fbpx

Strategi Dividen Dengan Sedikit Twist (Bahagian 1)

Oleh : Kapital
20 November 2018 - 11:20 am

Reading Time: 5 minutes

Dalam pelaburan saham terdapat dua jenis keuntungan yang dapat diperoleh iaitu daripada kenaikan harga saham dan juga pulangan dividen. Walau bagaimanpun, dalam keadaan pasaran saham yang agak muram dan tidak menentu ketika ini, kemungkinan kejatuhan teruk harga saham adalah mimpi ngeri terutamanya kepada pelabur yang baru mula berjinak-jinak dalam pasaran.

 

Risiko kejatuhan harga ini mungkin mengakibatkan mereka fobia dan menjauhkan diri dari pasaran untuk tempoh yang lama. Untuk mengelak perkara ini daripada berlaku, pelabur mungkin boleh mempertimbangkan strategi dividen buat masa sekarang.

 

Secara tradisi strategi dividen digunakan oleh pelabur konservatif atau golongan pesara yang lebih bergantung kepada pulangan dividen yang konsisten disamping perlindungan modal. Justeru itu, strategi dividen akan tertumpu kepada pembelian syarikat-syarikat yang kukuh dengan kewangan yang stabil dan mampu menjana pulangan dividen secara berterusan dan meningkat dengan peredaran masa.

 

Syarikat-syarikat besar terutamanya dalam sektor produk dan servis pengguna seperti Dutch Lady, Nestle, F&N dan Petronas Dagangan antara nama-nama popular dan menjadi pilihan untuk strategi ini.

 

Strategi dividen juga adalah ringkas dan mudah diaplikasi terutamanya dalam fasa permulaan agar pelabur yang baru dapat memperoleh keyakinan dan pengalaman sebelum menggunakan kaedah lain yang lebih kompleks dan berisiko. Pengiraan pulangan dividen (dividen yield) adalah berdasarkan formula:

 

= dividen sesaham (dividend per share, DPS) / harga sesaham

 

Formula ini menunjukkan pulangan dividen bergantung kepada dividen yang diterima (lebih tinggi lebih baik) dan juga harga pembelian (lebih rendah lebih baik). Saringan awal yang dilakukan menggunakan kriteria-kriteria seperti saham patuh Shariah, pulangan dividen sekurang-kurangnya 5 peratus, nisbah harga/keuntungan kurang dari 15, keuntungan berterusan setiap tahun untuk tempoh 10 tahun dan modal pasaran melebihi RM 500 juta mendapati lebih satu pertiga daripada syarikat-syarikat yang tersenarai adalah dalam sektor hartanah.

 

Ini tidaklah memeranjatkan kerana ramai yang maklum akan keadaan pasaran hartanah yang kurang memberangsangkan ketika ini. Sektor hartanah merupakan sektor kitaran (cyclical) di mana pendapatan dan keuntungan syarikat akan berkembang dan menguncup mengikut kitaran ekonomi. Pelabur yang gusar akan situasi ini ditambah pula dengan ketaktentuan ekonomi dan politik global dan setempat, lari dan menjual pegangan mereka mengakibatkan kejatuhan harga yang mendadak.

 

Kejatuhan harga yang teruk ini membuka peluang untuk pelabur yang sanggup menerima risiko jangka pendek untuk keuntungan jangka panjang. Justeru itu, artikel kali ini akan memfokuskan kepada syarikat-syarikat hartanah yang berpotensi.

 

Strategi yang digunapakai adalah untuk mempertimbangkan dan menyenarai pendek syarikat-syarikat yang terbukti memberi pulangan dividen yang konsisten dan berpatutan tetapi mengalami kejatuhan harga saham buat masa ini. Oleh yang demikian, pelabur masih kekal menerima pulangan yang setanding dengan pulangan dari ASB atau Tabung Haji dengan risiko yang munasabah dan dalam masa yang sama mempunyai potensi kenaikan harga saham ketika ekonomi kembali rancak.

 

Baca: Kejatuhan Pasaran Saham: Perangkap atau Peluang

Baca: Initial Coin Offering (ICO) VS Initial Public Offering (IPO)

 

Berdasarkan premis ini, kriteria-kriteria yang lebih ketat dan bersesuaian untuk sektor hartanah seperti di bawah digunakan untuk menyenarai pendek syarikat yang berpotensi:-

1. Saham patuh Shariah

2. Modal pasaran melebihi RM 2 bilion

3. Pulangan dividen melebihi 5 peratus

4. Pulangan atas ekuiti (return on equity) melebihi 5 peratus

5. Harga/keuntungan (price/earnings) kurang dari 10

6. Harga/aset ketara bersih (price/book) kurang dari 1

 

Bedasarkan saringan ini terdapat tiga buah syarikat yang berpotensi untuk dipertimbangkan iaitu Mah Sing Group, SP Setia dan UOA Development berdasarkan harga penutup pada 16 November 2018 dan andaian dividen sesaham akan kekal untuk tahun kewangan 2018.

