fbpx

Tiada Lagi Air Percuma Di Selangor Untuk Semua – MB Selangor

Oleh : Wan Syarafiz
28 November 2018 - 4:27 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Pemberian air percuma secara bersasar kepada golongan B40 ini akan menjimatkan kerajaan negeri sebanyak RM105.2 juta
  • Air percuma tidak dapat diberi kepada semua kerana SPLASH dibeli pada harga RM2.55 bilion iaitu 10 kali ganda lebih mahal – Tan Sri Khalid Ibrahim

 

Tiada lagi air percuma untuk semua rakyat di negeri Selangor. Ini susulan daripada kenyataan daripada Menteri Besar, Amiruddin Shari yang menyatakan air percuma hanya akan diberikan kepada golongan B40.

 

Pengumuman oleh Amirudin ini dikatakan sebagai langkah penjajaran semula supaya bantuan untuk meringankan beban rakyat dapat disalurkan dengan lebih bersasar. Ini selari dengan matlamat awal kerajaan negeri yang mana golongan berpendapatan rendah dapat menikmati bantuan yang sepatutnya.

 

Jadi, bantuan air percuma hanya untuk golongan B40?

 

Ya. Tetapi kadar jumlah air percuma telah dinaikkan. Sebelum ini, rakyat Selangor menikmati 20 meter padu air percuma setiap bulan. Bermula tahun depan, golongan B40 akan menikmati kadar air percuma sebanyak 25 meter padu.

 

Kenapa air percuma ini tidak lagi disalurkan untuk semua rakyat Selangor?

 

Beberapa pihak berpendapat air percuma tidak mampu lagi diberikan kepada semua kerana bebanan hutang yang ditanggung oleh kerajaan negeri selepas pengambil alihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

 

Baca: Akhirnya, Selangor Beli SPLASH Pada Harga RM2.55 Bilion

 

Sebagai rekod, pemberian air percuma ini telah mula dilaksanakan sejak tahun 2008 lagi oleh mantan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim. Di bawah pemerintahan beliau, satu usaha penstrukturan semula air di Selangor telah dijalankan.

 

Kerajaan negeri telah berjaya mengambil alih semua syarikat konsesi bekalan air di Selangor kecuali SPLASH yang mana rundingan pengambil alihan telah memakan masa bertahun-tahun dan hanya berjaya direalisasikan baru-baru ini dengan nilai pembelian sebanyak RM2.55 bilion.

 

Related image
Kredit: Utusan

 

Khalid Ibrahim dalam satu kenyataannya menyatakan keputusan untuk menghentikan pemberian air percuma kepada seluruh rakyat Selangor ini sebenarnya sudah dapat dijangka. Ini kerana, kerajaan negeri Selangor telah mengambil alih SPLASH pada harga RM2.55 bilion.

 

Harga ini adalah 10 kali ganda lebih daripada apa yang ditawarkan oleh Khalid Ibrahim ketika beliau menduduki kerusi Menteri Besar. Nilai yang ditawarkan oleh Khalid Ibrahim sebelum ini adalah pada harga RM250.6 juta.

 

Walau bagaimanapun, Amirudin Shari telah menyangkal dakwaan ini. Menurut beliau, pengambil alihan SPLASH tidak melibatkan sebarang dana kerajaan.

 

“Pengambil alihan (SPLASH) tidak melibatkan dana kerajaan. Jadi, ia (polisi air percuma baru) tidak berkait langsung dengan pengambil alihan SPLASH,” ujar Amirudin Shari.

 

Kenyataan Amirudin yang mengatakan pembelian syarikat SPLASH tidak menggunakan dana kerajaan bagaimanapun disangkal sama sekali oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

“Kalau tidak guna dana kerajaan, guna dana siapa untuk membayar RM2.55 bilion? Dari Tabung Harapan?”

 

“Penafian beliau (Amirudin) tidak betul dan ini ialah usaha untuk mengelirukan rakyat,” ujar Najib Razak.

 

Menurut Najib lagi, dana pembelian SPLASH oleh kerajaan negeri Selangor disalurkan oleh syarikat kerajaan pusat, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). PAAB memberikan pinjaman kepada kerajaan negeri dan pinjaman ini perlu dibayar balik secara ansuran setiap tahun.

