fbpx

Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 Dedah Kepincangan Pengurusan FINAS

Oleh : Syafiq Hanafi
04 Disember 2018 - 3:49 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Pembelian tanah dan bangunan di Kuching, Sarawak bernilai RM1.40 juta tidak direkodkan
  • Baki Geran Tertunda dan Dana berjumlah RM95.22 juta tidak dapat disahkan ketepatannya

 

Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 (LKAN) sudah terbit dan boleh dibaca. Sudah tentu ia akan menjadi antara tumpuan penting dalam melihat kesilapan tadbir urus yang berlaku pada tahun berkenaan. Kami di Kapital.My turut tidak ketinggalan menyemak laporan berkenaan dan cuba membawakan kepada pembaca hal-hal penting yang perlu diberikan perhatian.

 

Untuk kali ini kita sama-sama akan melihat kontroversi yang timbul dalam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang melihatkan beberapa teguran signifikan dan ada juga yang mengejutkan. Dalam LKAN 2 ini, FINAS menjadi satu-satunya agensi Kerajaan yang disenaraikan di bawah jadual Penyata Kewangan Agensi Yang Diberikan Pendapat Bertentangan Bagi Tahun Kewangan 2017.

 

Sebelum kita pergi lebih jauh, kita ketahui dahulu apa yang dimaksudkan dengan Penyata Kewangan Agensi Yang Diberikan Pendapat Bertentangan. Mengikut definisi yang telah ditetapkan oleh Jabatan Audit Negara, Pendapat Bertentangan ini tersenarai sebagai sebahagian daripada perkara yang menjejaskan pendapat juruaudit dan secara khasnya, Pendapat Bertentangan ini ialah pendapat yang dinyatakan oleh juruaudit apabila membuat kesimpulan bahawa salah nyata, secara individu/agregat adalah material dan pervasif kepada penyata kewangan setelah mendapat bukti audit yang mencukupi dan bersesuaian.

 

Related image
Kredit: mynewshub.tv

 

Secara ringkasnya ialah berlaku hal-hal tidak menyenangkan dalam pengurusan kewangan agensi berkenaan dan terdapat bukti pengauditan yang mencukupi untuk hal ini.

 

Bagi kes FINAS, terdapat 14 perkara yang disenaraikan dalam jadual Pendapat Bertentangan ini dan ia jelas satu hal serius yang perlu diberikan perhatian. Perkara-perkara berkenaan adalah seperti berikut:

 

  • Hartanah, Loji dan Peralatan

 

Hartanah, Loji dan Peralatan tidak direkodkan pada nilai penilaian semula seperti yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada tahun 2015 berjumlah RM19.28 juta menyebabkan aset telah terkurang nyata sebanyak amaun tersebut.

 

Tanah dan bangunan tidak diakaunkan secara berasingan melibatkan nilai buku bersih bangunan berjumlah RM696,847.

 

Pembelian tanah dan bangunan di Kuching, Sarawak bernilai RM1.40 juta tidak direkodkan.

 

Peralatan dan bangunan di Mix Stage Hulu Kelang tidak diakaunkan secara berasingan melibatkan nilai buku bersih bangunan berjumlah RM18.15 juta.

 

Rosot nilai tidak diakaunkan bagi aset di Mix Stage Hulu Kelang yang tidak digunakan sejak 1 Januari 2016.

 

  • Work in Progress

 

FINAS tidak mengiktiraf kos pembangunan sistem kewangan berjumlah RM359,469 sebagai Aset Tidak Ketara seperti mana ketetapan Perenggan 18.4, MPERS Seksyen 18 Aset Tidak Ketara Selain Muhibah.

 

  • Pendahuluan dan Penghutang Pinjaman

 

Baki Pendahuluan dan Penghutang Pinjaman pada 31 Disember 2017 tidak dapat disahkan kerana FINAS tidak mengemukakan sebarang jadual sokongan bagi menjalankan kerja pengauditan.

 

  • Penghutang Sewaan

 

Baki Penghutang Sewaan di penyata kewangan berbeza dengan laporan pengumuran penghutang berjumlah RM958,134. Baki Penghutang Sewaan berjumlah RM468,032 tidak dikutip sejak tahun berakhir 31 Disember 2016.

 

  • Penghutang Pelbagai

 

Baki Penghutang Pelbagai di penyata kewangan berbeza dengan laporan pengumuran penghutang berjumlah RM2.45 juta. Baki Penghutang Sewaan berjumlah RM2.78 juta tidak dikutip sejak tahun berakhir 31 Disember 2016.

 

  • Rosot Nilai Penghutang

 

Rosot nilai tidak diakaunkan bagi penghutang sewaan dan penghutang pelbagai seperti ketetapan Perenggan 11.21, MPERS Seksyen 11 Instrumen Kewangan Asas.

 

  • Penyata Penyesuaian Bank

 

FINAS tidak menyelaraskan transaksi belum disesuaikan lebih daripada tempoh enam (6) bulan berjumlah RM4.00 juta.

 

  • Deposit Filem

 

FINAS tidak melaksanakan tindakan melucut hak deposit filem berjumlah RM8.64 juta seperti keperluan Perenggan 10 (1), Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

 

  • Geran Tertunda dan Dana

 

Baki Geran Tertunda dan Dana berjumlah RM95.22 juta tidak dapat disahkan ketepatannya kerana pelunasan geran dan dana bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 berjumlah RM112.52 juta tidak mengambil kira pelunasan berjumlah RM95.01 juta melibatkan perbelanjaan tahun 2017.