 

 

Ketiga-tiga syarikat mencatat pulangan dividen melebihi 6 peratus untuk tahun kewangan 2017 tetapi di kala ini mengalami kejatuhan harga yang agak besar daripada harga tertinggi untuk tempoh 12 bulan terakhir; Mah Sing (33.5%, RM1.03 vs RM1.55), SP Setia (49%, RM2.04 vs RM4.00) dan UOA (20.6%, RM2.15 vs RM2.71).

 

 

Mah SIng. Kredit: Bursa Malaysia

 

SP Setia. Kredit: Bursa Malaysia

 

UOA. Kredit: Bursa Malaysia

 

Untuk mengurangkan risiko, salah satu kriteria yang perlu diambil kira untuk strategi dividen ini adalah nisbah bayaran (payout ratio) berdasarkan formula:-

 

= dividen sesaham (dividend per share, DPS) / keuntungan sesaham (earning per share, EPS)

 

Ianya bermaksud peratusan dividen yang dibayar kepada pemegang saham daripada jumpah keuntungan bersih syarikat dan kebiasaanya mempunyai julat antara 50% hingga 70%. Daripada perspektif pelabur, tentulah nisbah yang lebih tinggi adalah lebih baik kerana jumlah dividen yang bakal diterima akan lebih lumayan, namun demikian nisbah yang terlalu tinggi tidak memberi ruang yang besar kepada syarikat untuk membuat pelarasan sekiranya keuntungan syarikat jatuh.

 

Sebagai contoh dengan nisbah bayaran asal 50%, pengurusan syarikat boleh memutuskan untuk menaikkan nisbah bayaran kepada 60% untuk mengekalkan dividen sesaham jika keuntungan syarikat kurang memberangsangkan. Dengan cara ini, pulangan dividen masih kekal utuh dan pelabur tidak akan lari dan menjual saham beramai-ramai mengakibatkan harga saham jatuh lebih teruk kerana pelabur masih menerima dividen yang memuaskan.

 

Sebagai perbandingan, Telekom Malaysia mempunyai polisi dividen untuk membuat pembayaran sebanyak RM700 juta atau 90% dari keuntungan tahunan, yang mana lebih tinggi. Pengumuman oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia untuk penyediaaan servis jalur lebar dengan ‘kelajuan berganda dengan separuh harga’, pasti akan mengakibatkan keuntungan merosot dan mungkin menjejaskan pembayaran dividen untuk tahun 2018.

 

Mujurlah ketiga-tiga pemaju gergasi dalam artikel ini mencatatkan nisbah bayaran berpatutan yang konsisten untuk tempoh lima tahun terakhir (2013-2017) dengan Mah Sing memiliki nisbah purata bayaran terendah manakala SP Setia pula nisbah purata bayaran tertinggi. Dengan ini, pulangan dividen yang bakal diterima berkemungkinan besar dapat dikekalkan (atau jatuh sedikit sahaja) untuk tahun 2018 walaupun keuntungan syarikat menurun.

 

 

Walau bagaimanapun keputusan untuk pembelian masih belum wajar dibuat kerana penelitian lanjut berkenaan status kewangan terkini syarikat dan prospek masa hadapan masih perlu dilakukan. Perkara ini bakal dikongsikan dalam artikel akan datang.


Artikel ini ditulis oleh Saudara Azizi

 

Azizi merupakan seorang bekas pensyarah di MMU dan graduan Ijazah Sarjana dalam bidang Kewangan Islam.

 

*Artikel ini bertujuan untuk tujuan perkongsian dan pendidikan semata-mata. Ianya bukan bermaksud sebagai cadangan pembelian dan nasihat pelaburan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang boleh berlaku atas penggunaan kandungan artikel.

 

**Penulis merupakan pemegang saham syarikat UOA Development.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Telur -01

Harga Telur Naik Lebih 10 Sen Sebiji Semenjak April

Reading Time: 2 minutes 60% daripada bahan kandungan makanan ayam ini perlu diimport daripada negara luar KPNKK sedang menyiasat kenaikan ini jika…

duit-gaji

Pemintaan Gaji ‘tidak realistik’ Punca Pengangguran

Reading Time: 1 minute Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Pemintaan gaji ‘tidak realistik’ adalah antara alasan…

Tabung haji 1-01

SPV Mengambil Alih Aset Tabung Haji Bernilai RM19.9 bilion

Reading Time: 4 minutes Antara hartanah yang akan dipindahkan kepada SPV adalah tanah di Tun Razak Exchange (TRX) SPV akan memberi sukuk…

SPV-01

Apa itu SPV?

Reading Time: 2 minutes SPV ni entiti yang ditubuhkan dengan satu tujuan khas sahaja, samada untuk beli aset (spt Danaharta), untuk financing…