fbpx

2019: Demam Politik Belum Kebah

Oleh : Faris Halim
31 Disember 2018 - 10:14 am

Reading Time: 7 minutes
  • Hubungan Tun M-Anwar jadi perhatian
  • Nasib Najib di tahun hadapan

Tahun 2018 menyaksikan sejarah tercipta apabila Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah selama 61 tahun ditumbangkan rakyat. Legenda politik tanah air, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menduduki menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi pengampunan penuh, tidak sabar-sabar mahu masuk gelanggang, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dengan “rela hati” mengosongkan kerusi Port Dickson demi memberikan ruang kepada Anwar bertanding, Anwar menang dengan selesa dan kembali menjadi Ahli Parlimen.

 

Anwar sudah menebas lalang-lalang awal yang menghalang, kini beliau sedang merintis jalan, mengintai peluang menjadi Perdana Menteri kelapan. Ketika Pakatan Harapan (PH) sedang mendaki puncak kuasa, BN pula dalam nasib yang semakin samar, diharapkan menjadi pembangkang yang kuat, tetapi BN sendiri berpecah belah. Kes-kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa menghantui mantan Perdana Menteri dan mantan Timbalan Perdana Menteri di samping beberapa pemimpin kanan gabungan politik berkenaan.

 

PH pada ketika ini pun bukanlah terlalu ampuh, berlaku pergeseran di sana-sini dan masih tercari-cari rentak paling merdu untuk mentadbir Malaysia. Beberapa Menteri menimbulkan kontroversi dan ini mengganggu perjalanan pentadbiran Tun M. Namun dalam keadaan yang sama, PH kelihatan bertuah kerana pembangkang tidaklah begitu kuat untuk menggoncang, paling kuat pun cuma troll-troll Najib Razak di Facebook. Bulan madu sudah lama tamat untuk PH, sekarang masa bekerja kuat, menanggung keluarga besar, Malaysia.

 

Tahun 2019 bakal menjadi tahun paling mencabar buat PH kerana di sinilah tahun permulaan mereka bermula sebagai sebuah Kerajaan penuh. Bukan mengambil alih separuh-separuh seperti selepas 9 Mei 2018. Kerencaman isu yang melanda termasuk hubungan kaum, agama, ekonomi, dasar luar dan percaturan pentadbiran jelas memerlukan pembaikan menyeluruh. Menteri-menteri yang tidak menjalankan tugas dengan baik atau yang terlalu “mesra” dengan media sehingga semua kenyataannya di salah erti wajar segera mengubah pendekatan atau berdepan kemungkinan disingkirkan.

 

Kerajaan PH wajar segera di tahun 2019 ini menetapkan hala tuju dasar agar kelihatan benar dan jelas, melaksanakan secara teratur janji-janji manis yang ditaburkan sepanjang kempen pilihan raya dan berusaha seboleh mungkin menghormati manifesto yang dikarangkan sendiri. Malah tindakan flip flop dan membuat pusingan U adalah perbuatan yang wajar dihentikan sama sekali. Jika tidak boleh dihentikan pun, cubalah dikurangkan.

 

Isu harga barang, kos sara hidup, pinjaman PTPTN, pengangguran dalam kalangan graduan dan nilai mata wang ringgit yang masih belum kukuh harus diberikan perhatian. Rakyat sedang memerhati, rakyat tidak mempunyai pilihan kerana pembangkang juga tidak mempunyai haluan, jadi ini menjadi kesempatan buat PH membuktikan sesuatu yang lebih baik.

 

Kita amat mengharapkan di tahun 2019 ini, suhu politik kembali reda dan ahli politik sihat kembali daripada demam yang melanda mereka sejak 9 Mei lalu. Pilihan raya sudah lama lepas, yang kalah sudah kalah, yang menang sudah berkuasa. Tidak perlulah lagi mencatur di sana dan sini merebut kuasa melalui pintu belakang, hormatilah tanda pangkah rakyat di kertas undi.

 

Namun itu semua hanya pandangan dan harapan seorang idealis dan ahli politik yang realis sudah tentu mudah lupa tentang semua itu. Berasaskan kepada perkembangan semasa, suhu politik Malaysia akan terus tinggi dan mencanak naik. Tidak akan surut. Ahli politik akan terus demam panas, namun kita bimbang jika ada yang terkena sawan.

 

 

Image result for anwar mahathir
Kredit: The Straits Times

1. Hubungan Tun Dr M dan Datuk Seri Anwar Ibrahim

Love-hate relationship Mahathir dan Anwar merupakan hubungan politik paling kompleks pernah muncul dalam sejarah politik tanah air. Kita harus mengakui bagaimana gandingan kedua-dua mereka pernah membawa Malaysia ke arah kemakmuran ekonomi. Gandingan kedua-dua mereka juga menyaksikan politik Malaysia terbelah dua. Kita harus mengakui, walaupun tidak gemar – Anwar dan Mahathir ialah pencorak politik Malaysia pasca milineum.