 

  • Pemiutang dan Akruan

 

Baki Pemiutang dan Akruan di penyata kewangan berbeza dengan laporan pengumuran pemiutang berjumlah RM29.37 juta. Sampel Pemiutang dan Akruan berjumlah RM23.11 juta tidak dibayar sejak tahun berakhir 31 Disember 2016.

 

  • Liabiliti yang Diiktiraf sebagai Pendapatan

 

FINAS tidak merekodkan terimaan geran Kerajaan bersyarat sebagai liability berjumlah RM2.94 juta seperti ketetapan Perenggan 24.4, MPERS Seksyen 24 Geran Kerajaan sebaliknya telah merekodkan terimaan tersebut sebagai pendapatan.

 

  • Perbelanjaan Tidak Diakru

 

FINAS tidak mengakru sampel perbelanjaan tahun semasa berjumlah RM624,757 di dalam penyata kewangan.

 

  • Perbelanjaan Cukai

 

FINAS tidak mempersembahkan perbelanjaan cukai berjumlah RM751,962 secara berasingan seperti ketetapan Perenggan 5.5, MPERS Seksyen 5 Penyata Pendapatan Komprehensif.

 

  • Komitmen Modal

 

FINAS tidak mendedahkan sampel komitmen modal berjumlah RM703,445 seperti ketetapan Perenggan 32.10 dan 32.11, MPERS Seksyen 32 Peristiwa Selepas Tarikh Pelaporan.

 

Image result for finas
Kredit: URTV

 

Ini bukanlah kali pertama FINAS diberikan Pendapat Bertentangan dalam LKAN, ini merupakan kali ketiga berturut-turut FINAS diberikan teguran sedemikian sejak tahun 2015. LKAN menyifatkan antara faktor yang menyebabkan FINAS memperoleh Pendapat Bertentangan ialah kegagalan agensi berkenaan untuk merekodkan nilai hartanah, loji dan peralatan sehingga menyebabkan aset terkurang nyata, baki penghutang/pemiutang yang berbeza dengan laporan pengumuran, pendahuluan/geran yang tidak dapat disahkan ketepatannya dan ketidakpatuhan terhadap Malaysian Private Entities Reporting Standard (MPERS) untuk beberapa seksyen.

 

Selain itu, LKAN juga menyatakan bahawa FINAS masih belum membentangkan penyata kewangan tahun 2016 di Parlimen dan ini merupakan satu perkara serius yang sewajarnya tidak berlaku.

 

Apa yang dilaporkan LKAN mengenai FINAS ini sudah tentu akan menggegarkan agensi yang sering terpalit kontroversi ini. Malah hal berkaitan geran yang dilaporkan LKAN sebagai tidak dapat disahkan ketepatannya sudah pasti akan dijadikan perkara yang menghairankan pembikin filem tanah air.

 

Sebelum ini, kita dipersembahkan dengan beberapa filem yang menerima dana jutaan daripada FINAS tetapi hasil yang diberikan amat mengecewakan, malah sebelum ini juga pernah tersebar senarai filem yang menerima geran daripada FINAS, namun sehingga kini filem-filem berkenaan masih gagal untuk dihasilkan.

 

Jelas daripada isu-isu yang timbul ini, FINAS berhadapan dengan masalah untuk menetapkan mekanisme penilaian yang berkualiti dalam aspek penyaluran geran dan dana.

 

Dengan terbitnya LKAN ini, masalah di FINAS jelas kritikal dan ia tidak boleh sekadar menjadi laporan yang dibaca, sebaliknya ia memerlukan tindakan yang pasti.

 

Usaha reformasi menyeluruh yang cuba digerakkan Kerajaan terhadap FINAS kini sebenarnya hadir tepat pada masa. Agensi yang sedang dalam proses melantik Ketua Pengarah baharu ini memerlukan seorang pemimpin yang jelas memiliki pengetahuan industri, keupayaan menguruskan organisasi dan ilmu kewangan yang munasabah bagi memastikan FINAS mampu menjadi sebuah agensi disegani.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Telur -01

Harga Telur Naik Lebih 10 Sen Sebiji Semenjak April

Reading Time: 2 minutes 60% daripada bahan kandungan makanan ayam ini perlu diimport daripada negara luar KPNKK sedang menyiasat kenaikan ini jika…

duit-gaji

Pemintaan Gaji ‘tidak realistik’ Punca Pengangguran

Reading Time: 1 minute Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Pemintaan gaji ‘tidak realistik’ adalah antara alasan…

Tabung haji 1-01

SPV Mengambil Alih Aset Tabung Haji Bernilai RM19.9 bilion

Reading Time: 4 minutes Antara hartanah yang akan dipindahkan kepada SPV adalah tanah di Tun Razak Exchange (TRX) SPV akan memberi sukuk…

SPV-01

Apa itu SPV?

Reading Time: 2 minutes SPV ni entiti yang ditubuhkan dengan satu tujuan khas sahaja, samada untuk beli aset (spt Danaharta), untuk financing…