Pemberian Subsidi Minyak Bersasar Yang Jauh Tersasar
- Menurut Bajet 2019, pemberian subsidi minyak akan diberikan kepada pemilik kereta dengan kapasiti 1,500 cc dan ke bawah serta pemilik motosikal 125 cc ke bawah
- Kemungkinan akan wujud situasi di mana lebih banyak pengeluar kereta menjual kereta yang tidak sepadan dengan saiz enjin
Pemberian subsidi minyak yang dibentangkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan bukanlah sebuah subsidi bersasar sebaliknya ia adalah subsidi yang jauh tersasar serta ketinggalan zaman.
Pada sesi pembentangan bajet Kerajaan Pakatan Harapan baru-baru ini, antara perkara yang mencuri perhatian ramai adalah langkah pemberian subsidi minyak yang disasarkan kepada pemilik kereta dengan kapasiti 1,500 cc dan ke bawah serta pemilik motosikal 125 cc ke bawah.
Pengumuman ini disifatkan sebagai langkah yang baik kerana kerajaan dilihat sangat komited dalam mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat meskipun berdepan situasi hutang yang tinggi dan kekangan kewangan negara.
Langkah ini dikatakan sebagai satu hadiah kepada rakyat Malaysia terutamanya golongan B40. Tetapi adakah subsidi minyak bersasar ini benar-benar ‘hadiah’ kepada rakyat?

Terdapat beberapa kritikan telah dilontarkan kepada kerajaan kerana pemberian subsidi yang dibuat berdasarkan saiz enjin (cc) kereta dan motosikal dikatakan adalah satu langkah yang ke belakang dan ketinggalan zaman.
Sebagai rekod, Cukai Jalan di Malaysia dibayar mengikut saiz enjin kereta dan bukannya berdasarkan nilai pasaran semasa kereta tersebut.
Berdasarkan satu posting di Facebook oleh Suara Kmp, Registration Fees atau Cukai Jalan di California dikira berdasarkan nilai pasaran terkini sesebuah kenderaan tersebut.
Contoh pengiraan Cukai Jalan di California:
1) Base Registration Fee: USD58
2) California Highway Patrol: USD25
3) Transportation Improvement Fee: USD25 – 175 (bergantung pada nilai pasaran kereta)
Jika anda memiliki BMW 335i xDrive (tahun 2015) dengan nilai pasaran USD20,000. Jumlah keseluruhan Cukai Jalan yang perlu dibayar ialah:
USD58 + USD 25 + USD50 = USD133 (RM555)
Saiz enjin langsung tidak diambil kira! Dan yang paling menarik ialah Cukai Jalan ini adalah jauh lebih murah daripada Cukai Jalan di Malaysia dan akan menurun dari tahun ke tahun kerana nilai pasaran semasa kenderaan juga akan menurun.
Berdasarkan kepada situasi ini, kita dapat lihat saiz enjin sesebuah kenderaan bukanlah mekanisme yang paling tepat untuk menentukan jumlah Cukai Jalan kenderaan atau pemberian subsidi minyak bersasar seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2019.
Kenapa saiz enjin tidak sesuai dijadikan sebagai kayu ukur dalam pemberian subsidi minyak?
Berikutan pengumuman pemberian subsidi minyak bersasar, kemungkinan akan wujud situasi di mana lebih banyak pengeluar kereta akan menjual kereta yang tidak sepadan dengan saiz enjin.
Bayangkan jika sebuah kereta Toyota Camry yang sekarang ini menggunakan enjin bersaiz 2000 cc ditukar kepada enjin bersaiz 1500 cc supaya pembelinya dapat menikmati subsidi minyak bersasar ini. Perkara seperti ini sudah pasti akan dilakukan oleh pengeluar kereta bagi melariskan lagi jualan mereka.
Bukankah ini akan membahayakan pemandu kereta tersebut dan juga pengguna jalan raya yang lain?
Hal ini kerana, kereta yang dipandu tidak mempunyai kuasa penuh atau ‘underpowered’. Apabila berada di jalanan, kereta yang ‘underpowered’ pastinya kekurangan ‘power’ dan akan lebih sukar untuk memotong kenderaan lain dan sekaligus bakal mengundang risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.

Jika dilihat kepada teknologi dan inovasi kejuruteraan kereta pada hari ini pula, banyak pengeluar kereta mewah telah mula menghasilkan model-model baru dengan saiz enjin yang lebih kecil. Sebagai contoh kereta BMW 318i (1,499 cc) dan W205 Mercedes-Benz C-Class (1,500 cc).
Rakyat yang mampu membeli dua jenis kereta yang dinyatakan ini sudah pasti bukan datang daripada golongan B40 kerana harga yang sangat tinggi. Tetapi saiz enjin kereta tersebut adalah 1,500 cc dan ke bawah yang melayakkan pembelinya untuk mendapat subsidi minyak bersasar. Pakai kereta mewah pun boleh dapat subsidi!
Apakah keprihatinan kerajaan kepada rakyat hanya diukur berdasarkan saiz enjin kereta yang digunakan? Apa pula nasib golongan-golongan tua yang menerima duit pencen dalam jumlah yang kecil tetapi masih menggunakan model kereta lama seperti Mercedes E280?
Golongan ini bukan sahaja perlu membayar Cukai Jalan pada harga yang tinggi tetapi dalam masa yang sama juga tidak mendapat subsidi minyak kerana kereta yang digunakan mempunyai saiz enjin yang besar. Bukankah golongan seperti ini yang harus dibantu kerajaan?
Sekiranya situasi seperti ini terjadi, ia tidak boleh dianggap sebagai subsidi bersasar sebaliknya ia adalah sebuah subsidi yang jauh tersasar daripada tujuan asal pemberian subsidi ini ingin dilaksanakan.
Kerajaan seharusnya mencari mekanisme yang lebih tepat dan terbaik supaya tujuan asal untuk meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dapat ditunaikan.