Bloomberg Senaraikan Malaysia Tempat Pertama Pasaran Sedang Berkembang
- Pertumbuhan dan Nilai Ekonomi Malaysia Stabil
- Malaysia mengatasi Rusia dan China
Analisis daripada Bloomberg menyenaraikan Malaysia di tempat pertama dalam kedudukan pasaran sedang berkembang. Menurut Bloomberg, kadar inflasi Malaysia yang berada pada paras 0.6 peratus, akaun semasa negara, pertumbuhan dan nilai ekonomi yang stabil menjadi di antara faktor penyumbang situasi positif ini.
Penilaian menyeluruh yang dibuat oleh Bloomberg itu mengambil kira beberapa indikator termasuk prospek pertumbuhan, kedudukan akaun semasa, rating kredit dan nilai bon serta saham.
Ranking yang melibatkan 21 negara itu melihatkan Turki berada di kedudukan terbawah dan Bloomberg melihat bagaimana ekonomi Asia berada di kedudukan yang kuat. Empat daripada enam negara yang berada di kedudukan teratas ialah dari Asia termasuk negara China, Filipina dan Thailand.
Kedudukan China dan Thailand pula jelas dikukuhkan dengan kedudukan surplus akaun semasa negara di samping melihatkan pertumbuhan mapan dan kadar inflasi yang wajar. Bagi Filipina pula, walaupun mereka mempunyai akaun semasa yang deficit dan kadar inflasi agak tinggi, namun pertumbuhan ekonominya yang mencapai sehingga 6% membuatkan mereka berada pada kedudukan yang baik dalam senarai berkenaan.
Baca: Industri Pelancongan, Penyumbang Ekonomi Ke-3 Terbesar
Dalam hal yang sama, penganalisis pasaran di SBI Securities Co. yang berpusat di Tokyo, Tsutomu Soma menyatakan pertumbuhan ekonomi sentiasa menjadi tumpuan utama untuk menilai negara-negara yang memiliki pasaran sedang berkembang dan pelabur juga melihat bagaimana setiap negara ini menangani isu perang dagang melibatkan Amerika Syarikat dan China.
“Pelabur pada hari ini sentiasa memerhatikan dengan dekat bagaimana negara-negara ini menangani kesan perang dagang AS-China. Pelabur juga akan lebih memilih dalam keadaan sekarang,” katanya.
Berdasarkan kepada ranking berkenaan Malaysia mencatatkan markah 2.55 mata meninggalkan Rusia di tempat kedua dengan 2.36 mata dan China dengan 1.39 mata. Negara-negara lain yang berada di dalam ranking berkenaan mengikut kedudukan adalah Filipina, Colombia, Thailand, Poland, Mexico, Chile, Republik Korea, Indonesia, India, Peru, Hungary, Brazil, Romania, Mesir, Croatia, Afrika Selatan dan Turkey.
Sumber: Bloomberg