fbpx

Khazanah Dijangka Kurangkan Pegangan Di Enam Lagi Syarikat

Oleh : Syafiq Hanafi
09 Disember 2018 - 7:56 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Antara yang dijangka terlibat ialah Astro dan CIMB
  • Pegangan Khazanah dalam TM dan TNB dijangka kekal

Tindakan Khazanah Nasional Berhad mengurangkan pegangannya dalam syarikat perkhidmatan kesihatan, IHH Healthcare Berhad hanya satu permulaan kepada inisiatif melihat semula pelaburan syarikat berkenaan di bawah pengurusan baharu. Berdasarkan kepada sumber-sumber terdekat, terdapat sekurang-kurangnya lapan lagi syarikat, termasuk enam syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia akan menjadi perhatian Khazanah untuk mengurangkan pegangannya.

 

Enam syarikat yang dimaksudkan ialah Astro Malaysia Holdings, CIMB Group Holdings Berhad, UEM Sunrise Berhad, UEM Edgenta Berhad, Axiata Group Berhad dan Time dotCom Berhad.

 

Bagi syarikat yang tiada dalam penyenaraian pula, Khazanah dijangka melepaskan pegangannya di dalam Cement Industries of Malaysia Berhad dan UEM Builders Berhad.

 

Berdasarkan kepada maklumat yang diterima, di bawah penstrukturan baharu pelaburan Khazanah ini, hanya syarikat-syarikat strategik nasional sahaja akan kenal sebagai syarikat strategik Khazanah. Syarikat-syarikat yang dimaksudkan ialah Malaysia Airports Holdings Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan Tenaga Nasional Berhad, Plus Malaysia Berhad, Malaysia Airlines Berhad dan SilTerra Malaysia Sdn Bhd.

 

Berikut merupakan syarikat-syarikat di mana Khazanah akan mengurangkan pegangannya sehingga ke tahap pelaburan portfolio sahaja berbanding pelaburan strategik sekarang.

 

Related image
Kredit: The Star

ASTRO

Khazanah memiliki 1.08 bilion saham atau 20.7% pegangan dalam syarikat televisyen berbayar yang diasaskan taikun perniagaan terkemuka, T Ananda Krishnan. Pegangan Khazanah melalui syarikatnya, Pantai Cahaya Bulan Ventures Sdn Bhd telah menjadikan Khazanah sebagai pemegang saham terbesar Astro sejak syarikat berkenaan disenaraikan semula pada tahun 2012 dengan nilai RM3 sesaham.

 

Nilai pasaran terkini pelaburan Khazanah di dalam Astro mencecah RM1.26 bilion berasaskan kepada nilai saham terkini syarikat berkenaan pada tahap RM1.17. Prestasi tidak menentu yang dilalui Astro menyaksikan nilai sahamnya telah merosot 53% dan menyaksikan mereka kehilangan nilai pasaran sebanyak RM7.7 bilion sejak awal tahun ini. Keadaan ini memberikan makna bahawa Khazanah telah kehilangan RM1.6 bilion nilai pelaburan di dalam Astro sejak awal tahun ini.

 

Keuntungan bersih Astro juga merosot sebanyak 94% kepada RM16.58 juta untuk suku kedua yang berakhir pada 31 Julai lalu, berbanding dengan RM246.3 juta yang direalisasikan mereka tahun sebelumnya. Hasil bagi Astro pula berada pada tahap RM1.42 bilion untuk suku tahun yang sama.

 

CIMB

Khazanah menjadi pemegang saham terbesar dalam kumpulan perbankan kedua terbesar di Malaysia ini dengan pegangan sebanyak 27.5% atau jumlah saham sebanyak 2.63 bilion. Nilai terkini pegangan Khazanah dalam CIMB ialah RM15.4 bilion berasaskan kepada saham terkini pada harga RM5.85.

 

Sehingga kini, saham CIMB telah merosot kira-kira 10.8% dan menghilangkan nilai pasaran mereka sebanyak RM6.6 bilion. Untuk Khazanah pula jumlah ini mewakili kemerosotan RM1.8 bilion dalam nilai pelaburannya sejak awal tahun 2018.

 

Untuk tempoh sembilan bulan berakhir pada September 2018, CIMB mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM4.47 bilion meningkat daripada keuntungan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya pada jumlah RM3.41 bilion. Hasil bagi CIMB juga meningkat daripada RM13.11 bilion kepada RM13.31 bilion.

 

Image result for axiata
Kredit: The Star

AXIATA

Khazanah mempunyai pegangan saham sebanyak 3.37 bilion atau 37.2% dalam Axiata. Ini menjadikan Khazanah sebagai pemegang saham terbesar kepada syarikat telekomunikasi serantau itu. Nilai pelaburan Khazanah dalam Axiata pada masa ini ialah RM12.7 bilion berasaskan kepada harga sesaham semasa syarikat berkenaan ialah RM3.78.

