fbpx

Khazanah Rugi RM64.5 Bilion Sejak Awal Tahun

Oleh : Syafiq Hanafi
28 November 2018 - 10:56 am

Reading Time: 4 minutes
  • Pada tahun 2017, nilai portfolio pelaburan Khazanah berkembang kira-kira 13.2% atau RM13.4 bilion
  • TM merupakan syarikat yang mencatatkan penurunan peratusan nilai saham paling tinggi sebanyak 62.7%

 

Khazanah Nasional Berhad berhadapan cabaran serius untuk mengekalkan prestasi baik pelaburannya seperti tahun 2017 untuk tahun ini apabila sekurang-kurangnya sembilan syarikat yang mempunyai pelaburan Khazanah kehilangan lebih RM64.5 bilion nilai pasaran selepas saham syarikat-syarikat berkenaan merosot sejak awal tahun 2018.

 

Berdasarkan kepada pegangan saham Khazanah terhadap sembilan syarikat ini, kira-kira RM20 bilion nilai pelaburan Khazanah telah lenyap sehingga kini. Keadaan ini jelas bertentangan dengan apa yang dialami Khazanah pada tahun 2017 apabila peningkatan harga saham yang didagangkan di Bursa Malaysia membolehkan nilai pelaburan dinikmati syarikat berkenaan meningkat secara positif.

 

Kemerosotan nilai saham pada tahun ini jelas disumbangkan oleh pelbagai faktor termasuklah sentimen pasaran yang lemah akibat daripada ketidaktentuan ekonomi dan pelaburan asing berhenti melabur daripada pasaran di negara ini.

 

Baca: Khazanah Menang 5-1

Baca: 44 Syarikat Pegangan Khazanah Nasional Berhad Sehingga Tahun Ini

 

Selain itu, setiap satu daripada sembilan syarikat berkenaan turut berhadapan dengan cabaran masing-masing termasuklah nilai saham lemah di samping perubahan besar-besaran dalam barisan pengurusan syarikat selepas berlaku peralihan kerajaan pada 9 Mei lalu.

 

Berdasarkan kepada pemerhatian sehingga 22 November 2012, beberapa syarikat yang mempunyai pelaburan Khazanah dan mencatatkan kemerosotan prestasi ialah Axiata Group Berhad, Telekom Malaysia Berhad, IHH Healthcare Berhad, CIMB Group Holdings Berhad, Astro Malaysia Holdings Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad, UEM Sunrise Berhad dan Time dotcom Berhad.

 

Khazanah memiliki pegangan 37.2% dalam Axiata Group Berhad dan nilai sesaham terkini untuk syarikat ini ialah RM3.43 dan ia melihatkan kejatuhan sebanyak 37.5% dengan kemerosotan nilai pasaran sehingga RM18.7 bilion.

 

Image result for pasaran saham
Kredit: Harian Metro

 

Bagi Telekom Malaysia Berhad pula, Khazanah mempunyai pegangan 26.2% dan nilai saham semasa untuk TM ialah RM2.35. Ini menjadikan TM sebagai syarikat yang mencatatkan penurunan nilai saham paling tinggi mencecah 62.7% dan telah kehilangan nilai pasaran berjumlah RM14.8 bilion.

 

TM dilihat berhadapan dengan pelbagai krisis tahun ini termasuk tekanan kerajaan untuk mereka mengurangkan kadar harga perkhidmatan jalur lebar dan keperluan untuk meningkatkan tahap kualiti. Walaupun ia merupakan satu desakan yang akan mengukuhkan kepentingan pengguna, namun ia jelas memberikan kesan menyeluruh terhadap TM.

 

Selain itu, aspek perubahan dalam pengurusan juga dilihat memberikan kesan terhadap TM. Baru-baru ini pemangku CEO Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman secara tiba-tiba meletak jawatan dan tanpa penjelasan yang menyakinkan, TM dikatakan berhadapan dengan cabaran untuk mengukuhkan prestasinya dan syarikat ini juga dikatakan memberi respons perlahan terhadap desakan kerajaan untuk TM segera melaksanakan perancangan terhadap Internet berkualiti tinggi di Malaysia.

 

Pelaburan Khazanah di dalam IHH Healthcare Berhad juga dilihat terkesan apabila nilai saham syarikat berkenaan kini ialah RM4.81 dengan mencatatkan kejatuhan sekitar 17.9%. Keadaan ini sekaligus menyebabkan nilai pasaran syarikat merosot sekitar RM8.7 bilion.

 

Image result for ihh healthcare
Kredit: FMT

 

Khazanah memiliki pegangan 41.6% di dalam IHH Healthcare. Difahamkan krisis ekonomi Turki juga menjadi antara penyumbang kepada prestasi kurang memberangsangkan oleh IHH Healthcare memandangkan syarikat berkenaan memiliki pelaburan yang signifikan di negara berkenaan.

