Regu Dinamik Pengurusan Baru Tabung Haji
- Bank Islam berjaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) sebanyak RM165.8 juta pada tahun 2006
- Pada 30 Jun 2018, aset Kumpulan CIMB telah meningkat naik berlipat kali ganda kepada RM515 bilion dan permodalan pasaran RM58 bilion
Sesiapa yang pernah membaca mengenai Krisis Kewangan Asia 1997/98 pasti mengenali dua institusi yang ditubuhkan bagi memperbaiki semula sistem kewangan di negara ini. Ketika itu kerajaan mengambil inisiatif untuk menubuhkan Danamodal dan Danaharta.
Danaharta adalah SPV yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 1999, bertujuan untuk mengambil alih Non-Performing Loan (NPL) bank-bank dan institusi-institusi kewangan di Malaysia ketika itu.
Danamodal pula ditubuhkan bagi mempermodalkan bank-bank yang sudah kekeringan modal. Hasil penubuhan 2 institusi berjaya memulihkan semula sistem kewangan negara. Pasaran modal kemudiannya diubah bentuk dengan pewujudan pasaran bon dan sukuk agar bank-bank bukan satu-satunya pihak yang membiayai projek-projek besar.
Kini, kerajaan turut menggunakan mekanisme yang hampir sama bagi membaiki semula kewangan Tabung Haji (TH).
Baca: SPV Mengambil Alih Aset Tabung Haji Bernilai RM19.9 bilion
Tahukah anda, Datuk Seri Zukri Samat yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Julai lalu juga pernah menjadi Pengarah Urusan Danaharta.
Kejayaan Danaharta dalam memulihkan semula kewangan negara pada 1997/98 tidak dapat disangkal lagi. Dengan pengalaman yang beliau ada pastinya pelan pemulihan semula TH dapat dilaksanakan dengan baik.

Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia perbankan. Beliau merupakan Pengarah Urusan Bank Islam dari tahun 2006 hingga 2017.
Apabila beliau mengambil alih Bank Islam pada tahun 2006, beliau diberikan tugas yang berat untuk memulihkan semula Bank Islam yang baru sahaja mengalami kerugian sebanyak RM480 juta pada tahun 2005, kerugian pertama sejak 22 tahun bank tersebut ditubuhkan.
Namun setelah melaksanakan pelan transformasi beliau, Bank Islam berjaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) sebanyak RM165.8 juta pada tahun 2006. Tahun 2007 pula Bank Islam mecatatkan PBZT tertinggi bagi tempoh 24 tahun sebanyak RM255.5 juta.
Baca: Tabung Haji Memalsukan Akaun 2017 Bagi Membayar Dividen?
Di samping itu, jawatan Pengerusi TH yang dipegang oleh ahli politik kini disandang oleh Tan Sri Mohammed Nor Bin Md. Yusof, bekas Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Antara jawatan lain yang pernah disandang beliau adalah Pengarah Urusan MAS (2001-2004), Pengarah Khazanah Nasional Berhad (2006-2018) serta 19 tahun pengalaman dalam perbankan di kumpulan CIMB sebagai pengarah dan juga pengerusi.
CIMB yang berasal daripada perkataan Commerce International Merchant Bankers telah membuat keputusan untuk membina sebuah bank sejagat pada tahun 2005 dengan mengambil alih Bumiputra-Commerce Group dan juga Southern Bank Berhad. Pada bulan September tahun yang sama Kumpulan CIMB telah dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sebagai rekod, Kumpulan CIMB telah disenaraikan pada tahun 2003 dengan aset bernilai RM9.6 bilion dan permodalan pasaran RM1.5 bilion. Kini, pada 30 Jun 2018, aset Kumpulan CIMB telah meningkat naik berlipat kali ganda kepada RM515 bilion dan permodalan pasaran RM58 bilion.
Tan Sri Mohammed Nor merupakan mentor kepada Dato’ Seri Mohamed Nazir bin Tun Abdul Razak yang telah berjaya membangunkan CIMB daripada sebuah francais kewangan korporat kepada sebuah bank pelaburan terkenal di Malaysia dan Asean.
Berdasarkan rekod dan pengalaman dua muka baru dalam kempimpinan TH ini, diharapkan mereka mampu mengukuhkan semula institusi kewangan pertama di dunia ini.