fbpx

Latiff Mohidin Sang Seniman Luar Biasa

Oleh : Kapital
09 November 2018 - 3:25 pm

Reading Time: 3 minutes

Art freedom and Creativity will change society faster then politics- Victor Pichuk

 

Oleh: Budiman Hikayat

Seni adalah sesuatu yang menarik, unik dan meyegarkan. Negara-negara maju amat menitikberatkan soal kesenian kerana bagi mereka sesiapa sahaja yang tidak menghargai seni maka jiwa mereka telah mati. Di negara kita, kita biasa mendengar nama-nama penggiat seni dari luar dan sering dijadikan sebagai rujukan seperti Leonardo Davinci, Michelangelo, Rapahel, Pablo Picasso, Vincent Van Gogh dan pelbagai lagi nama.

 

Karya-karya mereka membuatkan kita terpesona, terkesima dan terliur untuk memiliki kerana harganya yang begitu mahal. Disebabkan hal ini juga kita sering melupakan penggiat-penggiat seni di Malaysia yang telah menghasilkan pelbagai karya yang tidak kurang juga menarik malahan ada juga yang melebihi dari ekspektasi. Antara seniman yang boleh disebutkan ialah Latiff Mohidin.

 

Latar Belakang Latiff Mohidin

Abdul Latiff bin Haji Mohidin (A. Latiff Mohidin, Alma) dilahirkan pada 20 Ogos 1941 di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau menerima pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Lenggeng hingga lulus darjah IV.

 

Selepas itu, Latiff menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Kota Raja dan Mercantile Institution, Singapura. Kemudian pada tahun 1954, beliau kembali ke Seremban dan belajar di Sekolah King George V hinggalah lulus School Certificate pada tahun 1959.

 

Pada pertengahan tahun 1960, Latiff meninggalkan tanah air untuk menuntut di Academy of Fine Arts, Berlin, Jerman selama empat tahun dengan biaya pemerintah Republik Persekutuan Jerman. Dalam tahun 1969, Latiff mengikuti kursus seni goresan (etching di Atelier La Courrier), Paris dan kemudian meneruskan kursus yang sama di Pratt Graphic Centre, New York, Amerika Syarikat.

 

Ledakan Karya Seni Latiff Mohidin

Peranan Latiff Mohidin dalam seni lukis tidak dapat dipertikaikan. Beliau mula berkarya sejak tahun 1951 lagi. Antara siri lukisan yang dihasilkan ketika itu termasuklah “Pago-Pago”, “Mindscape” dan “Langkawi”, Latiff diiktiraf sebagai antara pelukis penting di negara ini. Sepanjang karier, beliau telah mengadakan tiga puluh pameran perseorangan di Asia dan di Eropah.

 

Latiff pernah mempamerkan hasil karya seni lukisnya di Bona, Berlin, Frankfurt, Hamburg, Bangkok, Singapura, New Delhi, New York, Sydney, Sao Paulo, Osaka, Montreal, Manila, Jakarta, Dublin dan London, selain Petaling Jaya, Pulau Pinang, dan Kuala Lumpur.

 

Image result for latiff mohidin
Kredit: Southeast Asia Globe

 

Salah satu karya seni yang dihasilkan oleh Latiff Mohidin ini telah mendapat sambutan yang luar biasa. Kebiasaannya karya-karya seni yang mendapat bidaan tinggi adalah karya yang terhasil dari luar negara tetapi Latiff Mohidin telah memecahkan tanggapan itu.

 

Mengikut rekod bidaan KL Lifestyle Art Space, karya beliau daripada siri Rimba berjudul Puntung The Stump yang dihasilkan pada 1996 mencatat rekod jualan tertinggi dengan harga RM 879, 216 menerusi lelongan syarikat berkenaan pada tahun 2016.

 

Lukisan cat minyak yang dihasilkan di atas kanvas berukuran 137 sentimeter x 266 sentimeter itu dibeli seorang pengumpul lukisan persendirian untuk simpanan peribadinya.