 

Di era Anwar sebagai aktivis pelajar, Mahathir ialah tokoh yang sering dibawanya ke dalam kampus, membicarakan buku Dilema Melayu dan bersama-sama melontarkan kritikan terhadap pemerintah. Kemudian, Anwar diangkat Tun M sebagai anggota kabinetnya sebelum diberikan peluang menjadi Timbalan Perdana Menteri. Segala-galanya nampak lancar buat beliau, tokoh dari Pulau Pinang ini bakal menjadi perdana Menteri kelima. Namun semuanya terhenti di tahun 1998. Anwar hilang segala-galanya dan dihumban ke penjara oleh Mahathir.

 

Kini sejarah berpusing kembali, Anwar dan Mahathir dikatakan kembali bertaut, melupakan sengketa lama, mahu membina Malaysia Baharu. Indah bukan? Namun hakikatnya bukanlah seindah seperti itu.

 

Terdapat khabar bahawa Anwar dan angkatannya tidak berpuas hati dengan sikap tidak konsisten Tun M berkenaan tempoh transisi kuasa. Gerakan perlahan-lahan sudah bermula, Anwar dengan langkahnya dan Tun M juga dengan langkahnya. Kita dapat lihat perang proksi di antara kedua-dua mereka sudah bermula kembali dan ia berpusat seperti yang dahulu, jawatan Perdana Menteri.

 

Di waktu Anwar menyusun gerak, Tun M juga nekad menambah kekuatan Parti BERSATU dengan mendapatkan sokongan bertalu-talu daripada Ahli Parlimen UMNO yang semakin lemas kerana kapal BN yang hampir karam. Tangan Tun M menjadi pelampung yang menyelamatkan mereka. Maka selepas ditarik naik kita dapat mendengar alasan-alasan tipikal politikus seperti tidak mempercayai kepimpinan dan UMNO tidak mahu berubah.

 

Di tengah-tengah pertelagahan berbentuk proksi, seperti di zaman Perang Dingin, di mana agaknya pemimpin seperti Datuk Seri Azmin Ali mahu memposisikan dirinya?

 

 

Related image

2. Rombakan Kabinet

Rombakan Kabinet ialah cerita paling kurang enak didengar oleh Menteri-Menteri yang baru berkhidmat tidak sampai enam bulan. Ia tempoh yang terlalu singkat. Namun tidak banyak pilihan buat PH, rombakan wajar dilaksanakan bagi mengukuhkan pentadbiran. Selain anggota Kabinet, terdapat khabar yang menyatakan ada pertukaran akan terjadi dalam kalangan Menteri Besar dan Ketua Menteri.

 

Adakah anak kesayangan Tun M, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan dibawa ke Persekutuan dan dilantik sebagai Menteri dan Ahli Parlimen Sungai Petani dan ADUN Gurun, Dato’ Johari Abdul akan kembali ke negeri untuk menggantikan tempat Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah?

 

Kita juga menanti bila agaknya Datuk Seri Mustapha Mohamed atau selesa dengan gelaran Tok Pa akan kembali menjadi Menteri Kabinet? Adakah kemungkinan Menteri dari parti DAP akan ditambah memandangkan sehingga kini Menteri dari parti berkenaan menunjukkan prestasi memberangsangkan. Ini semua percaturan untuk kuasa dan kita akan menjadi saksi siapa yang menang dan siapa yang tewas.

 

Khabarnya menjelang setahun pentadbiran PH, akan berlaku perubahan-perubahan ini kelak.

 

 

Image result for najib razak ditahan
Kredit: CNBC

3. Perbicaraan Dato’ Seri Najib Razak bermula dan nasib UMNO

Menjelang Februari 2019, bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak akan dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan berkaitan kes paling sensasi dekad ini, 1MDB. Selain beliau, turut menerima nasib sama ialah isteri dan juga bekas Timbalan beliau, Dato’ Seri Mohamad Zahid Hamidi. Zahid bakal berdepan perbicaraan lain, tetapi turut berkaitan dengan salah guna kuasa.

 

Walaupun Najib bakal berdepan perbicaraan ini, beliau kini dilihat tenang aktif di sosial media dan cuba menggantikan Amran Fans. Namun satu hal yang wajar dipuji ialah konsistensi Najib dalam berbicara dan secara berterusan mengkritik Kerajaan wajar dipuji. Tidak hairan kalau kitab oleh sifatkan Najib sebagai pembangkang paling baik buat masa ini. Namun sayang, ada skandal memalit mukanya.

 

Ketika UMNO berhadapan detik penghijrahan ke pihak yang lebih selamat. Datuk Seri Mohamad Hasan dilihat masih setia dalam meneruskan perjuangan UMNO. Apa yang menarik untuk kita saksikan di tahun 2019 ini ialah bagaimana caranya Mohamad Hasan meningkatkan kembali moral dan semangat ahli UMNO dan bagaimana beliau mahu mendapatkan semula kepercayaan rakyat terhadap parti Melayu ini. Cabaran besar jelas bakal dipikul beliau.

