fbpx

Ini Wajah Baru Khazanah Nasional

Oleh : Wan Syarafiz
06 Disember 2018 - 4:34 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Khazanah menjual 16% pegangan dalam IHH kepada Mitsui & Co pada harga premium RM8.42 bilion
  • Khazanah sudah lari daripada matlamat awal penubuhannya – Tun M

 

Khazanah telah mengorak langkah awal dalam menentukan hala tuju mereka yang baru. Ini susulan daripada keputusan yang dibuat untuk melepaskan sebahagian pegangan mereka dalam IHH Healhcare Bhd (IHH) dan dikhabarkan lebih banyak syarikat akan menyusul selepas ini.

 

Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) baru-baru ini telah mengesahkan persetujuan untuk menjual 16% pegangan mereka dalam IHH Healthcare Bhd kepada Mitsui & Co Ltd pada harga premium berjumlah RM8.42 bilion.

 

Langkah Khazanah untuk mengurangkan kepentingannya dalam IHH Healthcare Bhd dilihat bukan hanya sebagai mengurangkan pegangan. Tetapi ini telah menjadi petunjuk awal ke manakah hala tuju baru Khazanah dan bagaimana syarikat ‘sovereign wealth fund’ itu akan beroperasi selepas ini.

 

Ini adalah Khazanah yang baru versi 3.0!

 

Baca: Khazanah Menang 5-1

Baca: Khazanah Tidak Lagi Membantu Bumiputera- Tun M

 

Image result for khazanah nasional
Kredit: The Star

 

Pasca PRU14 yang lepas, sembilan anggota lembaga pengarah Khazanah termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar telah meletakkan jawatan apabila berlakunya pertukaran kerajaan persekutuan. Ia kemudiannya disusuli pula dengan lantikan ahli lembaga pengarah yang baru seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Mohd Hassan Merican.

 

Peletakan jawatan sembilan ahli lembaga pengarah ini disifatkan oleh banyak pihak sebagai langkah yang baik kerana ia dapat memberikan kerajaan Pakatan Harapan peluang untuk membolehkan sayap pelaburan itu menentukan hala tuju yang baru.

 

Apa maksudnya? Apakah peranan dan hala tuju Khazanah sebelum ini?

 

Khazanah yang mula diperbadankan pada 3 September 1993 merupakan badan yang bertanggungjawab untuk menguruskan aset komersial kerajaan pusat serta merancang pelaburan strategik yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan negara.

 

Pada awalnya, dana pelaburan strategik kerajaan itu mengamalkan perniagaan yang lebih berkonsepkan tradisional dan hanya fokus kepada pasaran domestik.

 

Kemudiannya, tiga belas tahun lepas, satu transformasi bagi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah dilaksanakan oleh kerajaan yang mana ianya dikatakan telah mewujudkan Khazanah versi 2.0.

 

Sebagai sebahagian daripada langkah transformasi, Khazanah telah mengenal pasti beberapa syarikat yang berpotensi untuk dibantu bagi dikembangkan ke pasaran antarabangsa. Antara syarikat ini ialah IHH, Axiata dan CIMB.

 

Image result for khazanah nasional azman mokhtar
Kredit: The Star

 

Kebanyakan kejayaan yang dikecapi oleh Khazanah ialah ketika Tan Sri Azman Mokhtar memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan. Beliau telah mempunyai visi untuk membina lebih banyak syarikat yang bertaraf antarabangsa seperti mana yang dilakukan oleh Temasek Holdings.

 

Lihat sahaja pelaburan yang telah dilakukan oleh Khazanah. Dana pelaburan itu pernah meraih keuntungan sehingga mencecah RM6 bilion dengan membuat pelaburan dalam syarikat Alibaba. Bukan itu sahaja, Khazanah turut meraih keuntungan besar melalui pelaburan dalam syarikat-syarikat lain seperti Skyscanner dan WeLab

 

Di bawah kepimpinan Azman Mokhtar, Khazanah berjaya mendapatkan pulangan pelaburan sebanyak RM82 bilion. Selain itu, aset syarikat berkenaan juga telah meningkat naik kepada RM134.5 bilion sehingga berjaya mendapat pengiktirafan sebagai salah satu 25 Pemegang Aset Paling Bertanggungjawab di dunia.

 

Jadi, kenapa Khazanah tidak mahu meneruskan apa yang telah berjaya dicapai ini?

 

Menurut Perdana Menteri dan Pengerusi Khazanah yang baru, Tun Dr Mahathir, badan pelaburan kerajaan itu sudah lari daripada landasan asal penubuhannya untuk membantu meningkatkan pemilikan saham bagi golongan Bumiputera.

 

Kerajaan persekutuan yang baru mahu Khazanah kembali ke ‘pangkal jalan’ yang mana kerajaan tidak sepatutnya terlibat dalam bidang perniagaan.

 

Dalam satu wawancara bersama Investvine, Tun Mahathir menyatakan kerajaan akan menilai kembali syarikat-syarikat yang dimiliki Khazanah. Menurut beliau, syarikat-syarikat yang bermasalah akan ditutup supaya tidak memberi kesan kewangan kepada sayap pelaburan kerajaan itu.

 

Tun Mahathir mahu memastikan beban yang ditanggung Khazanah akan berjaya dikurangkan dan mengembalikan semula peranan Khazanah untuk meningkatkan pemilikan saham bagi golongan Bumiputera.

 

Walau bagaimanapun, Khazanah akan masih mengekalkan pegangan mereka dalam syarikat yang mempunyai kepentingan kepada negara. Namun, syarikat-syarikat lain seperti CIMB, Axiata dan UEM Edgenta pula, Khazanah telah berkira-kira untuk mengurangkan pegangan mereka.

 

Mungkin wajah baru Khazanah 3.0 ini tidak dipersetujui oleh ramai pihak namun rakyat perlu berlaku adil dan menilai kembali apakah tujuan Khazanah ini ditubuhkan pada awalnya.

 

Walaupun Khazanah berjaya mengecapi kejayaan sehingga pelaburan memberi untung mencecah berbilion ringgit, namun adakah ia sudah lupa kepada peranan asalnya? Setakat hari ini, berapa banyak pulangan yang telah berjaya diraih oleh Bumiputera atas jasa Khazanah?

 

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Telur -01

Harga Telur Naik Lebih 10 Sen Sebiji Semenjak April

Reading Time: 2 minutes 60% daripada bahan kandungan makanan ayam ini perlu diimport daripada negara luar KPNKK sedang menyiasat kenaikan ini jika…

duit-gaji

Pemintaan Gaji ‘tidak realistik’ Punca Pengangguran

Reading Time: 1 minute Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Pemintaan gaji ‘tidak realistik’ adalah antara alasan…

Tabung haji 1-01

SPV Mengambil Alih Aset Tabung Haji Bernilai RM19.9 bilion

Reading Time: 4 minutes Antara hartanah yang akan dipindahkan kepada SPV adalah tanah di Tun Razak Exchange (TRX) SPV akan memberi sukuk…

SPV-01

Apa itu SPV?

Reading Time: 2 minutes SPV ni entiti yang ditubuhkan dengan satu tujuan khas sahaja, samada untuk beli aset (spt Danaharta), untuk financing…