 

Saham Axiata melalui prestasi tidak menentu dan mencatatkan penurunan sejak enam bulan kebelakangan ini berikutan pendapatan yang merosot dan suasana industri telekomunikasi serantau yang kian mencabar.

 

Sehingga kini, saham Axiata telah merosot kira-kira 32% dan syarikat ini telah kehilangan nilai pasaran sebanyak RM15.6 bilion. Ini menyebabkan nilai pelaburan Khazanah merosot sebanyak RM5.8 bilion.

 

Untuk tempoh sembilan bulan berakhir pada September 2018, jumlah kerugian terkumpul Axiata ialah RM3.4 bilion berbanding dengan keuntungan bersih RM884.8 juta yang dicatatkan tahun lalu. Jumlah hasil syarikat ini juga merosot kepada RM17.6 bilion berbanding RM18.1 bilion sebelumnya.

 

TIMEDOTCOM (TDC)

Khazanah mempunyai pegangan sebanyak 65.3 juta saham atau 11.2 peratus dalam TDC. Melalui syarikatnya, Pulau Kapas Ventures Sdn Bhd, Khazanah turut memiliki 30.4% atau 177.2 juta saham dalam syarikat telekomunikasi ini.

 

Nilai pelaburan semasa Khazanah dalam TDC ialah RM1.8 bilion berbanding RM2.2 bilion pada awal tahun ini. Sehingga kini, nilai saham TDC telah merosot sebanyak 10% dan menjadikannya hilang nilai pasaran sebanyak RM448.8 juta.

 

TDC kini dilihat sedang mengembangkan perniagaan pusat datanya di rantau ini. Secara umumnya antara cabaran yang dihadapi syarikat ini ialah kos operasi dan keupayaan untuk menyesuaikan harga produk untuk memastikan mereka kekal kompetitif.

 

Di sebalik cabaran berkenaan, TDC masih berjaya meningkatkan keuntungan bersih sebanyak 77% kepada RM207.9 juta untuk tempoh sembilan bulan berakhir September 2018. Pada tempoh yang sama tahun lalu, keuntungan bersih yang dicatatkan TDC ialah RM117.2 juta.

 

Sementara itu, hasil bagi TDC juga meningkat kepada RM720.6 berbanding RM626.7 juta. Tumpuan kepada perniagaan data dan pusat data menjadi penyumbang utama kepada peningkatan hasil ini.

 

Image result for uem sunrise
Kredit: The Edge

UEM SUNRISE

Khazanah menguasai 66.1% atau 3 bilion saham dalam syarikat pembangunan dan pengurusan hartanah ini. Nilai pelaburan Khazanah dalam UEM Sunrise ialah RM2.2 bilion berdasarkan kepada harga saham semasa syarikat sebanyak 72.5 sen.

 

Sehingga kini, saham UEM Sunrise telah merosot sebanyak 31% dan syarikat ini kehilangan RM1.4 bilion nilai pasarannya. Khazanah pula kehilangan nilai pelaburan sebanyak RM944.2 juta dalam UEM Sunrise sejak awal tahun 2018.

 

Untuk tempoh sembilan bulan berakhir pada September 2018, syarikat ini mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM260.25 juta berbanding RM156.46 yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu. Namun begitu, hasil UEM Sunrise pula merosot kepada RM1.29 bilion berbanding RM1.56 bilion tahun lalu.

 

UEM Sunrise menjadi pemaju utama Iskandar Puteri, salah satu daripada lima zon pembangunan Iskandar Malaysia di Johor. Syarikat ini turut terlibat dalam pelbagai projek pembangunan komersial dan kediaman di Lembah Kelang. Selain itu, syarikat ini turut mempunyai projek utama di Vancouver, Melbourne, Durban dan Singapura.

 

UEM EDGENTA

Khazanah memiliki pegangan 69.1% atau 575 juta saham dalam syarikat pengurusan asset dan infrastruktur ini. Nilai pasaran bagi pelaburan Khazanah dalam UEM Edgenta ialah RM1.5 bilion berdasarkan kepada nilai saham terkini sebanyak RM2.60.

 

Sehingga kini nilai saham syarikat berkenaan melihatkan peningkatan sebanyak 8% dan nilai pasarannya meningkat sebanyak RM228 juta. Ini menjadikan nilai pelaburan Khazanah dalam syarikat ini meningkat sebanyak RM157 juta sejak awal tahun 2018.

 

Bagi tempoh sehingga September 2018, keuntungan bersih dicatatkan UEM Edgenta merosot sebanyak 14% kepada RM80.5 juta daripada RM93.4 juta tahun lalu. Namun begitu, UEM Edgenta mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 6% kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.4 bilion sebelumnya.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…