Kerajaan Dijangka Jana RM4 bilion Daripada Pelaksanaan REIT Lapangan Terbang
- Inisiatif ini merupakan yang pertama diperkenalkan di dunia
- REIT mampu mengurangkan beban kewangan kerajaan bagi menampung perbelanjaan operasi dan penyelenggaraan
Kerajaan dijangka mengutip sebanyak RM4 bilion daripada inisiatif untuk mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) bagi tujuan penambahbaikan dan pembesaran lapangan terbang.
“Menerusi (cadangan) inisiatif ini, kerajaan berharap dapat meraih dana sebanyak RM4 bilion daripada penjualan 30 peratus ekuiti REIT kepada institusi pelaburan yang berpeluang memegang aset infrastruktur yang berkualiti,” Lim Guan Eng
Pelabur REIT dijangka akan menerima pendapatan daripada fi pengguna Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Inisiatif ini merupakan yang pertama diperkenalkan di dunia. Setakat ini tiada lagi mana-mana negara yang menggunakan konsep REIT bagi lapangan terbang.
Baca: Belanjawan 2019: Senarai Insentif Yang Bakal Diterima Golongan B40
Baca: Tiada Lagi Diskaun Kepada Peminjam PTPTN
Ianya bertujuan menjadikan industri penerbangan ke arah model yang lebih mampan yang mana mereka tidak perlu bergantung kepada dana kerajaan bagi tujuan penambahbaikan dan pembesaran lapangan terbang di masa hadapan.
Selain itu, dengan inisiatif ini juga kerajaan dapat mengurangkan bebanan hutang untuk membiayai projek pembesaran lapangan terbang.
Aset fizikal lapangan terbang di negara ini merupakan hak milik kerajaan Malaysia dan MAHB merupakan syarikat konsesi yang bertanggungjawab mengendali dan menguruskan lapangan terbang sehingga tahun 2035.
Selama ini, kos pembiayaan lapangan terbang disalurkan kerajaaan sama ada melalui terbitan bon kerajaan ataupun daripada pendapatan lapangan terbang itu sendiri.
“Kenapa REIT adalah langkah yang menarik untuk diambil kerajaan. Ini adalah kerana ia salah satu cara dalam pasaran modal. Antara cara utama yang lain adalah melalui pasaran hutang dan pendapatan sendiri (self funding).
“Sekiranya melalui pasaran hutang, ia akan menambahkan hutang negara yang sudah pun tinggi ketika ini. Manakala melalui pendapatan sendiri pula, ia berupaya menekan kewangan negara.” Prof Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, Penganalisis Ekonomi dan Pengarah Projek Khas Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
Cadangan ini turut mendapat respon yang positif daripada Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Izham Ismail. Menurut beliau sebarang dana yang dijana dan disalurkan untuk pembangunan industri penerbangan secara amnya positif bagi sektor ini.
Walau bagaimana pun, buat masa sekarang masih belum ada keputusan muktamad bagi mekanisme pelaksanaan REIT ini.
Menurut Lim Guan Eng, program itu akan dilaksanakan selepas rundingan fi pengguna dan Pangkalan Aset Diselia dimuktamadkan.
“Buat ketika ini, kita akan meneruskan perbincangan akhir Perjanjian Operasi dengan kerajaan dan kajian Pangkalan Aset Diselia dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bagi mendapatkan modal penambahbaikan dan pembesaran lapangan terbang di masa hadapan.”
“Semua caj aeronautik dikawal selia dan merupakan prerogatif (hak istimewa) kerajaan. Begitu juga dengan pengenalan levi lapangan terbang. Kami akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk melaksanakannya mengikut peraturan.” Jurucakap MAHB
Inisiatif ini memberi peluang baru kepada pelabur untuk memiliki sebahagian daripada aset infrastruktur yang sukar dimiliki secara individu. Bagi pihak kerajaan pula, mereka dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan bagi menampung perbelanjaan operasi dan penyelenggaraan.
Akan datang, REIT lapangan terbang mempunyai peluang untuk mengumpul dana secara terbuka sama ada dengan mengeluarkan unit REIT baru atau melalui pinjaman untuk membiayai penambahbaikan dan pembesaran lapangan terbang.