fbpx

[ PEMILIHAN PKR ] Azmin Ali Hampir Tewas Di Tangan Rafizi. Apa yang terjadi?

Oleh : Faris Halim
06 November 2018 - 11:54 am

Reading Time: 5 minutes

Azmin akhirnya tarik nafas lega

 

Setelah diasak bertubi-tubi dalam pertempuran yang begitu sengit selama dua bulan ini, akhirnya Azmin Ali mampu menarik nafas lega. Sumber-sumber yang dekat dengan Azmin menyifatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sendiri agak terkejut apabila dikhabarkan perkembangan di Sabah. Jika dua minggu sebelum itu Azmin seakan-akan berada dalam keadaan “nyawa-nyawa ikan” untuk mempertahankan kerusi Timbalan Presiden PKR – kini beliau tampil penuh keyakinan.

 

Keputusan pemilihan di Sabah – negeri dengan jumlah pengundi kedua terbesar dalam pemilihan parti PKR, meletakkan beliau mendahului saingannya, Rafizi Ramli dengan kelebihan tiga ribu undi. Jangkaan awal penyokong Rafizi yang begitu yakin bahawa ahli-ahli parti di Sabah akan memihak kepada calon mereka ternyata meleset.Walaupun berjaya mendaftarkan lebih 100 ribu ahli baru di negeri berkenaan dan berkempen di sana tidak kurang tiga kali, Rafizi gagal membawa momentum awal yang diciptanya hingga ke garisan penamat.

 

Kredit: FMT

 

Pemilihan PKR di Sabah juga tidak dapat lari daripada kekecohan yang berlaku di beberapa pusat mengundi. Malah penyokong di kedua-dua kem juga dilihat begitu cepat melemparkan tuduhan kepada lawan masing-masing. Pemilihan PKR di Sabah ini masih tidak mengecewakan dari segi perjalanan dramanya walaupun parti yang lahir dari demonstrasi jalanan itu kini sudah selesa mendiami Putrajaya.

 

Ketika Rafizi membuka langkahnya mencabar Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden, ramai yang beranggapan bahawa Azmin pasti menang. Ada antara penganalisis politik yang sering berkicau di ruangan Twitter kelihatan menyindir dan seperti menafikan kebolehan Rafizi serta dalam masa sama mengagungkan ketokohan Azmin.

 

Dari segi logiknya, Rafizi yang merupakan generasi jauh lebih junior berbanding Azmin tidak mungkin dapat mencabar seorang tokoh dan penyandang jawatan seperti Azmin. Rafizi memang mempunyai pengaruh dan pengikut yang ramai, namun Azmin yang merupakan salah seorang pemimpin pengasas PKR disangka mampu menepis serangan dengan mudah, tambahan pula beliau yang sebelum ini menjadi anak didik terpenting Anwar Ibrahim kini sudah menjadi anak emas, Tun M.

 

Kredit: Soscili

 

Kekuatan Azmin jelas pada pasukannya sendiri. Kita dapat melihat bagaimana beliau berjaya meletakkan pemimpin seperti Zuraidah Kamarudin, Xavier Jeyakumar dan Baru Bian dalam Kabinet serta Amiruddin Shaari sebagai Menteri Besar Selangor, sudah pasti situasi ini mengukuhkan lagi pengaruh beliau dalam kerajaan Malaysia Baharu. Kekuatan politik team “kartel” jika dilihat di atas kertas memang gah dan dari segi keperibadiannya cukup berkarisma, jauh mengatasi barisan pemimpin yang menyokong gerakan #Reformasi20tahun pimpinan Rafizi.

 

Namun medan politik itu bukan satu permainan logik mahupun pentas akademik. Politik itu permainan persepi – antara ilusi dan fantasi.

 

Sentuhan, imbuhan dan tekanan mampu merubah persepi. Rafizi yang menempa nama di arus perdana politik Malaysia dengan menjatuhkan Shahrizat Jalil seorang Menteri Kabinet dan Ketua Wanita UMNO melalui pendedahan skandal NFC, menyusun taktik dan strategi dengan kemas.

 

Dengan bantuan sekutunya, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution yang pernah tewas di tangan Azmin dalam pemilihan tiga penjuru merebut kerusi Timbalan Presiden pada tahun 2014, satu gerakan dalaman untuk mempengaruhi pola pemilihan parti dimulakan. Bermula dari pengundiaan elektronik, pendaftaran pengundi baru hingga ke Langkah PD – pelbagai taktik digunakan untuk membantu Rafizi menewaskan Azmin. Penghuni-penghuni Istana Segambut (kediaman Anwar Ibrahim) juga menunjukkan sokongan yang padu kepada Rafizi.

 

Kredit: FMT

 

Selain itu, Rafizi juga bijak bermain sentimen. Terkenal dengan metodologi saintifiknya melalui pusat penyelidikan Invoke – Rafizi mengeksploitasi kegusaran ahli-ahli PKR bahawa walaupun PKR muncul sebagai parti terbesar dalam kerajaan PH namun habuan yang diperoleh tidak sebesar mana – hanya geng kartel sahaja yang mendapat manfaat. Azmin yang menepis keberkesanan pendekatan psikologi ini ternyata tersalah membaca “mood” ahli-ahli akar umbi PKR.

