fbpx

Analisis Pasaran Minyak Tahun 2019

Oleh : Wan Syarafiz
28 Disember 2018 - 4:56 pm

Reading Time: 3 minutes
  • OPEC bersetuju untuk mengurangkan 2.5% pengeluaran minyak dengan Iran telah diberikan pengecualian
  • 8 negara antaranya Jepun, India dan Korea Selatan telah diberi pengecualian oleh Amerika Syarikat untuk terus mengimport minyak dari Iran dalam tempoh lanjutan 180 hari

 

Tahun 2018 telah menjadi tempoh yang tidak menentu bagi pasaran harga minyak dunia. Melihat kepada situasi pasaran minyak tahun ini, harga minyak yang direkodkan adalah tertinggi selepas tempoh empat tahun tetapi dalam masa yang sama juga, harga minyak telah mengalami kejatuhan terbesar dalam jangka masa sehari.

 

Dan pada tahun 2019 nanti, ramai pihak menjangkakan pasaran harga minyak dunia akan menjadi lebih tidak menentu berbanding tahun 2018.

 

Bagaimana ini boleh berlaku? Apa puncanya?

 

Kepincangan untuk mencapai persetujuan dalam OPEC

 

Pada penghujung tahun 2018, satu perbincangan untuk mencapai perjanjian kerjasama antara Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Rusia telah dijalankan di Vienna bagi mengurangkan pengeluaran kerana harga minyak yang semakin menurun.

 

Dalam perbincangan tersebut, pada awalnya menteri-menteri negara OPEC tidak berjaya mencapai persetujuan disebabkan Iran tidak mahu mengurangkan pengeluarannnya kerana negara tersebut telah dikenakan sekatan (sanction) oleh Amerika Syarikat.

 

OPEC kemudiannya telah melanjutkan perbincangan mereka dan akhirnya berjaya mencapai kata sepakat selepas Menteri Minyak Rusia, Alexander Novak bertindak berjumpa dengan wakil dari Iran dan Saudi secara berasingan.

 

OPEC telah mencapai persetujuan untuk mengurangkan 2.5% pengeluarannya namun Iran diberikan pengecualian kerana pengeluaran mereka telah mengalami penurunan susulan sekatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat.

 

Negara-negara bukan ahli OPEC kemudiannya juga telah bertindak untuk mengambil langkah yang hampir serupa dengan mengurangkan pengeluaran sebanyak 2%.

 

Jadi, berdasarkan perbincangan OPEC dan Rusia ini serta langkah yang diambil oleh negara bukan OPEC, dunia bakal menyaksikan penurunan pengeluaran minyak berlaku sehingga bulan April tahun 2019. Selepas tempoh tersebut, perjanjian itu akan dikaji semula.

 

Related image
Kredit: thenational.ae

 

Pengeluaran minyak Amerika Syarikat mencecah rekod tertinggi

 

Pada tahun 2018, pengeluaran minyak daripada shale region telah merekodkan jumlah sebanyak 11.4 juta tong sehari dan ini telah berjaya meletakkan Amerika Syarikat sebagai sebuah negara net exporter bagi produk petroleum dan minyak mentah.

 

Dijangka 2019 nanti akan lebih banyak minyak yang berjaya dikeluarkan kerana lebih banyak infrastruktur pipeline yang akan dibina dan sekaligus ini akan memudahkan lagi urusan penghantaran minyak daripada tempat pegeluaran kepada tempat penapisan dan pelabuhan.

 

Permintaan minyak global mungkin akan lebih perlahan

 

Permintaan terhadap minyak adalah tinggi dalam beberapa tahun ini namun, OPEC melalui satu laporannya menjangkakan permintaan ini akan menjadi lebih perlahan pada tahun 2019. Apabila permintaan terhadap minyak ini semakin berkurang, ia akan menyebabkan harga minyak global juga lebih menurun.

 

Walau bagaimanapun, sekiranya harga minyak ini berada pada paras yang lebih rendah pada tahun 2019, wujud kemungkinan ekonomi seperti China untuk membeli lebih banyak minyak mentah. Sekiranya ini berlaku, pembelian minyak oleh China ini mampu menghalang daripada harga minyak jatuh terlalu mendadak.

 

Ketidaktentuan terhadap sekatan minyak dari Iran

 

Menurut TankerTrackers.com, eksport minyak Iran telah menurun pada paras rendah 1.15 juta tong sehari sahaja dan dijangka akan terus menurun pada tahun 2019.

 

Beberapa negara pengimport minyak dilaporkan sudah menghentikan pembelian minyak dari Iran sehingga bulan Februari 2019 dan dijangkakan selepas bulan April 2019 nanti, tidak akan ada langsung pembelian minyak dari Iran oleh negara pengimport minyak.

 

Image result for oil and gas
Kredit: Oil & Gas IQ

 

Walaupun Amerika Syarikat telah mula melancarkan sekatan terhadap Iran pada 5 November lepas, namun terdapat 8 negara antaranya Jepun, India dan Korea Selatan yang masih diberi pengecualian untuk terus mengimport minyak dari Iran untuk tempoh lanjutan selama 180 hari.

 

Selepas tempoh 180 hari itu berakhir, Amerika Syarikat dikhabarkan akan menilai kembali apakah pengecualian tersebut bakal diteruskan atau 8 negara ini akan ‘diarahkan’ untuk berhenti mengimport minyak dari Iran.

 

Namun begitu, jika dilihat kepada situasi masa kini, Amerika Syarikat dijangka tidak akan meneruskan pengecualian tersebut tetapi segalanya mungkin boleh berubah kerana Amerika Syarikat cukup dikenali sering mengubah keputusan sekatan terhadap Iran pada saat-saat akhir.

 

Tetapi sekiranya pengecualian untuk mengimport minyak dari Iran oleh 8 negara ini tidak diteruskan maka Rusia dan OPEC perlu duduk berbincang sama ada mereka akan meningkatkan lagi pengeluaran minyak untuk memuaskan hati Amerika Syarikat atau terus mengurangkan pengeluaran minyak bagi memastikan harga minyak berada pada paras yang tinggi.

 

Sumber: Forbes

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…