 

Pembeli sanggup membayar dengan harga sedemikian rupa kerana mereka tahu nilai sejarah lukisan berkenaan diamping penghasilannya yang sangat eksklusif dan memiliki cita rasa diinginkan serta serasi dengan jiwa. Disebabkan itu, maka tidak menghairankan mengapa karya Latiff Mohidin ini mendapat perhatian.

 

Sisi Lain Sang Seniman

Uniknya mengenai Latiff Mohidin ini, darah seninya tidak hanya mengalir sekadar di kanvas atau di arca-arca sahaja, beliau juga menceburkan diri dalam syair dan mula menyair sejak awal tahun 1963 dan terus aktif berpuisi sambil mengembara pada tahun 60-an dan 70-an.

 

Puisi beliau yang kaya dengan pelbagai imejan, metafora, serta ungkapan ringkas yang segar telah membawa gelombng baru dalam perkembangan puisi negara.

 

Image result for latiff mohidin
Kredit: Harian Metro

 

Di antara karya-karya yang pernah beliau tulis termasuklah Sungai Mekong, Kembara Malam, Wayang Pak Dalang, Pesisir Waktu, Serpihan Dari Pedalaman, Rawa-Rawa dan Sajak-Sajak Dinihari serta tiga buku catatan seni, iaitu Garis, Catatan Latiff Mohidin, dan Catatan Dua Baris. Puisi-puisi beliau telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Cina, Jerman, Itali, Danish, dan Tamil.

 

Lebih menariknya, minat seniman ini terhadap ilmu juga telah mendorong beliau untuk menterjemahkan pelbagai karya dari luar negara ke dalam bahasa ibunda. Karya terjemahan beliau termasuklah puitis pujangga, pemikir, dan ahli falsafah dunia seperti Rubaiyat Omar Khayyam, Puisi-Puisi Jalaluddin Rumi, Tao Te Ching Lau Tze, Gitanjali Tagore, dan Faust Goethe.

 

Kesimpulan

Sepanjang karier, Latiff Mohidin telah menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah termasuklah memenangi Hadiah Karya Sastera/Hadiah Sastera Malaysia sejak tahun 1971. Beliau juga pernah menerima Anugerah Puisi Putera 1 anjuran Bank Bumiputera dan GAPENA. Pada tahun 1984 pula, Latiff telah terpilih menerima S.E.A. Write Awards di Bangkok.

 

Apa yang menjadikan seniman ini unik bukanlah kerana lukisannya yang mendapat bidaan tinggi, tetapi kerana kesediaanya untuk menceburi pelbagai bidang demi untuk menawarkan sesuatu yang menguntungkan pada masyarakat. Disebabkan itu beliau merupakan salah satu seniman yang luar biasa.


Budiman Hikayat merupakan penggemar fesyen dan seni tanah air.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili Kapital.my

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Telur -01

Harga Telur Naik Lebih 10 Sen Sebiji Semenjak April

Reading Time: 2 minutes 60% daripada bahan kandungan makanan ayam ini perlu diimport daripada negara luar KPNKK sedang menyiasat kenaikan ini jika…

duit-gaji

Pemintaan Gaji ‘tidak realistik’ Punca Pengangguran

Reading Time: 1 minute Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Pemintaan gaji ‘tidak realistik’ adalah antara alasan…

Tabung haji 1-01

SPV Mengambil Alih Aset Tabung Haji Bernilai RM19.9 bilion

Reading Time: 4 minutes Antara hartanah yang akan dipindahkan kepada SPV adalah tanah di Tun Razak Exchange (TRX) SPV akan memberi sukuk…

SPV-01

Apa itu SPV?

Reading Time: 2 minutes SPV ni entiti yang ditubuhkan dengan satu tujuan khas sahaja, samada untuk beli aset (spt Danaharta), untuk financing…