 

Dua perkara yang Azmin seperti terlupa.

 

Pertama ialah DNA melawan ketidakadilan. Walaupun merupakan salah seorang tokoh yang menubuhkan KEADILAN – Azmin terlupa bahawa DNA parti ini sememangnya kental dalam perjuangan “keadilan”.

 

Dengan meletakkan panglima-panglima beliau di kedudukan strategik dan membolot pengaruh dan kuasa – langkah politik Azmin dilihat rakus. Apatah lagi, ini dilihat sebagai cubaan untuk menyaingi kuasa dan pengaruh pengasas PKR itu sendiri, Anwar Ibrahim. Perkembangan ini memudahkan percaturan Rafizi untuk melabelkan Azmin dan geng kartelnya sebagai gila kuasa, terpesong dari reformasi dan dikuasai tamak haloba. Pokoknya, Azmin tidak adil kepada Anwar, PKR dan perjuangan reformasi. Manalakala, Rafizi akan berjuang membetulkan ketidakadilan.

 

Kedua, ialah politik mangsa. Azmin melawan tuduhan yang dilemparkan Rafizi bahawa beliau korup dan tidak berjiwa reformasi yang tulen.

 

Azmin mengingatkan para ahli bahawa ketika beliau membela dan memperjuang dan mempertahankan Anwar serta reformasi, Rafizi masih di bangku sekolah dan masih budak hingusan. Azmin dilihat menggunakan senioriti mempersenda Rafizi. Azmin dilihat sebagai pembuli dan Rafizi sebagai mangsa. Sentimen underdog ini sememangnya digunakan oleh Rafizi untuk meraih undi.

 

Baca: Penyertaan Tok Pa Memperkuat Bersatu, Menggugat Kestabilan Kerajaan PH?

 

Justeru kedua-dua kombinasi ketidakadilan dan politik mangsa ini menciptakan satu naratif yang begitu kuat untuk Rafizi sehingga hampir berjaya menumbangkan gergasi politik seperti Azmin. Lihat sahajalah jumlah undian yang diterima – mencecah 47 ribu setakat ini dan ada ketikanya Rafizi pernah mendahului Azmin beberapa kali dalam perlumbaan ini.

 

Sememangnya, pertandingan kali ini mencemaskan buat Azmin dan pasukannya. Memandangkan “cai” Azmin atau geng kartel mendominasi pertandingan MPP, sayap-sayap utama dan pertandingan naib presiden- mungkin masalahnya ada pada Azmin itu sendiri. Menurut sumber-sumber dalaman pasukan Azmin, beberapa rombakan telah dilakukan menjelang minggu-minggu terakhir bagi memastikan kemenangan mutlak berpihak kepada beliau. Strategi medianya juga diubah, dan beberapa operator-operator kanan juga dirombak. Imej Azmin yang hebat, pintar dan “cool” selama ini agak sedikit tercalar. Imej yang dibina dengan rapi selama dua dekad ini harus dibina semula. Rafizi yang tidak berjawatan Kabinet dan dilihat tidak setaraf oleh segelintir dalam pasukan Azmin telah berjaya memadamkan sedikit sebanyak pengaruh Azmin Ali.

 

Walaupun persaingan ini masih berbaki beberapa minggu (dengan undian semula di beberapa negeri), peluang Azmin mempertahankan kedudukan beliau agak cerah. Namun demikian, seminggu dalam politik itu adalah masa yang agak panjang?

 

Berdasarkan kepada kedudukan semasa, Azmin Ali sudah memperoleh 49,624 undi (50.88 peratus) dan Rafizi mengekori dengan 47,914 undi (49.12 peratus). Kini hanya tinggal negeri Sarawak dan Melaka belum menjalankan pemilihan dan jumlah ini hanya mewakili kira-kira 9 peratus jumlah keseluruhan undi.

 

Kredit: The Coverage

 

Adakah Presiden baru PKR, Anwar Ibrahim akan berdiam diri dan membiarkan Azmin menang dan Rafizi tewas? Adakah Rafizi akan berdiam diri sahaja? Bagaimana dengan tuduhan politik wang dan salahguna kuasa yang berlegar? Adakah SPRM akan siasat? Selesakah Anwar menerima seorang yang berkarisma dan jauh lebih muda sebagai Timbalan Presiden? Sanggupkah Anwar dilihat hanya sebagai pemanas kerusi kepada Azmin yang sememangnya mempunyai potensi menjadi PM? Adakah Tun Mahathir juga boleh menarik nafas lega? Kita tunggu dan lihat.

 


Faris Halim merupakan peminat tegar Kapital.my dan seorang pengamat politik yang berpengalaman luas dalam bidang kajian strategik.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili Kapital.my

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…