fbpx

Cadangan Levi 2% Untuk Menggantikan Kuota Rumah Bumiputera

Oleh : Wan Syarafiz
12 Disember 2018 - 5:32 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Setakat suku pertama tahun 2018, sebanyak 34,532 unit rumah dengan nilai keseluruhan RM22.67 bilion telah dilaporkan tidak terjual
  • Wang daripada levi 2% boleh digunakan bagi membina rumah kepada golongan B40 di lokasi yang lebih sesuai

 

Baru-baru ini, Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd, Datuk Lin Yun Ling telah menyatakan cadangan beliau bahawa polisi kuota rumah Bumiputera perlu digantikan dengan pembayaran levi 2% oleh pihak pemaju kepada kerajaan.

 

Menurut beliau, cadangan ini diusulkan bagi menangani masalah unit rumah yang tidak terjual serta kos tinggi yang terpaksa ditanggung pemaju bagi memegang unit-unit kediaman tersebut sebelum dibeli oleh Bumiputera (holding cost).

 

Jika kita lihat kepada isu pemilikan rumah di Malaysia, ia adalah satu masalah yang besar dan kompleks. Berdasarkan rekod, kadar pemilikan rumah di Malaysia hanyalah sekitar 43-44% sahaja dan setakat suku pertama tahun 2018, sebanyak 34,532 unit rumah dengan nilai keseluruhan RM22.67 bilion telah dilaporkan tidak terjual.

 

Angka ini merupakan angka yang tertinggi telah dicatatkan dalma masa 10 tahun. Apa masalah sebenar yang menyumbang kepada rumah tak terjual ini?

 

Baca: Isu Pemilikan Rumah di Malaysia

 

Image result for rumah bumiputera
Kredit: Sinar Harian

 

Banyak faktor sebenarnya yang menyumbang kepada rumah tidak terjual ini seperti rumah yang dibina tidak menepati kehendak pembeli dan permohonan pinjaman tidak diluluskan.

 

Tetapi, jangan kita lupa, terdapat satu lagi faktor penyumbang kepada masalah ini iaitu lambakan rumah daripada unit Bumiputera yang masih belum lagi berjaya dijual.

 

Apabila pemaju mahu membina unit perumahan, mereka perlu mematuhi polisi Bumiputera di mana 30% hingga 50% (berbeza mengikut negeri) daripada unit kediaman yang dibina oleh pemaju mestilah dikhaskan kepada pembeli daripada kaum Bumiputera.

 

Bagaimanapun, apabila banyak unit rumah Bumiputera yang tidak terjual, ia telah menjadi satu bebanan kepada pihak pemaju kerana mereka perlu menangung kos pegangan rumah tersebut (holding cost).

 

Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda itu menyatakan bahawa kos pegangan (holding cost) untuk unit-unit yang tak terjual ini sebenarnya membebankan kepada pihak pemaju. Kos pegangan yang perlu ditanggung pihak pemaju ini dianggarkan sekitar 20% daripada hasil pendapatan keseluruhan syarikat tersebut.

 

Menurut beliau lagi, golongan pembeli rumah Bumiputera adalah rendah dan ini menyebabkan polisi kuota unit rumah yang dikhaskan kepada Bumiputera sebenarnya tidak sampai kepada golongan sasaran yang sepatutnya.

 

Jadi, adalah lebih baik sekiranya pihak pemaju membayar levi 2% daripada jualan rumah kepada pihak kerajaan. Dan kemudiannya wang tersebut digunakan bagi membina rumah kepada golongan B40 di lokasi yang lebih sesuai.

 

Image result for lin yun ling
Kredit: The Malaysian Reserve

 

Apa lagi cadangan yang boleh diketengahkan bagi isu ini?

 

Sebelum ini, pihak Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) telah menggesa kerajaan supaya melihat kembali kepada mekanisme pelepasan unit Bumiputera yang tidak terjual. Rehda mahu pihak kerajaan negeri supaya melaksanakan pelepasan automatik bagi unit Bumiputera yang tidak terjual.

 

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Hartabumi, Radzi Tajuddin, beliau pula tidak bersetuju sekiranya polisi kuota Bumiputera dihapuskan. Sebaliknya beliau berpendapat bahawa penambahbaikan mekanisme pelepasan unit rumah Bumiputera yang tidak terjual perlu dilaksanakan.

 

“Sebagai contoh, ketika ini antara syarat untuk pemaju di Selangor perlu penuhi sebelum layak mendapat pelepasan kuota Bumiputera ialah mengiklan di dalam akhbar berbahasa Melayu dan menyertai ekspo pameran hartanah.

 

“Saya lihat syarat ini perlu dikemaskini kerana selain akhbar, pemaju sepatutnya turut dikehendaki mengiklan di dalam mana-mana portal hartanah kerana perlu diakui, pengguna kini lebih cenderung mencari rumah untuk dibeli di dalam internet.

 

“Ini menyebabkan ramai pembeli Bumiputera yang layak mungkin tidak sedar mengenai iklan berkenaan yang mana akhirnya menyebabkan unit itu dilepaskan ke pasaran bebas. Sudah tentu ia merugikan pasaran untuk Bumiputera itu sendiri,” ujar Radzi.

 

Jadi, apakah solusi terbaik bagi isu pemilikan rumah ini?

 

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, satu kajian menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu. Kemudiannya daripada kajian tersebut, pihak kerajaan akan mampu mencari mekanisme terbaik bagi pelepasan rumah berstatus kuota Bumiputera ke pasaran terbuka serta meneliti semula faktor yang menyebabkan kelemahan Bumiputera untuk memiliki rumah.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…