Lynas Mahu Mengambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Kerajaan Malaysia
- Pelaburan LAMP ini adalah memenuhi kriteria pelaburan yang berkualiti – Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi
- Lynas perlu menghantar sisa WLP yang mengandungi bahan radioaktif keluar dari negara ini – Yeo Bee Yin
Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin menyatakan kesediaan sekiranya Lynas Corporation Ltd (Lynas) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan. Ini adalah susulan daripada prasyarat yang telah ditetapkan bagi pembaharuan lesen Lynas Advance Materials Plant (LAMP) yang dijadualkan akan tamat pada September 2019 nanti.
Lynas merupakan sebuah syarikat pengeluaran nadir bumi (rare earth) yang berpangkalan di Australia dan telah diberikan kelulusan untuk beroperasi di Gebeng, Pahang bagi tujuan pemprosesan.
Walau bagaimanapun, ketika kedatangan Lynas di Malaysia, syarikat tersebut telah mendapat tentangan yang hebat kerana dikatakan sisa yang dihasilkan daripada pemprosesan nadir bumi ini akan mendatangkan kesan bahaya kepada alam sekitar serta penduduk setempat.

Kenapa Lynas dikenakan prasyarat bagi memperbaharui lesen?
Kilang Lynas ini apabila memproses nadir bumi, mereka akan menghasilkan dua jenis sisa buangan utama iaitu sisa Water Leached Purification Residue (WLP) yang mengandungi bahan radioaktif dan satu lagi sisa buangan Neutralization Underflow Residue (NUF) yang tidak mengandungi radioaktif.
Dua syarat yang telah ditetapkan bagi Lynas untuk memperbaharui lesen ialah Lynas perlu menghantar sisa WLP yang mengandungi bahan radioaktif keluar dari negara ini dan kemudiannnya mengemukakan pelan tindakan bagi melupuskan sisa NUF.
Ini adalah tertakluk di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7) serta Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Selepas mematuhi syarat ini, barulah permohonan pembaharuan lesen boleh dipertimbangkan.
Berikutan banyak pihak yang menentang operasi Lynas di Malaysia, satu Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LAMP telah ditubuhkan untuk melakukan penilaian kepada operasi syarikat ini.
Dan melalui penilaian jawatankuasa itu, satu laporan telah dikeluarkan yang merumuskan bahawa segala aktiviti pengurusan syarikat terbabit adalah mematuhi kesemua akta-akta yang berkaitan.
Lynas dilaporkan sentiasa mematuhi syarat lesen Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) termasuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan jawatankuasa itu sendiri menyatakan pelaburan LAMP ini adalah memenuhi kriteria pelaburan yang berkualiti.
Menurut laporan itu lagi, Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LAMP menyatakan bahawa LAMP perlu dengan segera menyediakan dan membina tapak pelupusan kekal, Permanent Disposal Facility (PDF) untuk sisa buangan terbabit.
“Jawatankuasa Eksekutif menyarankan supaya pihak LAMP bersedia membawa keluar sisa WLP dari Malaysia sekiranya lokasi PDF tidak dikenalpasti atau tidak diluluskan,” menurut laporan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LAMP.

Jika Lynas sudah memenuhi semua peraturan, apa lagi masalahnya?
Pihak Lynas menyatakan prasyarat yang dikeluarkan oleh kementerian ini adalah tidak selari dengan laporan jawatankuasa penilaian.
“Prasyarat berkenaan tidak konsisten dengan cadangan penilaian oleh jawatankuasa eksekutif berkenaan yang menyarankan Lynas segera mengenal pasti lokasi dan fasiliti pelupusan kekal (PDF) untuk sisa WLP termasuk mengenalpasti tapak untuk pembinaan PDF, sebelum lesen operasi diperbaharui.
“Penilaian jawatankuasa berkenaan juga mengambil maklum bahawa Lynas Corporation Ltd, Australia dan Lynas Malaysia Sdn Bhd, sedia membawa keluar sisa WLP dari Malaysia jika lokasi PDF tidak dapat dikenal pasti atau tidak diluluskan,” ujar CEO Lynas, Amanda Lacaze.
Jawatankuasa penilaian mengarahkan Lynas untuk segera mempercepatkan pembinaan PDF dan hanya perlu membawa sisa ini keluar dari negara jika PDF tidak dapat dibina. Tetapi pihak kementerian pula seperti tidak memberi pilihan dan hanya mengarahkan sisa buangan WLP ini dikeluarkan dari Malaysia dengan segera.
Konflik di antara Lynas dan Kementerian Tenaga Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ini telah menyebabkan timbul kerisauan terhadap nasib yang bakal menimpa 1,000 orang kakitangannya.
Beberapa hari yang lepas, sekumpulan kakitangan Lynas dari Pahang telah berkumpul di luar Parlimen dengan memegang sepanduk ‘Selamatkan Kerja Kami’ dan ‘Sila Berlaku Adil Kepada Kami’ sebelum menyerahkan memorandum kepada pimpinan tertinggi negara.
Apakah akan terjadi sekiranya Lynas tidak dapat memperbaharui lesen operasi dan terpaksa menutup kilang mereka nanti? Bagaimana pula nasib pekerja-pekerja ini yang terdiri daripada tenaga kerja tempatan?
Bukan itu sahaja, apabila perkara seperti ini terjadi ia juga akan menimbulkan kerisauan kepada pelabur-pelabur luar yang lain untuk menjalankan operasi mereka di Malaysia. Kerajaan seharusnya mencari jalan penyelesaian yang lebih adil kepada semua pihak supaya nasib pekerja-pekerja ni terus terjaga dan dalam masa yang sama meningkatkan lagi keyakinan pelabur untuk terus datang ke Malaysia.