 

CIMB Group Holdings Berhad pula mencatatkan nilai saham semasa pada harga RM5.65 dan ia sebenarnya jatuh kira-kira 13.6% dan menyebabkan nilai pasaran syarikat juga merosot sebanyak RM8.5 bilion. Secara umumnya Khazanah memiliki 27.5% kepentingan dalam CIMB Group.

 

Agak menghairankan juga syarikat yang memiliki monopoli perniagaan seperti Astro Malaysia Holdings Berhad dan Tenaga Nasional Berhad boleh mencatatkan penurunan ketara pada nilai saham masing-masing. Nilai saham semasa Astro kini ialah RM1.17, penurunan sebanyak 55.9% dan keadaan ini melihatkan nilai pasaran syarikat penyiaran berbayar ini merosot sehingga RM7.7 bilion.

 

TNB pula melihat kemerosotan nilai saham sebanyak 3.2% dan menjadikan nilai semasa sahamnya pada tahap RM14.78. TNB juga mencatatkan penurunan nilai pasarannya sebanyak RM2.7 bilion. Khazanah memiliki kepentingan 20.7% dan 28.8% masing-masing dalam Astro dan TNB.

 

Malaysia Airports Holdings Berhad, syarikat yang memberi fokus kepada pengurusan lapangan terbang juga melihatkan kemerosotan nilai saham sebanyak 10.7% dan nilai saham semasa syarikat berkenaan ialah RM7.85.

 

Image result for mahb
Kredit: The Edge Markets

 

Manakala penurunan turut dicatatkan dalam nilai pasaran MAHB sebanyak RM1.6 bilion. Berdasarkan kepada analisis, saham MAHB berada pada kedudukan tidak meyakinkan berikutan ketidaktentuan yang berlaku dalam sektor penerbangan dan keadaan ini diburukkan lagi dengan langkah kerajaan mengumumkan cadangan untuk mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) untuk lapangan terbang semasa pembentangan bajet 2019.

 

Sebelum itu, seperti juga IHH, MAHB juga turut terkesan dengan krisis ekonomi yang berlaku di Turki berikutan kedudukan pelaburan yang signifikan MAHB di negara berkenaan.

 

Dua lagi syarikat di mana Khazanah memiliki pegangan sahamnya dan turut terlibat dalam kemelut semasa ini ialah UEM Sunrise Berhad dan Time dotcom Berhad. Khazanah memiliki 66.1% saham dalam UEM Sunrise dan 11.2% saham dalam Time dotCom.

 

Berdasarkan kepada situasi semasa harga saham UEM Sunrise ialah pada tahap RM0.79, manakala untuk Time pula ialah RM7.86. UEM Sunrise mencatatkan penurunan harga saham sebanyak 24%, manakala penurunan yang dicatatkan oleh Time pula ialah 12.4%. Ini menjadikan nilai pasaran masing-masing untuk UEM Sunrise dan Time merosot sebanyak RM1.1 bilion dan RM0.6 bilion.

 

Khazanah memiliki portfolio pelaburan di lebih 100 syarikat meliputi pelbagai sektor dan industri di pelbagai negara. Pada tahun lalu, nilai portfolio pelaburan Khazanah berkembang kira-kira 13.2% atau RM13.4 bilion menjadikan nilai keseluruhan ialah RM115.6 bilion.

 

Pertumbuhan pelaburan pada tahun lalu ini kebanyakannya disokong oleh kenaikan nilai saham syarikat-syarikat tempatan dan juga pelaburan berterusan dalam syarikat-syarikat berteraskan teknologi dalam pasaran saham China.

 

Tahun 2017 Khazanah mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 84.7% menjadikan jumlah keuntungannya ialah RM2.89 bilion dan Khazanah membayar dividen RM1 bilion kepada kerajaan.

 

Namun begitu, berdasarkan maklumat daripada penganalisis pasaran, apa yang berlaku ini tidak wajar untuk diberikan perhatian terlalu serius kerana ia dianggap sebagai kitaran normal dan fenomena sementara. Malah dengan perubahan yang berlaku dalam pengurusan Khazanah, dijangka mandat pelaburan syarikat berkenaan turut dijangka berubah.

 

Ketua Pelaburan Khazanah, Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz menyatakan perkara ini dalam temu bual dengan Bloomberg baru-baru ini.

 

“Ahli Lembaga Pengarah Khazanah kini sedang melihat keperluan secara serius untuk mengubah mandat pelaburan yang ada dan idea keseluruhan mengenai hala tuju Khazanah dijangka dibentangkan sebelum akhir tahun ini,” kata Azmil.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…