fbpx

Siapa Menteri Kewangan Sebenar?

Oleh : Faris Halim
15 November 2018 - 11:13 am

Reading Time: 5 minutes

Tahniah diucapkan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kerana berjaya membentangkan belanjawan sulung kerajaan Pakatan Harapan pada 2 November lalu. Sememangnya ia merupakan satu detik bersejarah untuk melihat seorang pemimpin yang pernah dihumban ke penjara, kemudian menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dan kini memegang jawatan pentadbiran utama dalam Kabinet Malaysia.

 

Walaupun tidak ada teka-teki warna baju Melayu yang bakal dikenakan oleh pembentang belanjawan, namun Lim berjaya melaksanakan tugas yang diberikan dengan baik.

 

Sememangnya Belanjawan 2019 tidak mengecewakan. Kelompok B40 terus dibela meneruskan trend kerajaan terdahulu melalui penyaluran bantuan tunai, skim perlindungan insurans untuk empat masalah kesihatan kritikal, gaji minima dinaikkan dan subsidi bersasar untuk petrol diperkenalkan.

 

Image result for lim guan eng
Kredit: Berita Harian

 

Cukai-cukai baharu seperti cukai soda dan cukai digital turut diperkenalkan. Bagi golongan M40, walaupun tidak banyak bantuan diwujudkan untuk mereka, namun sudah pasti bantuan pemilikan rumah memberikan kesan besar kepada golongan berpendapatan sederhana ini.

 

Golongan T20 juga mendapat perhatian dengan “tax amnesty”- skim pengampunan cukai jika kekayaan di bawa pulang dari luar. Sungguh beruntung golongan kaya.

 

Pendek kata, semua kelompok masyarakat mendapat perhatian dalam Belanjawan 2019 dan sebagai belanjawan sulung Pakatan Harapan, ia ternyata tidak mengecewakan.

 

Namun lumrah kehidupan, tidak semua berpuas hati – ramai yang mempersoal pelbagai inisiatif yang diumumkan kerajaan seperti bantuan subsidi untuk kenderaan di bawah 1500cc dan platform P2P untuk memiliki rumah yang masih belum jelas mekanisme pelaksanaannya.

 

Selang beberapa hari kemudian satu platform komersil milik usahawan terkenal Tong Kooi Ong yang rapat dengan pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Harapan telah dilancar sehingga mengundang kritikan beberapa pihak. Keghairahan beberapa puak yang kelihatan rakus mengambil peluang membuka ruang kepada sindiran sinis netizen yang rata-rata mempersoal budaya kronisme.

 

Image result for tong kooi ong fundmyhome
Kredit: Dealstreetasia

 

Ini belum mengambil kira soal perbelanjaan-perbelanjaan yang dikhabarkan dipotong termasuk peruntukan MARA untuk membantu golongan Bumiputera.

 

Walaupun perbelanjaan lebih besar diumumkan oleh kerajaan, harus diingat bahawa belanjawan ini dibuat atas anggaran harga minyak di pasaran dunia berada pada tahap USD70 dan ramai penganalisa pasaran menjangkakan bahawa harga minyak mentah akan berada pada purata USD65 tahun hadapan.

 

Kemudian, timbul pula isu Lim tertidur atau “merehatkan mata” di Dewan Rakyat kelmarin ketika ahli Parlimen pembangkang membahaskan belanjawan. Memang diakui Lim seorang pemimpin rajin dan kuat berkerja untuk membayar timbunan hutang negara, tetapi apa yang lebih menghairankan benarkah begitu banyak tugas dan bebanan yang ditanggung?

 

Bukankah tanggungjawab Kementerian Kewangan yang dahulunya begitu luas telah dibahagi-bahagikan dengan kementerian-kementerian lain terutamanya Kementerian Hal Ehwal Ekonomi?

 

Tambahan pula, bukankah keputusan-keputusan penting di Kementerian Kewangan banyak diputuskan oleh tangan kanan Lim sendiri, Tony Pua seorang Setiausaha Politik yang dikhabarkan bertaraf Menteri.

 

Image result for amiruddin hamzah
Kredit: Malay Mail

 

Pengaruh Tony dilihat jauh melangkaui Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah yang dikhabarkan masih tercari-cari rentak di Kementerian Kewangan.

 

Sumber-sumber dalam parti DAP mengesahkan bahawa Tony ditawarkan kerusi Menteri dalam kabinet Dr Mahathir, namun beliau menolaknya untuk membantu Lim dan mahu terus kekal di Kementerian Kewangan kerana ia Kementerian berprestij.