 

Kita juga akan melihat bagaimana Mat Hasan mahu memastikan Dun Rantau menjadi miliknya semula dan bagaimana Cameron Highland mampu dipertahankan MIC. Adakah Mat Hasan mampu menahan gelombang lompat parti yang sedang in trend sekarang?

 

 

Image result for bersatu
Kredit: Berita Harian

4. Pemilihan Dalaman Parti-Parti Politik

Bersatu dijangka mengadakan pemilihan sulungnya di tahun 2019 dan kita akan memerhatikan bagaimana pula corak politik dan pemilihan parti dikendalikan BERSATU? Adakah ia seperti UMNO? Adakah BERSATU Berjaya menepis dakwaan akan menjadi UMNO 2.0? Pemilihan BERSATU ini amat penting dan signifikan kerana BERSATU sudah menjadi parti pemerintah dan ketuanya pula ialah seorang Perdana Menteri.

 

Untuk itu, standard untuk BERSATU sewajarnya tinggi dan kita sama-sama akan menjadi saksi bagaimana nasib pemimpin di dalam parti ini? Adakah yang berkuasa dan berpengaruh mengatasi yang berkebolehan dan berprestasi tinggi? Sama-sama kita saksikan.

 

Di samping itu, dua parti yang sering bertembung, PAS dan AMANAH juga dijangka mengadakan pemilihan parti dan kita akan sama-sama melihat nanti bagaimana kedudukan Tuan Ibrahim Tuan Man di dalam parti? Adakah beliau akan kekal sebagai Timbalan Presiden atau mempunyai kekuatan yang menyeluruh untuk mencabar kerusi Presiden?

 

Begitu juga halnya dengan AMANAH. Apakah Mohamad Sabu akan terus menjadi Presiden? Atau Kakanda Mujahid akan mencabar beliau? AMANAH merupakan sebuah parti yang menyaksikan perebutan sokongan Mahathir-Anwar. Siapa yang bakal mendapatkan sokongan AMANAH untuk tahun 2019 ini?

 

 

Related image
Kredit: The Straits Time

5. Angin di Timur Malaysia

Politik Sabah dan Sarawak cukup dinamik. Perubahan boleh berlaku bila-bila masa dan kini Datuk Seri Shafie Apdal sedang mengukuhkan kuasa melalui peluasan pengaruh Parti WARISAN. Namun, BERSATU juga dilaporkan sedang mencuba untuk menerobos masuk ke Sabah, seperti yang pernah dilakukan Tun M dahulu ketika membawa masuk UMNO ke Sabah di waktu era-90an.

 

Namun usaha BERSATU ini seperti tidak disenangi oleh WARISAN dan ini menyebabkan BERSATU mengambil langkah sedikit berlembut dan tidak tergesa-gesa untuk bertapak di Negeri di Bawah Bayu itu.

 

BERSATU dilihat sebagai medan terbaharu untuk pemimpin Sabah yang meninggalkan UMNO tempoh hari. Mereka sudah tentu berat hati untuk menyertai WARISAN kerana tidak akan memiliki peluang untuk menjawat jawatan. Jadi tahun 2019 akan melihatkan satu dinamika baru dalam politik di Sabah.

 

Di Sarawak pula, BN sudah lama menemui ajal dan kita melihat bagaimana Sarawak di bawah GPS masih tercari-cari arah walaupun sudah memasang GPS. Kompas politik mereka untuk berkerjasama dengan Persekutuan juga belum jelas. BERSATU yang terdesak untuk meningkatkan penyertaan kini dilihat melebarkan sayap mereka di Sarawak. Tahun 2019 akan menyaksikan bagaimana rakyat Sarawak memilih pada pilihan raya negeri nanti. Apakah GPS atau PH?

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Huawei-01

Mengapa Sesetengah Negara Mengharamkan Teknologi 5G Huawei

Reading Time: 3 minutes Huawei tidak layak untuk menyediakan infrastruktur 5G di UK Malaysia akan mengkaji sama ada perlu mengharamkan teknologi 5G…

China Numba 1-01
Kapital

Rekod Terburuk Pertumbuhan Ekonomi China Dalam Tempoh 3 Dekad

Reading Time: 3 minutes Kadar pertumbuhan ekonomi China pada tahun 2018 yang direkodkan ialah 6.6% Bank pusat China telah menyuntik lebih banyak…

Apartment-01
Kapital

‘Henti pendekatan M40 tanggung subsidi rumah mampu milik’

Reading Time: 2 minutes Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Penyertaan besar sektor swasta untuk membina rumah…

Myeg Mypay-01
Kapital

MyPay, Pesaing Baru MyEG

Reading Time: 3 minutes Saham syarikat HeiTech Padu telah meningkat naik melebihi 50% Sukaniaga dan MyAngkasa Holdings Sdn Bhd kini bekerjasama membangunkan…