeri Selangor Jumaat lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengumumkan pemberian air percuma daripada 20 kepada 25 meter padu sebulan di Selangor tahun depan hanya akan dinikmati golongan sasar yang berada dalam kalangan B40 iaitu mereka yang berdaftar dengan program E-Kasih, berbanding semua warga Selangor ketika ini.

 

“Kerajaan Selangor akan membuat penjajaran semula peruntukan Program Air Percuma dengan tumpuan diberi kepada kumpulan sasar yang berada dalam golongan B40.

“Kerajaan negeri yakin golongan B40 ini lebih berkeperluan dan lebih menghargai bantuan air percuma ini,” – Amirudin

 

Sudah pasti ramai tidak bersetuju dengan tindakan ini. Mereka beranggapan seolah-olah kerajaan Pakatan Harapan telah mengkhianati mereka. Namun bagi setiap keputusan pasti ada kerasionalan disebaliknya.

 

Image result for amirudin shari belanjawan
Kredit: Utusan

 

Jika diteliti, inisiatif ini dilihat seiring dengan inisiatif dalam Belanjawan 2019 oleh Kerajaan Persekutuan yang memfokuskan bantuan kepada kumpulan B40.

 

Dalam belanjawan persekutuan, beberapa bentuk subsidi bersasar telah diperkenalkan seperti subsidi minyak dan pemberian diskaun PTPTN kepada pelajar dari kumpulan B40.

 

Menurut Amirudin, melalui pelaksanaan subsidi bersasar ini kerajaan negeri mampu membuat penjimatan sebanyak RM105.2 juta.

 

Pemberian subsidi bersasar ini turut disokong oleh International Monetary Fund (IMF). Melalui laporan “Energy Subsidy Reform: Lessons and Implications”, kumpulan T20 menikmati 6 kali ganda subsidi berbanding kumpulan B20 jika subsidi dilaksanakan secara pukal.

 

Secara logiknya, golongan kaya tidak memerlukan sebarang subsidi kerana mereka sudah sedia mampu, lebih baik ianya diberikan kepada golongan miskin. Dengan mekanisma subsidi bersasar juga lebih banyak subsidi mampu diberikan kepada golongan miskin berbanding mekanisma subsidi pukal.

 

Selain itu, merujuk kepada fakta penggunaan air di Selangor, rakyat Selangor dilihat tidak berhemah dalam tahap penggunaan air di rumah. Rakyat Selangor menggunakan 41% lebih banyak air berbanding saranan jumlah penggunaan air oleh WHO.

 

Adakah air percuma ini menyebabkan mereka lupa untuk berhemah?

 

Datuk Seri Dr Zaini Ujang

 

Perkara ini turut disokong oleh pakar industri, Datuk Seri Dr Zaini Ujang. Menurut beliau pemberian subsidi pukal sebanyak 20 meter padu itu bukanlah satu langkah bijak.

 

“Langkah kerajaan Selangor untuk membelanjakan RM14 juta sebulan untuk program air percuma tidak menyumbang kepada pemeliharaan bekalan air bagi jangka panjang” Zaini Ujang

 

Untuk makluman pembaca, margin simpanan air Selangor berada pada kadar 0% berbanding Negeri Sembilan 22.1% dan Pulau Pinang 34.1%. Ini bermakna Selangor tiada lansung simpanan air!

 

Selain itu, kes paip pecah atau bocor, gangguan bekalan air dan aduan gangguan bekalan air yang berlaku di Selangor adalah yang tertinggi di Malaysia. Hal ini kerana paip agihan tersebut sudah lama, berada dalam keadaan di bawah tekanan sebab keperluan air di Selangor sekarang ini lebih daripada kapasiti bekalan air yang mampu dihasilkan menerusi reka bentuk asalnya.

 

Satu penstrukturan semula sistem bekalan air perlu dilakukan segera bagi menampung keperluan di masa hadapan. Rakyat Selangor harus berfikir bagi manfaat jangka masa panjang.

 

Penjimatan daripada pelaksanaan subsidi bersasar ini boleh digunakan bagi perkara yang lebih utama seperti menambah baik sistem bekalan air di Selangor.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Telur -01

Harga Telur Naik Lebih 10 Sen Sebiji Semenjak April

Reading Time: 2 minutes 60% daripada bahan kandungan makanan ayam ini perlu diimport daripada negara luar KPNKK sedang menyiasat kenaikan ini jika…

duit-gaji

Pemintaan Gaji ‘tidak realistik’ Punca Pengangguran

Reading Time: 1 minute Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Pemintaan gaji ‘tidak realistik’ adalah antara alasan…

Tabung haji 1-01

SPV Mengambil Alih Aset Tabung Haji Bernilai RM19.9 bilion

Reading Time: 4 minutes Antara hartanah yang akan dipindahkan kepada SPV adalah tanah di Tun Razak Exchange (TRX) SPV akan memberi sukuk…

SPV-01

Apa itu SPV?

Reading Time: 2 minutes SPV ni entiti yang ditubuhkan dengan satu tujuan khas sahaja, samada untuk beli aset (spt Danaharta), untuk financing…