 

Ada beberapa penjawat awam atasan di Kementerian Kewangan sudah merungut tidak berpuas hati kerana dikhabarkan sebagai Setiausaha Politik, Tony sering “mengarahkan” penjawat awam dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat serta membuat keputusan berkaitan dasar (walaupun secara hakiki beliau ialah seorang Setiausaha Politik) bagi pihak Menteri.

 

Mungkin ada yang lupa bahawa Setiausaha Politik tugasnya mengatur politik Menteri dan tidak sama dengan jawatan Setiausaha Parlimen satu ketika dahulu yang merupakan jawatan eksekutif dan bertanggungjawab terhadap Kementerian.

 

Tidak dinafikan Tony yang merupakan siswa lepasan Oxford University dan pernah berniaga sehingga bergelar jutawan zaman dotcom mungkin seorang yang cekap dan bijak namun sebagai seorang yang baharu belajar mentadbir di dalam kerajaan, beliau kelihatan sombong dan angkuh jauh melebihi bosnya sendiri.

 

Image result for tony pua parliament
Kredit: The Star

 

Kalau ditanya penjawat awam di Kementerian itu, majoriti akan berkata mereka boleh bekerja dengan Lim, namun pasukan beliau ramai yang mengeluh bahawa ada unsur-unsur lebih kuah daripada sudu terutamanya Tony. Beliau masih terbawa-bawa budaya pembangkang kental.

 

Sebenarnya, selain kejayaan membentangkan belanjawan, (yang majoritinya merupakan tugas penjawat awam saban tahun) apakah kejayaan atau pencapaian yang hendak dibanggakan sangat oleh Kementerian Kewangan? Ganti GST dengan SST?

 

Ternyata, walaupun Kementerian Hal Ehwal Ekonomi itu satu Kementerian yang baharu namun lebih banyak pencapaian yang telah kelihatan seperti penundaan HSR. Ramai yang berharap dan kecewa dengan kepimpinan di Kementerian Kewangan dalam memacu dan melakar visi ekonomi baharu Pakatan Harapan.

 

Misalnya, ketika satu persidangan diadakan bulan lalu yang dianjurkan Kementerian Kewangan dan tiga bank besar di Malaysia, ramai antara yang hadir kecewa kerana Lim lebih banyak mengungkit kegagalan kerajaan lama dan tidak memberikan wawasan jelas bagaimana untuk bergerak ke hadapan.

 

Tidak hairanlah Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin terpaksa mengingatkan pemimpin PH untuk berhenti menyalahkan kerajaan lama dan mengambil tanggungjawab sebagai kerajaan baharu.

 

Image result for tun daim
Kredit: Berita Harian

 

Isu pembatalan kontrak MMC-Gamuda, isu hutang 1 trillion dan kini platform P2P ditangani secara lemah mendedahkan bahawa ada had dalam perhitungan politik mereka di Kementerian Kewangan.

 

Kelemahan Kementerian Kewangan yang telah diterajui oleh pemimpin nombor satu DAP itu sendiri agak memalukan kerana prestasi pemimpin-pemimpin DAP yang lain seperti Anthony Loke dan Gobind Singh Deo dilihat ramai sebagai lebih baik berbanding gandingan Lim-Tony dalam menerajui Kementerian Kewangan.

 

Memang Kementerian Kewangan itu sangat berkuasa dan lebih berprestij tetapi jika keadaan seperti ini berlarutan, besar kemungkinan DAP akan kehilangan portfolio itu nanti apabila Anwar Ibrahim mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

 

Mungkinkah anak-anak didik Anwar dalam PKR, Azmin atau seteru politiknya Rafizi mengambil alih Kementerian Kewangan? Lagipun jangan kita lupakan bahawa Anwar dan Wan Azizah dari awal-awal lagi tidak menyenangi pelantikan Lim sebagai Menteri Kewangan.

 

Jadi, diharapkan agar Lim berhati-hati, memang benar DAP mempunyai bilangan kerusi yang besar sehingga 42 dan parti mereka kukuh berbanding parti-parti komponen PH yang lain, namun jika beliau tidak berhati-hati dan tersilap langkah atau tersalah menerima nasihat, maka segala apa kejayaan yang dibina akan lenyap sekelip mata.

 

Kelemahan Lim terletak pada keangkuhan penasihat di sekelilingnya. Jika ini berterusan, maka lebih banyak unsur sabotaj akan berlaku.

 


Faris Halim merupakan peminat tegar Kapital.my, pembayar cukai dan seorang yang mengamati politik tanah air.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili Kapital.my

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara¬†mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…