 

Jadi, langkah pemberian air percuma ini sudah pasti tidak lagi dapat diteruskan dan kemungkinan besar tarif air juga akan dinaikkan pada masa hadapan.

 

Image result for air percuma selangor
Kredit: Sinar Harian

 

Berbalik kepada isu asal iaitu pemberian air percuma kepada golongan B40. Bagaimanakah mekanisme pemberian ini akan dilaksanakan? Apakah cara yang akan diguna pakai oleh pihak kerajaan negeri supaya pemberian air percuma ini berjaya disalurkan kepada golongan B40 tanpa sebarang ketirisan berlaku?

 

Menurut Amirudin, kerajaan negeri perlu berbincang terlebih dahulu dengan syarikat pengurusan air di Selangor, Air Selangor Sdn Bhd untuk memutuskan mekanisme pelaksanaan terbaik supaya program ini akan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.

 

“Golongan B40 yang menetap di rumah kos rendah akan mendapat manfaat daripada bantuan ini. Tetapi, beberapa permasalahan timbul seperti rumah kos rendah yang disewakan kepada pendatang asing”

 

“Jadi, kami masih dalam proses menilai dan melihat kepada beberapa mekanisme. Ini adalah untuk memastikan walaupun isi rumah tersebut tidak tergolong dalam B40 tetapi masih juga dapat menikmati bantuan air percuma berdasarkan kepada beberapa kriteria,” ujar Amirudin.

 

Dalam masa yang sama juga, Amirudin menyatakan pemberian air percuma secara bersasar kepada golongan B40 ini akan menjimatkan kerajaan negeri sebanyak RM105.2 juta.

 

Dan penjimatan ini boleh disalurkan kembali kepada rakyat dalam bentuk program pembangunan serta program mensejahterakan rakyat.

 

Ya. Mungkin ada benarnya. Penjimatan memang boleh dilakukan apabila pemberian air percuma dikurangkan. Tetapi, adakah kerajaan negeri mengambil kira kos-kos lain yang bakal terlibat?

 

Khalid Ibrahim dilihat memandang sinis kepada kenyataan Amirudin yang mengatakan kerajaan negeri boleh berjimat sebanyak RM105.2 juta.

 

“Kerajaan negeri dilihat terlalu mengambil mudah dalam konsep perakaunan. Ini kerana, untuk membangunkan program komputer bagi mengasingkan kategori pengguna, kategori pemilik dan penyewa rumah di samping untuk memantau bil-bil yang dikeluarkan, kos akan menjadi tinggi,” ujar Khalid Ibrahim lagi.

 

Walau apa pun keputusan yang diambil berkenaan pemberian bantuan air percuma ini, kerajaan negeri seharusnya memikirkan mekanisme terbaik bagaimana pelaksanaan pemberian secara lebih telus akan berjaya dilaksanakan. Ini kerana, kebajikan rakyat perlulah sentiasa menjadi keutamaan.

 

Dalam masa yang sama juga, apabila rakyat Selangor daripada golongan M40 dan T20 sudah mula membayar bil air, diharapkan tiada lagi isu-isu permasalahan bekalan air menjadi rungutan rakyat Selangor lagi.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Telur -01

Harga Telur Naik Lebih 10 Sen Sebiji Semenjak April

Reading Time: 2 minutes 60% daripada bahan kandungan makanan ayam ini perlu diimport daripada negara luar KPNKK sedang menyiasat kenaikan ini jika…

duit-gaji

Pemintaan Gaji ‘tidak realistik’ Punca Pengangguran

Reading Time: 1 minute Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Pemintaan gaji ‘tidak realistik’ adalah antara alasan…

Tabung haji 1-01

SPV Mengambil Alih Aset Tabung Haji Bernilai RM19.9 bilion

Reading Time: 4 minutes Antara hartanah yang akan dipindahkan kepada SPV adalah tanah di Tun Razak Exchange (TRX) SPV akan memberi sukuk…

SPV-01

Apa itu SPV?

Reading Time: 2 minutes SPV ni entiti yang ditubuhkan dengan satu tujuan khas sahaja, samada untuk beli aset (spt Danaharta), untuk financing…